Kisah Suraqah bin Malik

Izuan
suraqah bin malik

Siapakah Suraqah bin Malik?

Suraqah bin Malik adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad. Dia seorang penunggang kuda yang handal dari Bani Kinanah. Ketika peristiwa hijrah, hanya dia seorang yang dapat memburu Rasulullah sehingga dapat. Tetapi, dengan izin Allah dia telah dapat melihat mukjizat Nabi Muhammad lalu memeluk Islam.

Suraqah bertuah kerana menjadi salah seorang individu yang terlibat dalam hijrah nabi dan dapat melihat pertolongan Allah ketika nabi berhijrah dengan mata kepalanya sendiri.

Kisah Suraqah bin Malik Mengejar Nabi Muhammad

Pada suatu pagi, kaum Quraisy digemparkan dengan berita penghijrahan Rasulullah dari Makkah ke Madinah. Mereka mengumumkan kepada semua kabilah di Makkah mahupun di luar Kota Makkah bahawa sesiapa yang berjaya membawa Muhammad hidup atau mati, maka orang itu akan dihadiahkan dengan seratus ekor unta yang terbaik.

Pada ketika itu, Suraqah bin Malik al-Mudlaji berada dalam satu kumpulan kaum di Kudait yang tidak jauh dari Kota Makkah. Tiba-tiba datang seorang utusan Quraisy, memberitahu tentang hadiah besar yang akan diberikan oleh pembesar Quraisy bagi siapa yang mampu menangkap Muhammad hidup atau mati. Tatkala Suraqah mendengar tentang habuan tersebut, sifat tamak mula datang pada dirinya. Namun, dia masih memampu menahan diri tanpa berkata sesuatu pun. Tidak menunjukkan reaksi seolah-olah dia akan merebut ganjaran tersebut.

Dalam diam, dia terus membuat persiapan untuk memburu Rasulullah. Tugas Suraqah bin Malik ini ialah penunggang kuda. Beliau memiliki susuk tubuh yang tinggi dan tegap. Beliau juga sangat hebat dalam mencari jejak orang yang hilang.

Suraqa bin Malik berjaya menjejaki Rasulullah menggunakan kemahirannya. Dia bertemu dengan rombongan baginda Nabi SAW bersama dengan Abu Bakar dan penunjuk jalannya Abdullah Bin Uraiqith. Suraqah pun meluru ke arah mereka, namun kuda Suraqah telah tersadung dan menyebabkan Suraqah jatuh daripada pelana.

Lalu Suraqah melihat ke arah Baginda Rasulullah SAW dan sahabatnya lantas berteriak memanggil mereka. “Wahai kalian yang berada di sana, tolonglah kalian berdoa kepada tuhan kalian untuk melepaskan kaki kudaku. Aku akan membiarkan kamu pergi”.

Berkat doa Baginda dan sifat pengasih Allah SWT, maka terlepaslah kaki kuda Suraqah. Akan tetapi sesudah itu, ketamakan mula menguasai Suraqah lantas mula menghentak kudanya untuk mengejar Rasulullah SAW. Maka pada ketika itu, sekali lagi tiba-tiba kaki kuda Suraqah terbenam ke tanah bahkan lebih dalam daripada sebelumnya. Suraqah sekali lagi meminta tolong kepada Baginda SAW dan berkata “Wahai Muhammad, kalian boleh mengambil bekal, barang dan senjataku. Kalian dapat memegang janji-janjiku ini bahawa aku akan menghalang orang lain daripada mengejar kalian di belakangku”

Maka Rasulullah SAW berkata kepada Suraqah “Kami tidak memerlukan barang dan bekalmu wahai Suraqah. Akan tetapi, suruhlah manusia yang mengejar kami untuk kembali.” Kemudian, Rasulullah SAW berdoa dan kuda Suraqah dapat terlepas daripada keadaan terbenam itu.

Gelang Raja Parsi

Tatkala Suraqah beredar meninggalkan Rasulullah dan sahabatnya, Baginda berseru kepada Suraqah “Apa pandanganmu wahai Suraqah bila engkau nanti akan mengenakan gelang-gelang Raja Kisra?” Suraqah bertanya dengan kehairanan “Apakah itu Raja Kisra bin Hurmuz yang engkau maksudkan?” Maka Rasulullah SAW menjawab “Benar, Kisra putera Hurmus dan satu hari nanti akan diberikan gelangnya kepadamu”.

Maka Suraqah berkata “Wahai Muhammad, aku yakin bahawa agamamu akan muncul dan urusanmu juga akan hebat. Berjanjilah kepadaku bahawa engkau akan memuliakan aku bila aku datang ke dalam kekuasaanmu. Tuliskanlah janjimu itu kepadaku.” Baginda meminta Abu Bakar menuliskan janjinya akan jaminan keamanan kepada Suraqah dan janji Suraqah akan diberikan dengan gelang Raja Parsi.

Sesungguhnya janji Rasulullah itu benar

Setelah kerajaan Islam semakin berkembang, Suraqah ibn Malik bertemu Rasulullah SAW untuk menyatakan keislamannya di hadapan Baginda. Beliau membawa surat perjanjian dengan Rasulullah SAW yang pernah ditulis sepuluh tahun yang lalu. Suraqah kemudian pergi kepada Rasulullah SAW melintasi lautan kaum Ansar dan menyatakan keislamannya kepada Baginda. Selang beberapa bulan setelah Suraqah bertemu dengan Baginda SAW, Baginda telah wafat dan Suraqah berasa amat sedih.

Sejak saat itu, Suraqah bin Malik sentiasa mengulangi sabda Baginda mengenai gelang Raja Parsi yang pernah dijanjikan dulu. Peristiwa itu kemudiannya berlaku pada zaman Khalifah Umar al-Khattab ketika kerajaan Parsi dikalahkan oleh tentera Umar. Mereka juga berjaya mendapat harta rampasan yang begitu banyak. Tatkala harta tersebut diserahkan kepada khalifah, beliau melihat satu persatu harta tersebut. Pada saat itu, Khalifah memanggil Suraqah bin Malik lalu memakaikan pakaian Raja Kisra serta gelang milik raja Parsi itu. Maka saat itu, menangislah Suraqah kerana terkenangkan akan janji yang telah dibuat oleh Baginda SAW. SubhanAllah

Wallahua’lam

rujukan – ikimfm, republika.co

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini