Perang Tabuk adalah perang antara umat Islam dan empayar Rom. Perang Tabuk terjadi pada tahhun 9 Hijrah di sebuah tempat bernama Tabuk. Perang Tabuk merupakan perang terakhir yang disertai Rasulullah SAW, umur baginda ketika itu telah mencecah 60 tahun.
Jarak Perang Tabuk dari Madinah lebih kurang 700 KM.
Isi Kandungan
Sebab Perang Tabuk
Setelah Fathu Makkah, Islam terus tersebar dengan pantas ke seluruh Tanah Arab. Empayar Rom yang melihat keadaan ini sebagai satu ancaman kerana khawatir mungkin Islam akan sedikit demi sedikit menebarkan pengaruhnya ke wilayah Rom. Ditambah lagi dengan kenangan pahit ketika kekalahan dalam Perang Mu’tah, membuat Kaisar Rom ingin menghapuskan Islam.
Oleh itu pihak Rom merasakan usaha melemahkan kekuatan Islam adalah satu tanggungjawab, sebelum kuasa Islam menjadi besar, kelak tidak terdaya untuk menghapusnya, dan sebelum kuasa Islam mencabar atau menimbulkan kekacauan dan pemberontakan di daerah Arab yang berhampiran Rom.
Maka tidak sampai setahun selepas peperangan Mu’tah, Kaisar Rom pun mempersiapkan satu angkatan bala tentera yang terdiri dari bangsa Rom dan Arab yang turut dibawah pemerintahannya, seperti suku Ghassan dan lain-lain untuk membuat serangan habis-habisan dalam satu peperangan yang berdarah.
Sebelum Peperangan Tabuk
Ini ialah berita dan laporan situasi yang diterima oleh kaum muslimin, orang Islam menerima berita ini dari kaum al-Anbat yang datang ke Madinah dari al-Syam kerana berdagang minyak. Mereka mencerikan bahawa pihak Herkules telah pun mempersiapkan satu angkatan bala tentera yang besar seramai empat puluh ribu orang askar. Pimpinan ketenteraan diserahkan kepada salah seorang pembesar Rom, tokoh ini telah bertugas mengerakkan qabilah Lakham, Jazam dan kelompok-kelompok lain yang menganut agama Nasara untuk turut bersama beliau. Berita kemaraan mereka sudah pun sampai ke daerah al-Balqa’. Beginilah lebih kurang mala petaka yang mengancam kaum muslimin.
Faktor yang membawa suasana lebih merbahaya ialah masa, kerana ketika ini ialah musim kemarau yang teruk melanda al-Madinah, semua orang mengalami kesusahan hidup, kawasan tanaman kekeringan air dan binatang tunganggan berkurangan, cuma buah-buahan sahaja yang nampak menjadi dan matang, apa lagi tuannya berasa segan untuk bergerak keluar meninggal dusun, tambahan pula jarak yang jauh dan jalan pun sukar dilalui.
Persiapan Perang Tabuk
Rasulullh telah memilih untuk berperang jauh dari kota Mekah dan Madinah atas beberapa faktor:
- Jika pihak Rom menyerang Madinah, tenteranya akan berani mencerobohi lawasan-kawasan di sekitar bumi al-Madinah, maka ini satu mala petaka yang mengancam dakwah Islam.
- Manakala kaum munafiqin pula akan mengambil peluang ini untuk membuat hubungan langsung dengan raja Rom, melalui Abu Amir al-Fasiq dan mereka akan menikam kaum muslimin dari belakang.
- Keadaan semasa di Madinah tidak sesuai kerana ketika itu musim kemarau.
Rasulullah membuat keputusan untuk berperang di Tabuk. Keputusan menyerang Rom di tempat mereka adalah bijak dan penuh hikmah, hingga dengan itu pihak Rom tidak akan berniat untuk menyerang Madinah.
Jumlah Tentera Perang Tabuk
Panglima Perang Tabuk ialah Rasulullah sendiri.
Setelah itu Rasulullah terus bergerak ke arah utara menuju Tabuk, oleh kerana angkatan tentera Islam terlalu besar jumlahnya seramai tiga puluh ribu (30,000) orang askar, kiranya belum pernah lagi angka seramai ini bergerak ke medan perang, maka kaum muslimin tidak dapat menyediakan tunganggan dan makanan.
Justeru itu maka kadar lapan belas (18) orang askar bergilir-gilir menunggang seekor unta malah mereka terpaksa memakan daun-daun kayu yang mengakibatkan bibir mulut mereka bengkak, bukan itu sahaja malahan mereka terpaksa menyembelih beberapa ekor unta tunggangan mereka walaupun bilangannya memang sedikit, mereka berbuat demikian untuk membolehkan mereka minum air di dalam uncang perutnya, maka sebab itulah tentera ini dinama sebagai Jaisy al-‘Usrah (tentera kesusahan).
Bergerak ke Tabuk
Tentera Islam bergerak ke Tabuk melalui kawasan al-Hijr perkampungan Thamud, suku kaum yang telah memotong batu-batu bukit, di lembah “Wadi al-Qura”, tentera Islam telah mengambil air di lembah berkenaan, oleh itu Rasulullah telah mengarah supaya dicurah buang airnya, dan jangan ada sesiapa pun meminum atau berwudhu’ dengannya, malah tepung yang diuli dengan airnya dijadikan makanan binatang sahaja, seterusnya Rasulullah membenarkan mereka mengambil air dari telaga yang diberi minum kepada unta nabi Salih sahaja.
Sebuah hadis, muttafaq alaihi, dari kedua-dua kitab sahih, dari Ibn Umar berkata: Ketika Rasulullah melalui kawasan al-Hijr Baginda berpesan dengan sabdanya:
“Jangan sekali-kali kamu memasuki kediaman mereka yang telah melakukan penganiayaan terhadap dir mereka, nanti akan terkena ke atas kamu bala yang pernah menimpa mereka, jangan kamu masuk kecuali dalam keadaan kamu menangis, kerana takut akan Allah, dengan itu Rasulullah (s.a.w) menutup kepalanya dan segera keluar dari lembah berkenaan”
Semasa di dalam perjalanan tentera Islam telah mengalami kekurangan bekalan air, lantas mereka mengadu hal ini kepada Rasulullah (s.a.w), maka Baginda pun berdoa memohon dari Allah sesuatu kebaikan, doa Rasulullah telah direstui, di mana Allah menghantar mendung yang sarat dengan bekalan air melintasi kawasan tentera Islam dan tidak berapa lama kemudian hujan yang lebat pun turun mencurah-curah. Dengan itu tentera Islam pun puas dengan hujan, malah masing-masing mengisi uncang air mereka dengan bekalan-bekalan dari langit itu.
Semasa di dalam perjalanan ke Tabuk atau semasa berada di Tabuk, berdasarkan pada setengah riwayat, Rasulullah telah berkata: Di malam ini angin bertiup kencang, jangan siapa pun dari kamu bangun dari tempatnya, dan sesiapa yang ada unta hendaklah beliau menambatnya dengan ikal. Memang di malam tersebut sejenis angin telah bertiup dengan kencang, namun demikian salah seorang di antara mereka yang ramai, telah bangun dari tempatnya. Dengan kehendak Allah beliau telah ditiup dan dibawa oleh angin hingga tercampak ke bukit qabilah Tay’i.
Sudah menjadi kebiasaan Rasulullah (s.a.w) di mana Baginda semasa di dalam perjalanan, menunaikan solat secara jama’ takdim dan ta’khir pada sembahyang Zohor dengan Asar dan Maghrib dengan Isya’.
Strategi Perang Tabuk
Sesampai angkatan tentera Islam di Tabuk, Rasulullah bersama angkatan tentera Islam telah mengadakan ‘perjanjian perdamaian’ dengan penduduk di sekitar Tabuk, Rasulullah memberi jaminan keamanan kepada penduduk Tabuk, selagi mereka tidak menyebelahi musuh Islam dan memerangi dan berbuat jahat terhadap Islam. Setelah itu seorang penguasa Ilah (sebuah kawasan berdekatan Tabuk) yang bernama Yuhana bin Ru’bah datang meminta perdamaian bersama Rasulullah. Beliau sanggup membayar jizyah. Kesanggupan menerima keselamatan dan bersedia membayar jizyah juga diterima baik oleh penduduk Jarba dan Azruh. Rasulullah juga turut menghantar surat tawaran tersebut kepada setiap kawasan di sekitar Tabuk.
Tujuan Rasulullah berbuat demikian bukan untuk memonopoli kekayaan penduduk Tabuk atau membuat kejahatan kepada mereka. Tetapi Rasulullah berbuat demikian untuk menguatkan benteng perpaduan dan pertahanan Islam, di samping menyampaikan dakwah Islamiyah serta menyekat pergerakan musuh supaya tidak menggunakan sempadan Syam sebagai pangkalan perang. Akhirnya semua kabilah Arab di Tabuk menerima tawaran Rasul itu dengan tangan terbuka.
Pulang Ke Madinah
Dengan penuh kejayaan dan pertolongan Allah, tentera Islam bergerak pulang ke Madinah tanpa mengalami sebarang tentangan musuh.
Sekembali Rasulullah ke Madinah, Baginda terus memasuki masjid, Baginda bersembahyang dua rakaat, setelah itu Baginda duduk menghadapi orang ramai.
Antara perkara yang menarik berkaitan Perang Tabuk ialah terdapat 3 sahabat yang tidak menyertai peperangan. Natijahnya, mereka tidak dilayan oleh Rasulullah dan para sahabat, sehingga turun ayat pengampunan daripada Allah SWT.
Wallahua’lam