Siti Hajar isteri Nabi Ibrahim, ibu Nabi Ismail

Izuan
siti hajar

Siti Hajar ialah isteri kedua Nabi Ibrahim setelah Sarah. Nabi Ibrahim berkahwin dengan Hajar kerana isterinya yang pertama iaitu Sarah tidak dapat memberikan zuriat.

Perkahwinan Dengan Nabi Ibrahim

Pada mulanya, Hajar merupakan wanita yang berkhidmat untuk Raja Mesir. Tetapi ada satu peristiwa di mana Raja Mesir telah melakukan satu kesilapan terhadap Nabi Ibrahim, lalu merasa bersalah dan menghadiahkan Hajar kepada Nabi Ibrahim as.

Siti Sarah yang semakin tua berasa kasihan terhadap suaminya yang tidak putus berdoa agar diberikan keturunan untuk menyambung usaha dakwah beliau. Dengan berat hati, Sarah memberi izin Nabi Ibrahim berkahwin dengan Hajar dengan harapan Hajar dapat memberikan zuriat kepada Nabi Ibrahim.

Dengan izin Allah, Hajar mengandung dan melahirkan seorang anak bernama Ismail. Walaupun Sarah lebih cantik, sifat cemburu mula menguasai diri kerana Sarah tidak dapat mengandung, lalu dia menyuruh Nabi Ibrahim membawa Hajar ke tempat yang jauh daripada kawasan itu untuk mengelakkan keretakan rumah tangga.

Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim membawa Hajar ke suatu tempat yang jauh bernama Hijaz, lembah tandus yang kini dikenal sebagai Makkah. Ketika itu tiada orang pun di situ, dan sumber air pun tiada. Dalam keadaan yang serba kekurangan itu, Nabi Ibrahim diperintahkan untuk meninggalkan Siti Hajar bersama anaknya Ismail.

Ia pun terus berjalan hingga sampai pada sebuah bukit, Ibrahim kemudian menghadap ke arah lokasi Kaabah sekarang sambil mengangkat tangan, berdoa untuk Ismail dan Hajar. Kisah Siti Hajar dalam Al-Quran tidaklah secara langsung, tetapi secara tersirat di ayat di bawah,

“Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati. Ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan sholat, maka jadikanlah hati sebagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezekilah mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.” (Ibrahim: 37)

Pengorbanan Siti Hajar

Kadang-kadang pasti ada persoalan tentang kenapa Nabi Ibrahim meninggalkan Siti Hajar, berikut ialah sebabnya,

Siti Hajar berkata, “Adakah Allah yang memerintahkan kamu melakukannya?”

Nabi Ibrahim menjawab, “Ya”

Inilah kata-kata Siti Hajar yang solehah kepada suaminya Ibrahim, apabila beliau ditinggalkan di kota suci Mekah yang ketika itu merupakan suatu padang pasir yang tandus bersama bayinya Ismail, hanya berbekalkan sekantong air dan sebekas kurma.  Soalan yang melambangkan kekuatan iman dan keteguhan aqidah yang berakar umbi dalam diri seorang wanita yang agung.

Wanita luar biasa sahaja yang boleh bersangka baik ketika ditinggalkan dengan anak kecil di tengah padang pasir tanpa bekalan yang mencukupi. Hajar yakin jika ini merupakan ketentuan Allah, nescaya Allah tidak akan mensia-siakan hambaNya.

Kisah Siti Hajar Mencari Air

Bekalan yang sedikit itu telah habis, naluri seorang ibu yang penyayang berasa risau terhadap keadaan anaknya. Hajar berlari dari Bukit Safa ke Marwah sebanyak 7 kali untuk mencari air. Ketika harapan semakin pudar, tiba-tiba terpancar air dari tanah yang kering kontang, yang kini dinamakan air zamzam.

Air zamzam yang memancut keluar ini menarik perhatian burung-burung. Satu Kafilah Arab juga terperasan dengan kehadiran burung-burung lalu pergi ke sana. Akhirnya, mereka setuju menetap di sana dan membangunkan perumahan di sekitar sumber air zamzam itu.

Beberapa tahun setelah itu Nabi Ibrahim datang semula ke sana dan membina Baitullah bersama-sama anaknya Ismail.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini