5 Peristiwa Penting Bulan Rejab

Izuan
peristiwa penting bulan rejab

Bulan Rejab merupakan bulan ke-7 di dalam kalendar Takwim Hijrah.

Selain daripada keistimewaannya sebagai bulan haram, terdapat juga peristiwa penting lain yang berlaku di bulan Rejab.

1. Peristiwa Isra’ Mikraj

Pada 27 Rejab sekitar tahun 620M, kira-kira satu setengah tahun sebelum Baginda berhijrah dari Mekah ke Madinah, satu peristiwa Al-Israa’ dan Al-Mi’raj (perjalanan malam dan diangkat ke langit) telah berlaku.

Pada suatu malam, dengan cara yang menakjubkan, Rasulullah SAW telah melakukan perjalanan yang penuh keajaiban dari Mekah ke Baitul Maqdis dan diangkat ke langit pada malam yang sama.

2. Hijrah ke Habsyah

Penghijrahan ini berlaku kerana kedudukan kaum Muslimin di Mekah semakin terancam. Setiap hari kafir Quraisy sentiasa mengganggu dengan pelbagai kesusahan terutama kepada golongan bawahan.

Hijrah pertama ini terjadi di bulan Rejab, setelah lima tahun keRasulan. Golongan yang berhijrah ini terdiri daripada 12 lelaki dan lima perempuan. Mereka telah dikejar oleh pihak Quraisy namun berjaya melepaskan diri dan tiba di Habsyah dengan selamat.

3. Peperangan Tabuk

Perang ini terjadi pada bulan Rejab ketika tahun ke-9 Hijrah di Tabuk. Ini ialah peperangan antara umat Islam dan tentera Rom. Dengan bantuan Allah dan strategi perang Rasulullah SAW yang bijaksana, umat Islam memenangi peperangan ini tanpa pertumpahan darah. SubhanAllah.

4. Imam Syafie meninggal dunia

Beliau merupakan salah seorang dari empat imam mazhab besar dalam dunia fiqh dan pengasas kepada Mazhab Syafie. Beliau berasal dari Gaza dan dilahirkan juga pada bulan Rejab tahun 150 Hijrah bersamaan tahun pemergian Imam Abu Hanifah.

Di akhir hayatnya, beliau telah diserang oleh beberapa orang yang tidak berpuas hati dengannya, beliau cedera parah, dan pada 30 Rejab 204H/820M, beliau meninggal dunia.

5. Pembebasan Baitul Maqdis kali kedua

Pembebasan pertama ialah pada zaman Umar al-Khattab RA pada tahun 637 Masihi. Sejak itu Baitul Maqdis berada di bawah pemerintahan Kerajaan Islam selama 462 tahun sehinggalah dirampas oleh tentera Salib pada tahun 1099 Masihi.

Pembebasan kedua ialah ketika Salahuddin al-Ayubi berjaya mengalahkan tentera salib pada 1187 Masihi dengan strategi perang yang sangat hebat, dengan izin Allah.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini