Rasulullah Hijrah Ke Madinah (Part 1)

Izuan

Artikel ini menceritakan kisah lengkap bagimana Rasulullah hijrah ke Madinah. Bermula daripada malam 27 Safar ketika rumah Baginda dikepung, bermalam 3 hari di gua Thur, tiba di Quba dan membina masjid Quba, dan akhirnya tiba di Madinah dan disambut dengan meriah.

Penghijrahan ini berlaku atas beberapa sebab. Untuk melihat beberapa sebab Rasulullah hijrah ke Madinah, boleh tekan link ini.

Pengepungan Rumah Rasulullah SAW

Pemimpin Quraisy menghabiskan siang mereka untuk menyempurnakan perancangan dan persiapan seperti yang diputuskan oleh sidang Dar al-Nadwah, sebelas orang kenamaan wakil kabilah masing-masing telah dikumpulkan terdiri daripada:

  1. Abu Jahal bin Hisyam
  2. Al-Hakam bin Abi al-As
  3. Ugbah bin Abi Muit
  4. al-Nadhr bin al-Harith
  5. Umaiyah bin Khalaf
  6. Zamaah bin al-Aswad
  7. Tu’imah bin ‘Adi
  8. Abu Lahab
  9. Ubai bin Khalaf
  10. Nabyah bin al-Hajjaj
  11. dan saudaranya Manbah bin al-Hajjaj

Tiba sahaja waktu malam, mereka mula bergerak ke rumah Rasulullah. Operasi membunuh akan dilakukan tengah malam sewaktu baginda tidur. Namun, manusia hanya mampu merancang, tetapi Allah sebaik-baik perancang, tiada apa pun yang terjadi di dunia ini melainkan di bawah pengetahuan Allah.

“Dan ingatlah (Wahai Muhammad), ketika orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan lipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya”.

(al-Anfal: 30)

Rasulullah hijrah meninggalkan rumahnya

Rasulullah tahu tentang perancangan jahat pemimpin Quraisy, lalu telah meminta Saidina Ali r.a untuk menggantikan tempat tidur menggunakan selimut yang selalu dipakai oleh Baginda saw.

Kemudian Rasulullah keluar, berjalan melepasi mereka yang merancang pembunuhan terhadap beliau. Allah telah menutup pandangan mereka sehinggakan tiada seorang pun yang sedar, malahan Rasulullah sempat meletakkan pasir dia atas kepala mereka.

Rasulullah keluar di masa itu sambil membaca ayat Allah yang bermaksud:

“Dan Kami jadikan sekatan di hadapan mereka, dan sekatan di belakang mereka. Lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat.

Surah Yaasin, ayat 9

Baginda terus berjalan ke rumah Abu Bakar, seterusnya meneruskan perjalanan ke gua Thur yang terletak di pertengahan jalan ke arah Yaman.

Setelah Rasulullah berjaya keluar dari Makkah, barulah pembunuh-pembunuh itu tersedar. Mereka cuma mengintai dari celah pintu dan mendapati Ali di tempat tidur Rasulullah, maka mereka berkata “Demi Allah, itu dia Muhammad sedang tidur berselimut dengan kainnya”. Oleh itu, mereka pun tidak bergerak dari tempat masing-masing hinggalah ke subuh. Pada masa itu, Ali pun bangun dari tidurnya. Alangkah terkejut melihat keadaan yang mengecewakan itu, lalu mereka pun bertanya kepada Ali di mana gerangannya Muhammad. Jawab Ali, “Aku tidak ada muklumat mengenainya”.

Perjalanan ke Gua Thur

Rasulullah menyakini yang Quraisy akan berusaha sedaya upaya mereka untuk memburunya dan jalan yang akan terlintas di pemikiran Quraisy ialah jalan utara menuju ke Madinah maka sebab itu Rasulullah mengambil jalan yang mencanggahi jalan ke utara, iaitu jalan yang berada di sebelah selatan menghala ke negeri Yaman, baginda mengambil jalan itu yang sejauh lima kilometer hingga tiba ke bukit yang dikenali sebagai Jabal Thur, ianya mempakan bukit yang tinggi, jalannya sukar, pendakiannya berhalangan, berbatu-batu hingga melecet tapak kaki Baginda(s.a.w).

Abu Bakar telah mendukung Rasulullah SAW ke puncak Jabal Thur, untuk berlindung di sebuah gua, dalam sejarah Islam dikenali sebagai Gua Thur.

kelebihan abu bakar

Bermalam 3 Hari di Gua Thur

Sesampainya mereka ke gua berkenaan, Abu Bakar masuk ke dalam dan membersihkannya. Jika mendapati sebuah lubang maka beliau mengoyak kainnya dan disumbatkannya. Setelah itu, beliau menyeru, “Sila masuk, Rasulullah”. Maka baginda pun masuklah. Abu Bakar meletakkan kepala baginda ke ribanya hingga baginda lena, di masa itu kala jengking menyengat kakinya yang terhulur ke dalam lubang, namun sedikit pun beliau tidak bergerak supaya Rasulullah tidak tersedar. Tetapi air matanya terjatuh ke muka Rasulullah dan membuatkan baginda tersedar. Melihat keadaan Abu Bakar, Rasulullah meludah ke tempat sengatan itu, maka segera hilanglah kesakitannya itu.

Selama tiga malam mereka bersembunyi di gua itu, iaitu malam Jumaat, Sabtu dan Ahad, Abdullah bin Abu Bakr turut tidur bersama- sama mereka, ujar Aisyah, “Abdullah adalah salah seorang pemuda berpengetahuan dan cerdik, menemani mereka di waktu malam. Di hujung malam beliau keluar dari sana dan berada di kalangan Quraisy di pagi hari menampakkan yang beliau bermalam di Makkah bersama Quraisy, beliau mendengar dan mengingati segala sesuatu yang diperihalkan di Makkah untuk dibawa kepada mereka berdua di tengah malam”.

Manakala Amir bin Fuhairah, orang suruhan Abu Bakr bertugas memelihara kambing untuk membekalkan mereka berdua dengan susu dan daging panggang, beliau menyampaikannya kepada mereka berdua setelah malam berlabuh dengan melaung dan menyebut perkataan, “susu dan daging” kepada mereka. Beliau melakukan ini di ketiga-tiga malam persembunyian itu, selain dari itu, Amir bin Fuhairah juga bertugas menghalau kambingnya di atas kesan-kesan tapak kaki Abdullah bin Abu Bakr supaya tidak dapat dikesan oleh pihak Quraisy.

Pihak Quraisy menjadi gila, setelah mereka yakin Rasulullah telah terlepas dari usaha jahat mereka itu. Apa yang dapat mereka lakukan ialah dengan mendera Saidina Ali serta diseretnya ke Kaabah dan mereka mengurungnya dengan harapan memperolehi berita arah mana Rasulullah dan Abu Bakr melarikan diri. Setelah mereka tidak dapat memperolehi sebarang maklumat dari Ali, mereka menuju ke rumah Abu Bakr al-Siddiq pula, setelah mengetuk pintu rumah, Asma’ binti Abu Bakr pun keluar, kata mereka, “Mana bapa awak?”. Jawab Asma’, “Demi Allah, mana aku tahu ke mana dia pergi”. Sebelum beredar, Abu Jahal yang buruk akhlak itu, sempat juga menempeleng muka Asma’ hingga melayang sebelah subang di telinganya.

Dalam sidang tergempar Quraisy, mereka telah membuat keputusan segera, iaitu mengerah seluruh kudrat yang ada untuk menangkap Rasulullah, semua jalan masuk ke kota Makkah diletakkan dalam kawalan bersenjata, dan pihak Quraisy menawarkan kepada sesiapa yang dapat menangkap mereka berdua hidup atau mati dengan hadiah yang lumayan, iaitu seratus ekor unta untuk seorang.

Maka, seluruh pahlawan penunggang kuda dan pejalan kaki serta tukang pengesan tapak kaki bertebaran ke pelusuk sekitar Makkah di lembah-lembah dan di bukti-bukit, di dataran mahupun di gua, namun kesemua mereka tidak berjaya. Mereka yang memburu tadi sempat juga sampai ke pintu gua Thur, tetapi Allah yang menguasai di atas segalanya.

Imam al-Bukhari menceritakan dalam riwayatnya dari Anas dari Abu Bakr katanya, “Semasa aku bersama dengan Rasulullah di dalam gua, aku mendongak kepalaku, tiba-tiba aku melihat kaki-kaki Quraisy dari celah batu. Kataku,Wahai Rasulullah! kalaulah di antara mereka tunduk ke bawah, nescaya mereka dapat melihat kita di sini. Jawab Rasulullah, “Berdiam sahajalah, kita berdua, Allah yang ketiga bersama kita, dalam lafaz yang lain aku meyakini bahawa Allah bersama-sama kita”.

Sebagai mukjizat Allah yang dianugerahkan kepada RasulNya mereka telah beredar pulang dari situ meskipun hanya beberapa langkah sahaja dari tempat Rasulullah bersembunyi.

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini