Hari Jumaat mempunyai kelebihan tersendiri bagi umat Islam, dan digelar sebagai penghulul segala hari. Berikut ialah beberapa sunnah hari jumaat berdasarkan al-Quran dan Hadis.
1. Baca Surah Sajdah dan Surah al-Insan
Sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA. Beliau berkata: “Nabi Muhammad SAW biasa membaca pada solat Subuh pada hari Jumaat ‘Alam Tanzil…’ (Surah al-Sajadah) pada rakaat pertama dan ‘Hal ataa ‘alal insani hinum minad dahri lam yakun syai-am madzkuro’ (Surah al-Insan) pada rakaat kedua.” (Riwayat Muslim)
2. Baca Surah al-Kahfi
Dari Abu Sa’id Al-Khudri RA:
“Barangsiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan dipancarkan cahaya untuknya di antara dua Jumaat.”
(HR Al-Hakim 2/368, al-Baihaqi 3/249. Ibnu Hajar kata ‘Hadis Hasan’ dalam Takhrij al-Azkar. Beliau kata hadis ini paling kuat tentang surah Al-Kahfi)
3. Banyak Selawat kepada Rasulullah
Daripada Abu Umamah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ؛ فَإِنَّ صَلَاةَ أُمَّتِي تُعْرَضُ عَلَيَّ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ، فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّي مَنْزِلَةً
Maksudnya: “Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barangsiapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam Syurga).”
[Riwayat al-Baihaqi (5995)]
4. Memakai wangian dan pakaian bersih
Rasulullah saw bersabda yang ertinya:
“Barang siapa mandi pada hari Jumaat dan bersuci semampunya, lalu memakai minyak rambut atau minyak wangi kemudian berangkat ke masjid dan tidak memisahkan antara dua orang, lalu solat sesuai yang ditentukan baginya dan ketika imam memulakan khutbah, ia diam dan mendengarkannya maka akan diampuni dosanya mulai Jumaat ini sampai Jumaat berikutnya”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
5. Doa Hari Jumaat
Pada hari Jumaat, terdapat saat-saat mustajab doa sepertimana yang diisyaratkan Rasulullah bahawa pada saat itu, ia tidak ditolak.
Rasulullahﷺ bersabda:
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم ذكر يوم الجمعة ، فقال : فيه ساعة ، لا يوافقها عبد مسلم ، وهو قائم يصلي ، يسأل الله تعالى شيئا ، إلا أعطاه إياه . وأشار بيده يقللها
“Rasulullahﷺ menyebutkan tentang hari Jumaat kemudian beliau bersabda: ‘Di dalamnya terdapat waktu. Jika seorang muslim berdoa ketika itu, pasti diberikan apa yang ia minta’. Lalu beliau mengisyaratkan dengan tangannya tentang sebentarnya waktu tersebut”
(HR. Bukhari 935, Muslim 852 dari sahabat Abu Hurairah Radhiallahu’anhu)
Terdapat banyak pendapat ulama tentang waktu yang dimaksudkan.
Namun secara umum terdapat 4 pendapat yang kuat.
1. Waktu sejak imam naik mimbar sampai selesai shalat Jumaat
2. Setelah asar sampai terbenamnya matahari
3. Setelah asar, namun diakhir-akhir hari Jumaat.
4. Menggabungkan semua pendapat yang ada. Ibnu ‘Abdil Barr berkata: “Dianjurkan untuk bersungguh-sungguh dalam berdoa pada dua waktu yang disebutkan”. Dengan demikian seseorang akan lebih memperbanyak doanya di hari Jum’at tidak pada beberapa waktu tertentu saja. Pendapat ini dipilih oleh Imam Ahmad bin Hambal, Ibnu ‘Abdil Barr.
6. Datang Awal ke Masjid, Solat Tahiyatul Masjid
Aus bin Aus berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:
“Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, kemudian bersegera berangkat menuju masjid, dan menempati shaf hadapan kemudian dia berdiam, maka setiap langkah yang dia ayunkan mendapat pahala puasa dan solat selama satu tahun, dan itu adalah hal yang mudah bagi Allah.” (HR. Ahmad dan Ashabus Sunan, Didakwa sahih oleh Ibnu Huzaimah).
7. Sedekah
Allah SWT berfirman:
مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.(Surah al-Baqarah: 261)
Wallahua’lam
keywords : sunnah hari jumaat mufti wilayah,