Nabi Ismail (Arabic: إسماعيل), Ishmael ialah anak kepada Nabi Ibrahim dan Hajar. Beliau merupakan salah seorang daripada 25 nabi dan rasul yang diberikan berbagai macam mukjizat oleh Allah SWT.
Isi Kandungan
Biodata Nabi Ismail
Ibrahim a.s. sentiasa berdoa dikurniakan zuriat supaya dapat meneruskan usaha dakwah beliau. Isterinya, Sarah merasa sedih melihat keadaan suaminya itu, tapi tidak dapat berbuat apa-apa. Dengan berat hati, Sarah kemudian membenarkan Nabi Ibrahim berkahwin dengan Hajar, pembantunya yang diberikan oleh Raja Mesir, supaya mendapat zuriat.
Dengan izin Allah, Hajar berjaya mengandung. Walaupun Sarah seorang yang cantik rupawan, fitrah seorang manusia, dia tetap merasa cemburu dengan Siti Hajar kerana tidak mampu hamil.
Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. berkata:
“Pertama-tama yang menggunakan setagi {setagen} ialah Hajar ibu Nabi Ismail tujuan untuk menyembunyikan kandungannya dari Siti Sarah yang telah lama berkumpul dengan Nabi Ibrahim a.s. tetapi belum juga hamil. Tetapi walaubagaimana pun juga akhirnya terbukalah rahsia yang disembunyikan itu dengan lahirnya Nabi Ismail a.s. Dan sebagai lazimnya seorang isteri sebagai Siti Sarah merasa telah dikalahkan oleh Siti Hajar sebagai seorang dayangnya yang diberikan kepada Nabi Ibrahim a.s. Dan sejak itulah Sarah merasakan bahawa Nabi Ibrahim a.s. lebih banyak mendekati Hajar kerana merasa sangat gembira dengan puteranya yang tunggal dan pertama itu, hal ini yang menyebabkan permulaan ada keratakan dalam rumahtangga Nabi Ibrahim a.s. sehingga Siti Sarah merasa tidak tahan hati jika melihat Siti Hajar dan minta pada Nabi Ibrahim a.s. supaya menjauhkannya dari matanya dan menempatkannya di lain tempat.”
Tidak lama selepas itu, turun perintah Allah swt kepada Nabi Ibrahim supaya membawa Siti Hajar dan Ismail ke suatu tempat yang jauh dan asing, iaitu di tengah padang pasir di kawasan Hijaz, yang kini menjadi Makkah.
Ditinggalkan di Makkah
Nabi Ibrahim pun merantau bersama Hajar dan Ismail merentasi padang pasir bersama untanya tanpa mengetahui destinasi penamat. Sampai suatu masa, unta nabi Ibrahim berhenti, maka difahami oleh Nabi Ibrahim bahwa beliau telah sampai ke tempat yang dituju.
Nabi Ibrahim dengan berat hati meninggalkan Siti Hajar dan Nabi Ismail dengan sedikit bekalan dan mula beransur pulang.
Hajar pun seketika memegang baju Ibrahim lalu berkata, “Wahai Ibrahim, kamu mahu pergi ke mana? Apakah kamu hendak meninggalkan kami di lembah yang tidak ada seorang atau sesuatu apapun di sini?” Hajar terus mengulangi pertanyaannya, namun tidak ada satu kata pun yang keluar dari mulut Ibrahim.
Bahkan Ibrahim tidak menoleh sedikit pun terhadap perkataan istrinya. Hingga akhirnya Hajar berkata, “Apakah Allah memerintahkan kamu atas semua ini?” Lalu seketika Ibrahim menjawab “Ya.” Dan Hajar pun mulai faham lalu berkata, “Kalau begitu Allah tidak akan mensia-siakan kami.”
Perpisahan itu amat berat, sehingga berlinang air mata Siti Hajar melihat pemergian Ibrahim a.s. Sekuat-kuat seorang lelaki, Nabi Ibrahim turut menangis memikirkan keadaan yang bakal ditempuh isteri dan anaknya di tempat yang asing sekitarnya tiada tumbuh-tumbuhan, tiada air mengalir, yang terlihat hanyalah batu dan pasir kering.
Nabi Ibrahim kemudian berdoa, seperti dalam Surah Ibrahim ayat 37,
رَّبَّنَآ إِنِّىٓ أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِى بِوَادٍ غَيْرِ ذِى زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ ٱلْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ فَٱجْعَلْ أَفْـِٔدَةً مِّنَ ٱلنَّاسِ تَهْوِىٓ إِلَيْهِمْ وَٱرْزُقْهُم مِّنَ ٱلثَّمَرَٰتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ
Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan salat, maka jadikanlah hati sebagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezekilah mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.
Berlari antara Bukit Safa dan Marwah
Setelah pemergian Nabi Ibrahim, Hajar hidup beberapa hari berbekalkan makanan dan minuman yang sedikit. Kemudian, bekalan itu habis, dan Ismail a.s yang masih kecil ketika itu menangis meminta air akibat dahaga. Naluri seorang ibu yang penyayang dan tidak sanggup melihat anaknya menangis membuatkan Siti Hajar berlari ke Bukit Safa dan Bukit Marwah untuk mencari sesuap makanan atau seteguk air. Setelah tujuh kali berulang alik, dan masih tiada apa-apa yang ditemui, Siti Hajar mula kepenatan dan hampir berputus asa.
Sesungguhnya bantuan Allah datang dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Malaikat Jibril telah datang dan membantu Siti Hajar dan Nabi Ismail. Dengan izin Allah, keluar air yang jernih dari tanah yang kering kontang itu, air yang penuh keberkatan itu kini terkenal dengan istilah air zamzam.
Siti Hajar amat gembira kerana dapat memberi minum pada anaknya yang kehausan. Air yang keluar itu mencurah-curah keluar sehingga menarik perhatian burung-burung di kawasan sekitar. Ketika burung-burung berterbangan sekitar kawasan air itu, suku kaum Jurhum yang berada berhampiran melihat kejadian itu dan pergi menuju ke kawasan Hajar dan Ismail.
Maka terbinalah sebuah petempatan di sekitar sumber air zamzam itu. Hajar pun senang dengan keberadaan keluarga Jurhum. Dirinya tidak merasa kesepian lagi, dan mereka pun tinggal bersama dengan rukun. Ismail pula mulai belajar bahasa Arab dari keluarga Jurhum. Ismail pun membesar menjadi anak yang pintar dan berakhlak mulia seperti yang diajarkan ibunya. Hari demi hari berlalu, Ismail pun tumbuh menjadi seorang dewasa.
Nabi Ismail bantu membina Kaabah
Pembinaan Kaabah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS adalah berdasarkan perintah daripada Allah SWT, iaitu selepas beberapa kali Nabi Ibrahim AS datang menziarahi isteri dan anaknya Ismail AS di Makkah. Pada kedatangan kali yang ketiga, baginda telah diperintahkan agar membina Kaabah. Ketika itu Ismail AS telah berumur dua puluh tahun dan ibunya telah meninggal dunia.
Baginda berkata kepada Ismail: “Wahai Ismail! Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkanku supaya membina Kaabah.” Nabi Ismail mewnjawab:“Taatlah perintah Allah itu.” Lalu bapanya berkata lagi: “Allah juga memerintahkan agar engkau membantuku dalam pembinaan ini.” Ismail berkata: “Di manakah tempatnya?” Nabi Ibrahim AS menunjukkan tempat yang telah ditunjukkan kepadanya oleh malaikat yang mengiringinya. Selepas itu, mereka mula menggali tapak asas binaan Kaabah serta berdoa:
رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;
(Surah al-Baqarah : 127)
Kisah Nabi Ismail disembelih
Sewaktu Nabi Ismail mencapai usia remajanya Nabi Ibrahim a.s. mendapat mimpi bahwa ia harus menyembelih Ismail puteranya.
قَالَ يَـٰبُنَىَّ إِنِّىٓ أَرَىٰ فِى ٱلْمَنَامِ أَنِّىٓ أَذْبَحُكَ فَٱنظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَـٰٓأَبَتِ ٱفْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰبِرِينَ
Ibrāhīm berkata, “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka pikirkanlah apa pendapatmu!” Ia menjawab, “Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”.
(As-Saffat : 102)
Hari sembelihan pun tiba, Nabi Ibrahim telah menyediakan pisau yang tajam untuk melaksanakan perintah Allah swt. Ketika itu hanya tuhan yang tahu gejolak hati Ibrahim a.s. kerana tanggungjawabnya sebagai ayah dan pada waktu yang sama perlu melaksanakan kewajiban sebagai rasul.
Ketika sembelihan dilakukan, parang menjadi tumpul dan tiada setitik darah pun yang keluar dari leher Nabi Ismail. Allah SWT melihat bahawa Ibrahim a.s telah berjaya lulus ujian keimanan yang berat itu, lalu berfirman:
قَدْ صَدَّقْتَ ٱلرُّءْيَآ ۚ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ
“sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.”
(As-Saffat : 105)
Kemudian sebagai tebusan ganti nyawa, Ismail telah diselamatkan itu, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih seekor Qibas yang telah tersedia di sampingnya dan segera dipotong leher kambing itu oleh beliau dengan parang yang tumpul di leher puteranya Ismail itu. Dan inilah asal permulaan sunnah qurban yang dilakukan oleh umat Islam pada tiap Hari Raya Aidiladha di seluruh pelosok dunia.