Rasulullah Masuk Ke Madinah Pertama Kali

Izuan
masuk ke madinah

Setelah beberapa hari di Quba’, Rasulullah masuk ke Madinah buat yang pertama kalinya.

Selepas solat Jumaat Rasulullah (s.a.w) memasuki al-Madinah, di mana sejak hari itu daerah yang bernama Yathrib itu dikenali dengan Madinah al-Rasul (s.a.w) untuk singkatan maka disebut al-Madinah sahaja, hari itu adalah hari bersejarah dan gemilang, jalan-jalan, lorong dan rumah-rumah bergema dengan tahmid dan taqdis, seluruh anak-anak gadis Ansar mendendangkan rangkap-rangkap puisi, tanda kegembiraan dan keceriaan.

Rasulullah berhenti di rumah Abu Ayyub al-Ansari

Orang-orang Ansar bukanlah golongan pemilik harta yang banyak, namun setiap dari mereka bercita-cita semoga Rasulullah singgah ke rumah mereka.

Bila sahaja Rasulullah melewati di hadapan rumah setiap orang memegang tali unta Baginda sambil berkata, “Wahai Rasulullah, ayuh bersama kami, kami ada kekuatan dan bilangan yang ramai, kami buat senjata untuk mempertahankan tuan hamba”.

Rasulullah hanya akan menjawab kepada mereka, “Biarlah dia bergerak mengikut arahnya, unta Baginda terus bergerak hingga sampai ke tapak masjid al-Nabawi yang ada sekarang ini, sampai ke situ unta Rasulullah pun berlabuh, namun Rasulullah tidak terus turun, malah untanya bangun semula dan berjalan lagi ke hadapan kemudian berpatah balik semula ke belakang ke tempat pertama tadi, dengan itu barulah Rasulullah turun darinya, sebagai taufik dari Allah tempat itu adalah kawasan kediaman Banu al-Najar keluarga bap’a saudara Rasulullah sebelah ibunya.

Kerana Baginda sendiri pun suka kiranya Baginda dapat turun di kalangan bapa saudaranya, kerana itu adalah suatu penghormatan kepada mereka, semua hadirin meminta Rasulullah tinggal di rumah mereka, tetapi Abu Ayub al-Ansari segera ke binatang tunggangan Baginda dan menuntunnya ke dalam kawasan rumahnya, kata Rasulullah, penunggang harus mengikut tunggangannya, manakala As’ad bin Zurarah pun memegang tali unta dan dengan ku tunggangan tadi tinggallah bersama-sama beliau.

Al-Bukhari meriwayatkan dari Anas: Rasulullah bersabda, “Mana dia rumah keluarga kami yang terdekat?”. Kata Abu Ayub, “Saya Rasulullah dan ini dia rumahku dan ini dia pintu masuk”. Maka beliau pun meluru ke dalam membuat persiapan dan katanya, “Ayuh, bangun kamu berdua dengan keberkatan dari Allah”.

Ketibaan ahli keluarga yang lain

Selepas beberapa hari tibalah isterinya Saudah, dua orang puterinya Fatimah dan Ummi Kalthum, Usamah bin Zaid dan Ummu Aiman, manakala Abdullah bin Abu Bakr pula tiba bersama-sama anak-anak Abu Bakr di antara mereka Aisyah, adapun puteri Rasulullah Zainab masih bersama Abi al-As, kerana tidak dapat keluar untuk berhijrah hinggalah selepas peristiwa Badar.

Kata Aisyah: Setibanya Rasulullah ke al-Madinah, Abu Bakr dan Bilal terus lemah badan, Aisyah masuk menemui mereka berdua untuk bertanyakan khabar mereka, “Bagaimana bapa mendapati diri bapa. Dan bagimana pula kau Bilal?”. Kata Aisyah, “Abu Bakr ini apabila terasa demam berat beliau akan berkata: Setiap insan bersama keluarganya, sedang kematian lebih hampir kepadanya dari tali kasutnya.

Kata Aisyah lagi: Dengan itu ku pun datang menemui Rasulullah dan memberitahu Baginda hal dua orang sahabatnya itu, maka sabda Rasulullah yang bermaksud :

“Ya Allah Tuhanku perkenankanlah cinta kami kepada al-Madinah seperti cinta kami kepada Makkah atau lebih darinya, berilah kesihatan kepadanya, berkatkanlah cupak dan gantangnya, pindahkanlah demamnya itu serta letakkannya ke Juhfah.”

Di sini selesai sebahagian dari penghidupan Rasulullah dan terlaksana satu juzu’ peranan dakwah Islamiah di peringkat Makkah.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini