20 Atau 8 Rakaat Solat Tarawih Lebih Afdhal?

Izuan
rakaat solat tarawih

8 atau 20 rakaat solat Tarawih? Ini merupakan persoalan yang sering timbul setiap kali Ramadan.

Mana satu yang betul, jom kita belajar sama-sama !

Kelebihan Solat Terawih

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

‎مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.

Riwayat Al-Bukhari (37)

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa perbuatan qiyam Ramadhan yang meliputi solat tarawih, pembacaan al-Quran, zikir dan doa, serta selainnya daripada ibadah yang dilakukan pada malam hari bulan Ramadan, sekiranya ia dilakukan dengan penuh keimanan akan pensyariatannya serta mengharapkan ganjaran pahala dari Allah S.W.T, nescaya pelakunya akan diampunkan dosa-dosa kecilnya yang terdahulu.

Bilangan Rakaat Solat Tarawih

Rasulullah SAW tidak menetapkan bilangan tertentu berkenaan ini.

Ibn Hajar Al-Haithami menukilkan “Tidak sahih bahawa Nabi solat tarawih sebanyak 20 rakaat. Kesemua hadis yang meriwayatkan bahawa Nabi melakukan solat tarawih sebanyak 20 rakaat adalah hadis yang sangat lemah (tidak boleh dijadikan hujah)!” (Al-Fatwa al-Kubra, jil 1, hlm. 194)

Dalil Tarawih 20 Rakaat

Kan tiada hadis yang boleh dijadikan hujah berkenaan bilangan rakaat Tarawih, maka dari mana datang 20 rakaat ni?

Ini merupakan jumhur ulama’ mazhab Hanafi, Syafi’i, Hanbali dan sebahagian ulama Maliki berpendapat bahawa jumlah rakaat solat tarawih adalah 20 rakaat.

Antara dalil:

i) Al-Hadis – Yazid bin Rauman

“Dan datang berita dari Malik, yang diterima dari Yazid bin Rumman mengatakan bahawa orang-orang di zaman Saidina Omar r.a Sembahyang Tarawih dua puluh rakaat dan tiga witir”

(Riwayat Malik dalam Kitab Muwattak)

ii) Sembahyang Tarawih dua puluh rakaat adalah ijma’ para sahabat kerana ia telah dilakukan oleh orang Islam sejak dari Zaman Khalifah Omar, Osman dan Ali r.a

Telah berkata Al-Kasani bahawa Saidina Omar telah mengumpul para sahabat untuk Sembahyang TArawih dalam bulan Ramadhan diimamkan oleh Ubai bin Kaab dan tidak seorang pun antara mereka yang membantah.

Cara Solat Tarawih 8 Rakaat

Sembahyang Tarawih boleh dibuat sebanyak lapan rakaat, sesuai dengan keterangan Aisyah r.ah :

“Rasulullah SAW tidak pernah mengerjakan sembahyang sunat, bulan Ramadan atau bulan lainnya, lebih daripada empat rakaat, kemudian beliau kerjakan lagi empat rakaat (Jangan tanya tentang baik dan panjangnya), kemudian beliau tambah lagi tiga rakaat yakni witir.”

(Riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)

Kesimpulan

Adapun bilangan Rakaat Tarawih termasuk dalam khilaf ulama’, maka janganlah kita menuduh orang yang tidak sependapat dengan kita tidak mengikut sunnah, melakukan bidaah atau sebagainya.

Nak solat 8 atau 20 Rakaat terpulang kepada kemampuan masing-masing. Digalakkan juga bagi makmum mengikut imam sehingga selesai solat supaya dapat kelebihan yang disebut dalam hadis:

مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ

Terjemahannya: “Siapa yang menunaikan solat bersama imam sehingga selesai, dicatit untuknya pahala seperti menghidupkan sepanjang malam dengan beribadah.” 

(Riwayat al-Tirmizi 806 dan beliau menilainya sebagai Hadis Sahih. Abu Daud (1375), al-Nasa’ie (1605) dan Ibn Majah (1327). Hadis ini juga dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Tirmizi)

Apa yang lebih penting dalam melaksanakan solat Tarawih ialah menjaga adab dan berusaha memperolehi khusyu’.

Wallahu A’lam

sumber – Jakim, Jabatan Mufti Negeri, Addeen.my

Subscribe
Notify of
2 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini
2 years ago

[…] 20 atau 8 rakaat solat tarawih? […]

2 years ago

[…] Yang terbaik ialah 20 rakaat, untuk penjelasan lanjut, rujuk artikel ini. […]