Nabi Ibrahim ialah salah seorang rasul dan utusan Allah yang terpenting, sehinggakan termasuk dalam kalangan Rasul Ulul Azmi, yaitu rasul dengan ketabahan dan keteguhan hati yang luar biasa. Gelarannya ialah “Khalilullah” bermaksud Teman bagi Allah.
Isi Kandungan
Biodata Nabi Ibrahim
Ibrahim dilahirkan di sebuah tempat bernama “Faddam A’ram” pada zaman pemerintahan seorang raja yang zalim iaitu Namrud. Tahun lahir Nabi Ibrahim lebih kurang pada awal alaf ke-2 Sebelum Masihi. Salasilah Nabi Ibrahim hingga ke Nabi Nuh a.s.
Pada tahun kelahiran Nabi Ibrahim, keadaan amat merisaukan kerana Raja Namrud ingin membunuh setiap bayi lelaki yang lahir. Raja Namrud mendapat pentanda bahawa seorang bayi akan dilahirkan dan akan membesar dan merampas takhtanya. Antara sifat insan yang akan menentangnya ialah dia akan membawa agama yang mempercayai satu tuhan dan menjadi pemusnah berhala.
Namun, jika Allah berkehendak sesuatu untuk terjadi, tiada apa yang dapat menghalangnya. Ibu Nabi Ibrahim mengandung pada tahun di mana bayi-bayi lelaki dihukum bunuh. Maka ibunya risau dan pergi ke sebuah gua ketika ingin melahirkan nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim dilahirkan dengan selamat lalu ditinggalkan di gua, dengan izin Allah setelah beberapa hari ketika ibunya ingin melihat keadaan Nabi Ibrahim ternyata beliau masih hidup. Bayi itu menghisap celah jarinya yang mengandungi susu dan makanan lain yang berkhasiat. Semasa berusia 15 bulan tubuh Nabi Ibrahim telah membesar dengan cepatnya seperti kanak-kanak berusia dua tahun. Maka ibubapanya berani membawanya pulang ke rumah.
Nabi Ibrahim mempunyai isteri bernama Sarah dan Hajar. Anak Nabi Ibrahim yang dikorbankan bernama Ismail, kisah Nabi Ibrahim dan Ismail boleh baca di artikel ini.
Mencari Tuhan
Ibrahim a.s. membesar dalam lingkungan masyarakat yang menyembah berhala dan taksub kepada ilmu astronomi seperti bulan, bintang dan matahari. Keadaan ini menyebabkan status agama Nabi Ibrahim agak samar-samar. Maka bermulalah perjalanan mencari kebenaran.
Persitiwa Nabi Ibrahim mencari kebenaran ini tercatat dalam al-Quran di Surah al-An’am.
Ketika malam telah menjadi gelap, dia melihat sebuah bintang (lalu) dia berkata, “Inilah Tuhan-ku”. Tetapi tatkala bintang itu tenggelam dia berkata, “Saya tidak suka kepada yang tenggelam”.(76)
Kemudian tatkala dia melihat bulan terbit dia berkata, “Inilah Tuhan-ku”. Tetapi setelah bulan itu terbenam, dia berkata, “Sesungguhnya jika Tuhan-ku tidak memberi petunjuk kepadaku, pastilah aku termasuk orang yang sesat”.(77)
Kemudian tatkala ia melihat matahari terbit, dia berkata, “Inilah Tuhan-ku, ini yang lebih besar”. Maka tatkala matahari itu terbenam, dia berkata, “Hai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan”.(78)
“Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dengan cenderung kepada agama yang benar, dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan”.(79)
Surah al-An’am : 76-79
Nabi Ibrahim Memohon Diberi Kekuatan
Setelah yakin bahawa kaumnya berada di jalan yang salah, Nabi Ibrahim meminta kepada Allah agar ditunjukkan bukti kekuasaan-Nya sebagai persediaan bagi menguatkan hatinya sebelum melaksanakan dakwah.
Dan (ingatlah) ketika Ibrāhīm berkata, “Ya Tuhan-ku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang mati”. Allah berfirman, “Belum yakinkah kamu?” Ibrāhīm menjawab, “Aku telah meyakininya, akan tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku)”. Allah berfirman, “(Kalau demikian) ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah semuanya olehmu. (Allah berfirman), “Lalu letakkan diatas tiap-tiap satu bukit satu bagian dari bagian-bagian itu, kemudian panggillah mereka, niscaya mereka datang kepadamu dengan segera”. Dan ketahuilah bahwa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. 1
Dengan izin Allah dan kuasa-Nya, datanglah berterbangan empat ekor burung itu dalam keadaan utuh bernyawa seperti sedia kala mendengar panggilan Nabi Ibrahim kepadanya lalu hinggaplah empat burung itu di depannya, dilihat dengan mata kepalanya sendiri bagaimana Allah Yang Maha Berkuasa dapat menghidupkan kembali makhluk-Nya yang sudah mati sebagaimana Dia menciptakannya dari sesuatu yang tidak ada. Dan dengan demikian hilang keraguannya.
Penghancuran Berhala
Ibrahim a.s bermula menyebarkan dakwah kepada kaumnya, tapi mereka masih berkeras kepala dan tidak ingin meninggalkan agama nenek moyang mereka. Bapa Nabi Ibrahim merupakan salah satu penyembah berhala yang degil.
Nabi Ibrahim akhirnya merasa tidak bermanfaat lagi untuk berdebat dengan kaumnya yang keras kepala dan tidak mahu menerima keterangan yang dikemukakan oleh beliau. Nabi Ibrahim kemudian merancang akan membuktikan kepada kaumnya dengan perbuatan yang dapat dilihat dengan mata kepala mereka sendiri bahawa berhala-berhala ini tiada kuasa apapun.
Sudah menjadi tradisi dan kebiasaan penduduk kerajaan Babylon bahawa setiap tahun mereka keluar kota beramai-ramai pada suatu hari keraian dan kebesaran yang mereka anggap sebagai keramat. Berhari-hari mereka tinggal di luar kota di suatu padang terbuka, berkhemah dengan membawa bekalan makanan dan minuman yang cukup. Mereka bersuka ria dan bersenang-senang sambil meninggalkan kota-kota mereka kosong dan sunyi.
Nabi Ibrahim tidak pergi kerana ingin melakukan satu misi rahsia yang bakal menyedarkan kaumnya. Apabila sampai masa yang sesuai, dengan membawa sebuah kapak ditangannya, Nabi Ibrahim menuju tempat beribadat yang sudah ditinggalkan tanpa penjaga. Kemudian dihancurkan patung-patung itu dengan kapak yang berada di tangannya. Patung yang paling besar ditinggalkan tidak diganggu dan dikalungkan kapak kepadanya.
Ketika penduduk kota pulang, terkejutlah mereka melihat keadaan itu. Mereka mengesyaki Nabi Ibrahim yang melakukan perbuatan itu dan menuntut Nabi Ibrahim diberi hukuman yang setimpal.
Nabi Ibrahim berdialog dengan Namrud
Hari pengadilan ditentukan dan datang rakyat dari segala pelosok berduyun-duyun mengunjungi padang terbuka yang disediakan bagi sidang pengadilan itu.
Raja Namrud turut serta dan bermulalah dialog antara mereka berdua.
Raja Namrud berkata dengan geram: “Wahai Ibrahim, bukankah engkau yang telah menghancurkan berhala-berhala ini?”
Nabi Ibrahim menjawab:“Patung besar yang berkalungkan kapak di lehernya itulah yang melakukannya. Cuba tanya saja kepada patung-patung itu siapakah yang menghancurkannya.”
Raja Namrud pun terdiam sejenak. Kemudian beliau berkata:” Engkaukan tahu bahawa patung-patung itu tidak dapat bercakap dan berkata mengapa engkau minta kami bertanya kepadanya?”
Inilah jawapan yang ditunggu oleh Nabi Ibrahim,
Berkata Nabi Ibrahim kepada Raja Namrud itu:“Jika demikian, mengapa kamu sembah patung-patung itu, yang tidak dapat berkata, tidak dapat melihat dan tidak dapat mendengar, tidak dapat membawa manfaat atau menolak mudharat, bahkan tidak dapat menolong dirinya dari kehancuran dan kebinasaan? Alangkah bodohnya kamu dengan kepercayaan dan sembahan kamu itu! Tidakkah kamu berfikir dengan akal sihat bahawa sembahan kamu ialah perbuatan yang keliru oleh syaitan. Mengapa kamu tidak menyembah Tuhan yang menciptakan kamu, menciptakan alam sekeliling kamu dan menguasakan kamu di atas bumi dengan segala isi dan kekayaan. Alangkah hinanya kamu dengan sembahan kamu itu.”
Raja Namrud tiada jawapan untuk menjawab hujah Nabi Ibrahim, dia terus membuat keputusan agar Nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup.
Kisah Nabi Ibrahim Dibakar
Maka setiap penduduk kota diarahkan membawa kayu api sebanyak mungkin sebagai bukti bahwa mereka turut serta dalam menghancurkan orang yang berani-berani menentang amalan menyembah berhala.
Unggun api sebesar bukit dinyalakan di tengah-tengah kawasan lapang. Kemudian, nabi Ibrahim dibawa ke tempat yang tinggi dan dilontarkan ke tengah-tengah api yang marak itu.
Dari Ibnu Abas RA, “Hasbunallah wa ni’mal wakil (cukuplah Allah (menjadi penolong) bagi kami dan Dia sebaik-baik pelindung) adalah kalimah yang diucapkan oleh Ibrahim a.s ketika dilemparkan ke dalam api.
Dengan kekuasaan Allah, api itu sedikit pun tidak memberi mudarat kepada Nabi Ibrahim, malahan menjadi sejuk sejahtera. Allah SWT berfirman:
قُلْنَا يَا نَارُ كُونِي بَرْدًا وَسَلَامًا عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ
Artinya: “Kami berfirman: “Hai api menjadi dinginlah, dan menjadi keselamatanlah bagi Ibrahim,” (QS. Al-Anbiya: 69).
Setelah keadaan reda, Nabi Ibrahim serta keluarganya dan anak saudaranya Nabi Luth a.s. untuk melarikan diri.
Wallahua’lam
- Kisah Nabi Nuh a.s.
- Isteri Nabi Ibrahim : Siti Hajar, Siti Sarah