Antara sunnah yang dianjurkan Nabi Muhammad SAW ialah beriktikaf 10 malam terakhir Ramadan.
Dalil pensyariatan iktikaf daripada hadis adalah berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Umar R.anhuma beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ
Maksudnya: Adalah Rasulullah S.A.W itu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.
Riwayat al-Bukhari (2025)
Diriwayatkan juga daripada Ummul Mukminin A’isyah R.anha beliau berkata:
كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ
Maksudnya: Adalah baginda S.A.W beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sehinggalah baginda wafat. Kemudian para isteri baginda turut beriktikaf selepas kewafatan baginda.
Riwayat Muslim (1172)
Cara I’tikaf Mengikut Imam Nawawi
Kata al-Imam al-Nawawi Rahimahullah, hukum beriktikaf adalah sunnah mu’akkadah (yang sangat dituntut). Ianya disunatkan pada keseluruhan waktu manakala pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan ia lebih dituntut. Dengan tujuan untuk mengikut petunjuk Nabi S.A.W dan mencari Lailatul Qadr. Rujuk Raudhah al-Thalibin, al-Nawawi (2/389).
Imam al-Nawawi berkata lagi: Sesiapa yang ingin mengikut petunjuk Nabi S.A.W dalam beriktikaf pada sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadhan maka hendaklah dia masuk ke dalam masjid sebelum terbenamnya matahari pada malam 21 Ramadhan dan dia keluar setelah terbenamnya matahari pada malam raya.
Yang lebih afdhal adalah dia duduk pada malam raya di dalam masjid sehinggalah dia solat raya padanya. Ataupun dia keluar daripada masjid menuju ke musolla (tanah lapang) untuk menunaikan solat hari raya sekiranya orang ramai solat di musolla. Rujuk al-Majmuk Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi (1/501).
Kesimpulannya, ayuh kita kuatkan semangat dan usaha beriktikaf di masjid pada sepuluh hari terakhir Ramadan, dengan harapan mencari lailatul qadar dan mencontohi Baginda SAW.
Wallahua’lam