Peristiwa pembukaan Kota Mekah atau dikenali juga sebagai Fathu Makkah ialah antara peristiwa terpenting dalam sejarah Islam. Fathu Makkah terjadi pada tahun 10 Ramadan 8 H bersamaan Januari 630 M.
Jom kita pelajari serba sedikit tentang kronologi Fathu Makkah.
Isi Kandungan
Sebab Pembukaan Kota Mekah
Fathu Makkah terjadi kerana terdapat pelanggaran Perjanjian Hudaibiyah. Antara kandungan perjanjian ini menyebut, setiap suku Arab boleh memilih sama ada menjadi sekutu Nabi Muhammad SAW ataupun sekutu Quraisy. Kedua-dua pihak tidak boleh berperang dalam tempoh 10 tahun dan pihak tidak boleh membantu pihak lain berperang.
Berdasarkan syarat ini maka Khuza’ah telah bersekutu dengan Rasulullah, manakala Banu Bakar pula menyertai Quraisy, dengan itu kedua-dua qabilah ini menikmati keamanan dan kesejahteraan, sedang sebelum ini kedua-duanya saling bermusuhan dan saling menuntut bela dan membalas dendam yang diwarisi sejak zaman jahiliah lagi.
Tetapi, Banu Bakar masih ada saki baki dendam kesumat lamanya dan tetap ingin berperang dengan Bani Khuza’ah. Naufal bin Muawiyah al-Daily bersama jemaahnya banu Bakar telah keluar di Bulan Syaaban tahun kelapan (8) Hijrah, lantas menyerang Khuza’ah di malam hari, sedang di masa itu mereka sedang berada di kawasan berair yang dikenali sebagai “al-Watir”. Dalam kejadian berkenaan Banu Bakar telah berjaya membunuh orang-orang Khuza’ah dan sebagai lanjutan terjadilah pertarungan dan peperangan di antara keduanya.
Kaum Quraisy secara sembunyi menghulur bantuan senjata kepada sekutunya banu Bakar, malah beberapa tokoh Quraisy telah turut serta di dalam peperangan berkenaan berselindung di sebalik kegelapan malam, hingga mereka dapat membawa Khuza’ah ke dalam kawasan al-Haram Makkah. Oleh yang demikian maka berkatalah Banu Bakar:
“Wahai Naufal! sekarang kita telah memasuki kawasan al-Haram ingatlah, Tuhan kau, Tuhan kau, lantas al-Khuza’ah menjawab: Wahai Bakar tiada Tuhan di hari ini, kamu sudah pun membalas dendam kesumat kamu itu, ku bersumpah, sebenarnya kamu telah melakukan pencabulan di kawasan al-Haram ini, tidakkah di sini sudah terbayar dendam kamu itu?
Setelah Khuzaah melangkah masuk ke kawasan Makkah mereka terus mendapat perlindungan di rumah Budail bin Warqa’ al-Khuza’i dan rumah kawan setia mereka yang dikenali sebagai Rafie’. Amru bin Salim al-Khuza’i terus meluru ke Madinah menemui Rasulullah untuk memberitahu tragedi yang berlaku.
Tidak berapa lama kemudian tiba pula Budail bin Warqa’ al-Khuza’i bersama beberapa orang dari Khuza’ah, di mana mereka menemui Rasulullah melaporkan bilangan qurban peristiwa yang nahas itu dan penyertaan langsung oleh Quraisy membantu Banu Bakar, kemudian mereka pun pulang semula ke Makkah.
Abu Sufyan Ke Madinah Untuk Rundingan Damai
Tidak syak lagi Quraisy dengan tindakannya bersama-sama dengan sekutunya itu merupakan pencerobohan kepada perjanjian dan pengkhianatan terang-terangan kepada perdamaian yang dimeterai bersama itu, tanpa alasan yang boleh dimaafkan, kini Quraisy sudah pun menyedari kesalahan yang mereka lakukan itu, sekaligus merasai buruk padah dari tindakannya di luar batasan, dengan itu mereka memanggil permesyuaratan untuk sidang tergempar. Keputusannya menghantar pimpinan mereka Abu Sufian pada masa itu, untuk ke Madinah buat memperbaharui perdamaian.
Dalam perjalanan ke Madinah, dia terserempak dengan Budail bin Warqa yang baru pulang bertemu Rasulullah.
Sampai sahaja di Madinah, Abu Sufyan datang menemui anaknya Ummu Habibah. Ketika dia cuba untuk duduk di hamparan Rasulullah SAW, Ummu Habibah terus menggulung hamparan tersebut. Berkata Abu Sufian: “Kenapa wahai anakku apakah kau membencikan daku?” Maka jawab Ummu al-Mukminin: “Itu adalah hamparan Rasulullah, ayahanda pula kafir yang kotor”. Jawab Abu Sufian: “Selepas kau berpisah dari ku, kau telah terkena sihir”.
Setelah itu, dia terus menemui Rasulullah (s.a.w), Abu Sufian menegur Baginda, tetapi Rasulullah tidak menjawab sepatah apa pun, kemudian beliau menemui Abu Ba-kar, meminta jasa baik beliau untuk menyampai hasratnya kepada Rasulullah (s.a.w) tapi jawab Abu Bakar: “Aku tidak boleh berbuat apa pun”, lantas beliau pergi menemui Umar dan beliau meminta Umar menolongnya dalam hal ini, maka jawab Umar: “Apakah aku ini yang akan menjadi orang tengah untuk kamu? Demi Allah, kalaulah aku tidak mempunyai apa pun selain debu-debu, namun dengannya pun cukup untuk ku tentangi kamu, pasti aku lakukan”, kemudian beliau datang menemui Ali bin Abi Talib di masa itu Fatimah sedang duduk di sampingnya, manakala anaknya Hasan sedang merangkak di hadapannya, kata Abu Sufian: “Wahai Ali, sebenarnya kaulah orang paling mengasihi daku, di hari ini aku datang memerlukan pertolonganmu, janganlah membiarkan daku pulang dengan hampa sahaja, daku memerlukan kau menjadi orang tengah, untuk menyampaikan hasrat ku kepada Muhammad”. Namun, Ali pun tidak mampu berbuat apa-apa.
Abu Sufyan Pulang Ke Mekah
Di masa itu Abu Sufian terasa dunia menjadi gelap dan berkata kepada Ali bin Abi Talib dalam keadaan serba kebingungan dan putus asa: “Wahai Abu al-Hasan, aku mendapati keadaan semakin meruncing, cuba kau nasihatkan daku”.
Jawab Ali: “Demi Allah, aku tak tahulah apa nasihat yang baik untuk kau, kerana kau sendiri adalah pemimpin Banu Kinanah, ayuh pergilah pinta perlindungan dari orang ramai, kemudian pulanglah ke tanah airmu”.
Tanya Abu Sufian: “Apakah itu boleh memberi sesuatu yang baik untuk ku?”
Jawab Ali: “Demi Allah, aku tidak menyangka demikian, cuma aku tidak ada nasihat selain dari itu”. Lantas Abu Sufian pun beredar dari situ menuju ke masjid, di sana beliau melaung: “Wahai kalian, daku memohon perlindungan kalian, kemudian dia terus memecut untanya dan pulang ke Mekah.
Rasulullah Bergerak Ke Mekah
Pasti ada yang tertanya-tanya siapakah ketua tentera Islam ketika pembukaan Kota Mekah?
Persitiwa yang penuh bersejarah ini diketuai oleh Nabi Muhammad sendiri.
Rasulullah mengelakkan sebarang rundingan dan nekad menuju ke Makkah dengan bala tenteranya. Persiapan dibuat dengan rapi. Kaum Quraisy yang tidak mendapat khabar berita menjadikan mereka ternanti-nanti dan keluh kesah.
Untuk memasuki kota Mekah, Nabi Muhammad memerintahkan tentera Islam supaya berpecah kepada empat kumpulan dan memasuki Mekah melalui empat penjuru. Mereka juga diminta supaya tidak melakukan kekerasan atau pembunuhan kecuali apabila terpaksa. Namun, pertempuran hanya berlaku di selatan Mekah dan telah mengorbankan dua orang tentera Islam dan tiga belas orang masyarakat Quraisy.
Nabi Muhammad Masuk Ke Masjidil Haram
Rasulullah bersama kaum Muhajirin dan Ansar memasuki Masjidil Haram, terus Baginda ke Hajar al-Aswad dan menyentuhnya dengan tangan Baginda, kemudian terus bertawaf mengelilingi Kaabah, Baginda menjatuhkan berhala-hala sebanyak tiga ratus enam puluh(360).
وَقُلْ جَآءَ ٱلْحَقُّ وَزَهَقَ ٱلْبَـٰطِلُ ۚ إِنَّ ٱلْبَـٰطِلَ كَانَ زَهُوقًۭا
“Kebenaran telah datang dan kebatilan menghilang, sesungguhnya kebatilan itu telah terpadam”
(al-Isra’: 81)
Baginda juga memasuki Kaabah dan mencuci dinding Kaabah dengan air zam-zam. Selain itu, baginda memaafkan dan membebaskan penduduk Mekah yang pernah menentang Islam.
Rasulullah Memberi Ucapan Kepada Quraisy
Rasulullah memegang lawang pintu Kaabah, sedang khalayak Quraisy menunggu di bawah, dengan sabdanya: “Tiada Tuhan melainkan Allah, tiada sekutu bagiNya, benar janjiNya, membantu hambaNya, mengalahkan golongan Ahzab sendiriNya, ingatlah setiap warisan lama, setiap warisan Jahiliah samada harta benda atau darah kesemuanya di bawah kakiku ini, kecuali penjaga Baitullah dan pemberi minum kepada Jemaah Haji.
Ingatlah, pembunuhan secara tersalah adalah hampir seperti dengan tindakan secara sengaja dengan menggunakan cemeti dan rotan dendanya terlalu berat, iaitu seratus ekor unta, empat puluh darinya sedang sarat mengandung.
Wahai kalian Quraisy, sesungguhnya Allah telah pun melenyapkan dari kamu kesombongan jahiliah, sikap bermegahan dengan baka keturunan, sebenarnya manusia adalah dari Adam sedang Adam adalah dari tanah.
Kemudian Baginda membaca ayat al-Quran:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍۢ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَـٰكُمْ شُعُوبًۭا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌۭ
“Wahai manusia sesungguhnya Kami ciptakan kamu sebagai lelaki dan perempuan, dan Kami ciptakan kamu berbangsa-bangsa berqabilah-qabilah untuk kamu berkenalan, sesungguhnya yang termulia dari kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Bijaksana “
(al-Hujuraat: 13)
Kemudian sambung Baginda dengan sabdanya:
“Wahai kalian Quraisy, apakah yang kamu fikirkan akan ku lakukan terhadap kamu semua?” Jawab mereka: “Tentulah baik, kerana saudara seorang yang mulia anak kepada saudara yang mulia”. Maka jawab Rasulullah: “Sesungguhnya aku berkata kepada kalian seperti Yusof telah berkata kepada saudara-saudaranya:
Tiada tempelak ke atas kamu di hari ini, Ayuh beredarlah, kamu semua bebas.
Tidak lama selepas itu waktu solat pun masuk, Rasulullah pun menyuruh Bilal (r.a) memanjat ke atas Kaabah untuk melaung azan dari atas sana.
Hikmah Fathu Makkah bermaksud menunjukkan Islam agama yang damai, dan aman. Ini berbeza dengan amalan pembunuhan beramai-ramai sepertimana yang berlaku dalam sejarah perang atau revolusi Barat sepanjang sejarah.
Antara kesan pembukaan Kota Mekah, beberapa orang Musyrik Makkah yang dijatuhkan hukuman mati kerana jenayah yang berat, sebahagian besar penjenayah berat dimaafkan apabila mereka menyerah diri.
Wallahua’lam
Keywords: pembukaan kota mekah tahun 4, fathu makkah pdf ppt.