Umratul Qada ialah istilah merujuk kepada ibadah Umrah yang dilakukan Nabi Muhammad setelah setahun daripada Perjanjian Hudaibiyah. Peristiwa ini terjadai bada bulan Zulkaedah tahun 7 Hijrah.
Umrah ini dinamakan umrah al-Qada’, boleh jadi kerana mengganti umrah yang tertangguh semasa perjanjian al-Hudaibiah, atau kerana penunaian umrah ini merupakan pelaksanaan kepada salah satu syarat perjanjian al-Hudaibiah yang dipersetujui dahulu.
Umrah ini dikenali dengan empat namanya iaitu: Umrah al-Qada’, Umrah al-Qadiah, Umrah al-Qisas, dan Umrah al-Solh.
Jemaah Umrah Bergerak
Baginda memerintah para sahabat menunaikan umrah yang tertangguh dahulu, sesiapa yang menyertai di dalam perjanjian al-Hudaibiah dahulu tidak boleh mengecualikan diri, dengan itu mereka semua pun keluar menuju ke Makkah terkecuali mereka yang mati syahid. Turut serta ialah sahabat-sahabat yang lain yang ingin mengerjakan umrah pada tahun ini, jumlah semua peserta ialah dua ribu selain kaum wanita dan kanak-kanak.
Rasulullah (s.a.w) melantik ‘Uwaif Abu Rahm al-Ghiffari sebagai Amir Madinah semasa ketiadaan Baginda. Di dalam perjalanan umrah dituntun bersama unta-unta yang gemuk. Najiyah bin Jundub al-Aslami diberi tugas untuk mengurus ternakan ini. Baginda memulakan ihram umrah dari miqat zul Hulaifah. Dari situ Baginda memulakan talbiah yang diikuti oleh sekalian kaum muslim yang bersamanya.
Baginda keluar dengan persiapan senjata dan persediaan berperang, takut-takut Quraisy melakukan pengkhianatan. Setibanya di “Ya’jaj” Baginda melucutkan semua senjata-senjata tadi seperti perisai kulit, pelontar peluru, tombak dan anak panah. Untuk mengawalnya Rasulullah (s.a.w) melantik Aws bin Khawli al-Ansar dengan dua ratus (200) orang yang lain bersama beliau. Baginda memasuki Kaabah dengan senjata-senjata dan pedang tersarung. Di dalam perjalanan ke Kaabah Baginda menunggang unta “al-Qaswa”. Semua kaum muslimin membawa pedang yang tersarung dengsn keadaan merenung ke arah Rasulullah dan mereka bertalbiah.
Kaum musyrikin telah beredar dari Kaabah pergi ke Bukit “Qaiqu’an” di sebelah utara Kaabah bertujuan untuk melihat kaum muslimin dari sana, mereka telahpun berkata-kata sesama mereka: Tengok tu, mereka keletihan dengan demam panas Yathrib.
Rasulullah memerintah supaya berlari anak di ketiga-tiga pusingan. Manakala semasa berada di antara dua rukun Baginda memerintah supaya berjalan sahaja pada kesemua pusingan, kerana itu adalah sunat, sebab Rasulullah menyuruh demikian adalah bertujuan memperlihatkan kepada kaum musyrikin kekuatan dan kelasakan mereka, Rasulullah juga memerintah supaya mereka mendedah kepala bahu kanan mereka serta meletakkan hujung kain ihram di atas kepala bahu kiri.
Rasulullah memasuki Kaabah melalui lorong yang boleh di lihat “al-Hajjun” kerana kaum musyrikin sedang memerhati kaum muslimin dari situ, Rasulullah bertawaf dengan laungan talbiah sehingga apabila mendekati penjuru Hajarul Aswad Baginda menyentuhnya dengan tongkat, kemudian menyambung tawaf seterusnya.
Rasulullah bersama kaum muslimin berlari tiga pusingan, maka apabila kaum musyrikin melihat cara mereka bertawaf ini, lantas mereka berkata: Eh, mereka yang kita sangka demam, keletihan dan tidak bermaya, nampaknya lebih gagah dari apa yang kita sangka.
Setelah selesai bertawaf Rasulullah (s.a.w) terus bersaie’ di antara al-Safa’ dan al-Marwah, sesudahnya Rasulullah (s.a.w) berdiri di Marwah lantas berkata: Inilah tempat penyembelihan malah setiap penjuru Makkah ini adalah tapak penyembelihan, justeru itu Rasulullah pun menyembelih di al-Marwah dan bercukur. Dengan itu semua kaum muslimin yang berumrah itu mencontohi apa yang dilakukan oleh Rasulullah (s.a.w).
Setelah semua mereka berbaris barulah Rasulullah mengutus sekumpulan para sahabat ke Ya’jaj untuk mengambil tempat mereka yang menjaga senjata, supaya memberi kesempatan kepada mereka mengerjakan peribadatan umrah, dengannya maka sempurna sudah semua jemaah menunaikan peribadatan mereka.
Rasulullah bermukim di Makkah selama tiga hari, di subuh pagi hari keempat sekumpulan orang-orang Quraisy menemui Ali bin Abi Talib dan berkata kepadanya: Beritahukan kepada teman mu itu supaya keluar dari sini kerana tempohnya sudah tamat. Dengan penuh kerelaan hati Rasulullah (s.a.w) pun bergerak keluar dari Kaabah.
Wallahua’lam