Rasulullah Singgah di Quba’

Izuan
singgah di quba

Ketika hijrah ke Madinah, Rasulullah sempat singgah di Quba, iaitu sebuah kawasan jaraknya kira-kira 15 kilometer dari Madinah.

Peristiwa ini terjadi pada 8 Rabiul Awal tahun pertama hijrah bersamaan 23 September 622 Masihi.

Kata Urwah bin al-Zubair: Umat Islam di Madinah telah pun mendapat maklumat mengenai penghijrahan Rasulullah dari Makkah ke Madinah, justeru itu, paada setiap pagi mereka keluar beramai-ramai ke tanah lapang al-Hurah, menunggu kedatangan Rasulullah. Mereka pulang ke rumah apabila matahari terik memaksa mereka pulang ke rumah. Di suatu hari, apabila mereka pulang ke rumah masing-masing kerana keletihan menunggu, ditakdirkan seorang Yahudi yang sedang berada di beranda atau menara pagarnya, beliau ternampak Rasulullah bersama-sama para sahabatnya serba putih kelihatan jelas dari jauh, Yahudi tadi tak tertahan untuk meluahkan perasaannya dengan melaung,” wahai bangsa Arab, itu dia datuk kamu yang kamu tunggu-tunggu,” kaum muslimin pun marah dan segera mereka mencapai senjata.

Ibn al-Qayyum menceritakan, “Kedengaran laungan takbir di rumah Banu Amru bin Auf, justeru itu seluruh kaum muslimin pun melaungkan takbir kegembiraan dengan ketibaan Rasulullah seluruh mereka mengalu-alukan kedatangan Rasulullah dengan sambutan dan aluan sebagai seorang nabi, kesemua mereka merenung ke muka Rasulullah melingkungi baginda dalam suasana di selubungi ketenangan dan wahyu pun turun kepada Rasulullah.

“…Sesungguhnya Allah adalah Pembelanya, dan selain dari itu Jibril serta orang soleh dari kalangan orang yang beriman dan malaikat-malaikat juga menjadi penolongnya”

(al-Tahrim: 4)

Mereka semua menyambut Rasulullah dan Baginda membelok ke sebelah kanan hingga sampai dan singgah di kalangan qabilah Banu Amru bin Awf.

Singgah di Quba

Di Quba‘ Rasulullah (s.a.w) telah singgah di rumah Kalthum bin al-Hudm, Rasulullah tinggal di Quba’ empat hari iaitu Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis.

Baginda mengasaskan masjid Quba’ dan bersembahyang di situ. Ianya adalah masjid yang pertama sekali dibina di atas dasar taqwa setelah Baginda dibangkitkan sebagai Rasul.

Dalam Al-Quran, Allah SWT ada menyatakan mengenai perihal Masjid Quba’ ini :

“Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).”

(Surah at-Taubah, ayat 108)

Pada hari kelima iaitu hari Jumaat, Baginda berangkat menemui Banu al-Najar, mereka adalah bapa saudara Rasulullah dari sebelah ibunya, sebelum itu Rasulullah menghantar perutusan ke sana menjemput mereka, dengan segera mereka semua datang dengan pedang-pedang bergalas keluar untuk menemui Rasulullah, mereka semua bertemu dengan Rasulullah di perkampungan Banu Salim bin Auf, di dalam masjid di lembah berkenaan Rasulullah berhimpun dengan Banu al-Najar yang seramai seratus lelaki.

Selepas itu Rasulullah SAW masuk ke Madinah

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini