Surah Al-Falaq Teks, Maksud dan Tafsir

Izuan
surah al-falaq

Surah Al-Falaq (سورة الفلق) ialah surah Makkiyah setelah surah al-Fiil, surah yang ke-113 dalam al-Quran dan terdiri daripada lima ayat.

Bersama An-Nas, surah Al-Falaq disebut juga al-Mu’awwidzatain.

Asbabun Nuzul

Seorang Arab Yahudi bernama Labid ibn Asim yang merupakan antara munafik telah mengenakan Ilmu Hitam (sihir) kepada Nabi Muhammad s.a.w.. Dia telah mengambil rambut baginda dan membuat sebelas ikatan (simpulan) dan meletakkanya di bawah batu berhampiran telaga bernama Zarwan. Akibatnya, Nabi Muhammad s.a.w. telah mengalami kekeliruan dan was-was tentang perkara yang telah dilakukan dan belum dilakukan baginda (walaupun ia tidak mempengaruhi ajaran dan sifat kenabian baginda).

Maka, malaikat Jibril turun menghadap baginda dan memberitahu perkara yang sebenar dan menyampaikan dua surah iaitu Surah al-Falaq dan Surah An-Nas. Baginda bersama para sahabat baginda pergi ke telaga tersebut dan mengalihkan simpulan rambut tersebut. Ketika setiap kali surah dibaca, simpulan itu terurai dengan sendirinya dan ketika simpulan yang kesebelas terurai, baginda telah bebas dari pengaruh ilmu hitam tersebut. (Rujukan: Tafsir Ibn Kathir & Ma’arif al-Qur’an)

Tafsir Surah al-Falaq

قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلۡفَلَقِ

1. Katakanlah: “Aku berlindung kepada Rab Yang Menguasai subuh

مِن شَرِّ مَا خَلَقَ

2. daripada kejahatan makhluk-Nya

Ayat-ayat ini mengajar manusia agar memohon perlindungan Allah Subhanahuwata’ala daripada segala kejahatan. Iaitu kejahatan manusia, jin dan syaitan. Juga kejahatan binatang buas, binatang yang melata dan makhluk yang lain. Dan juga kejahatan bencana api, kejahatan dosa, hawa nafsu dan amalan buruk. Bahkan juga kejahatan yang terbit daripada diri manusia sendiri.

Ayat-ayat yang berikutnya:

وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ

3. dan daripada kejahatan malam apabila telah gelap gelita

وَمِن شَرِّ ٱلنَّفَّٰثَٰتِ فِي ٱلۡعُقَدِ

4. dan daripada kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul

وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ

5. dan daripada kejahatan pendengki apabila ia dengki”

Allah Subhanahuwata’ala mengkhususkan supaya kita meminta pertolongan-Nya daripada tiga perkara iaitu:

  1. Malam, apabila kegelapannya semakin pekat. Ini kerana malam, sebagaimana yang disebut oleh Fakhrul al-Razi, adalah saat binatang buas dan binatang melata keluar daripada persembunyiannya. Saat di mana pencuri dan penjahat melakukan pencerobohan. Saat berlakunya kebakaran, kurangnya pertolongan dan orang jahat bersemangat melakukan kejahatan.
  2. Ahli sihir wanita yang meniup-niup pada simpulan benang, yakni satu cara sihir sambil menjampi. Allah Subhanahuwata’ala mengumpamakan tiupan itu sebagaimana lagak orang yang menjampi untuk merawat orang sakit.
  3. Karenah orang yang dengki apabila ia sakit hati dan melakukan muslihatnya. Orang yang dengki mengharapkan hilangnya nikmat daripada diri orang yang didengkinya, meskipun ia sendiri tidak mendapat nikmat berkenaan.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini