Tafsir Ayat Seribu Dinar

Izuan
ayat seribu dinar rumi

Perkongsian berkenaan ayat seribu dinar yang dipetik daripada laman web Mufti Wilayah Persekutuan.

Kami bawakan di sini beberapa pandangan ulama berkaitan ayat seribu dinar ayat 2-3 dalam surah Al-Talaq.

Firman Allah SWT:

وَمَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ﴿٢﴾ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّـهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّـهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

Maksudnya“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Pandangan Ulama Terhadap Ayat Seribu Dinar

Menurut Imam Al-Tobari Rahimahulahu Taala di dalam kitab Tafsir Al-Tobari (23/43-47) menyatakan daripada Masruq bin Abdillah:

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا قال: المخرج أن يعلم أن الله تبارك وتعالى لو شاء أعطاه وإن شاء منعه، (وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ قال: من حيث لا يدري

Maksudnya: (Firman Allah SWT) yang berbunyi “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah Taala maka baginya jalan keluar”, iaitu jalan yang diketahui Allah Taala jika sekiranya ia menghendaki sesuatu maka ia akan berikan dan ia juga akan menegahnya dan firman Allah Taala yang berbunyi dan akan diberikan rezeki dari jalan yang yang tidak disangka-sangkanya : Maknanya dari jalan yang tidak diketahuinya.

Daripada Ibnu Abbas R.Anhuma:

قوله: (وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا) يقول: نجاته من كل كرب في الدنيا والآخرة

Maksudnya: (Firman Allah Taala) yang berbunyi “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah Taala maka baginya jalan keluar”, maknanya selamat daripada setiap kesengsaran dan kesusahan di dunia dan akhirat.

Daripada Rabi’ bin Haitham Rahimahullah:

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا قال: من كلّ شيء ضاق على الناس

Maksudnya: (Firman Allah Taala) yang berbunyi “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah Taala maka baginya jalan keluar”, maknanya jalan daripada setiap sesuatu yang sempit ke atas manusia.

Daripada Qatadah Rahimahullah:

يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا قال: من شُبُهَات الأمور، والكرب عند الموت (وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لا يَحْتَسِبُ) : من حيث لا يرجو ولا يؤمل

Maksudnya: Firman Allah Taala diberikan baginya jalan keluar: maknanya jalan keluar daripada segala perkara syubhat dan kesuahan ketika mati dan firman Allah Taala diberikan baginya rezeki daripada yang tidak disangka-sangka maknaya daripada sesuatu yang tidak disangka-sangkakan dan tidak diharapkan.

Sufyan Ibn ‘Uyainah berkata:

هُوَ الْبَرَكَةُ فِي الرِّزْقِ

Maksudnya: Ia adalah keberkatan di dalam rezeki.

Pengajaran Ayat Seribu Dinar

Setelah meneliti beberapa tafsiran para ulama berkaitan ayat ini, kami mendapati bahawa:

  • Setiap ayat al-Quran mempunyai kelebihan yang tertentu. Konsep taqwa dan tawakkal yang terdapat di dalam ayat ini membawa pengertian mendalam dan perlu diamal serta dihayati bersama.
  • Ayat ini bukanlah semata-mata membacanya akan mendapat ganjaran pahala seribu dinar bahkan maksud sebenarnya ayat ini adalah dari sudut amalan yang disertai dengan taqwa serta tawakal. Bahkan Allah SWT akan mengurniakan baginya ganjaran yang lebih daripada seribu dinar jika setiap amalan itu disertakan dengan taqwa, berdasarkan firman Allah SWT:

واللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

MaksudnyaAllah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.

(Surah Al-Baqarah:261)

Artikel penuh tentang tafsir ayat seribu dinar, boleh klik link ini.

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini