Setelah Perjanjian Aqabah Kedua terjadi, kaum Quraisy merancang memburu ahli perjanjian Aqabah kerana merasa diperdayakan oleh orang Islam.
Quraisy Mengemukakan Bantahan Kepada Pemimpin Yathrib
Bila mana berita perjanjian ini sampai ke pengetahuan Quraisy timbullah rasa rimas, kebimbangan, dan kekesalan, kerana mereka sudah menduga kesan perjanjian Aqabah terhadap harta benda malah nyawa mereka.
Bila menjelang siang terus diutuskan perwakilan yang ramai terdiri dari pembesar dan kepala samsengnya ke perkhemahan penduduk Yathrib, untuk mengemukakan bantahan mereka yang amat sangat terhadap perjanjian itu, kata mereka: “Wahai kalian al-Khazraj, sebenarnya sudah sampai ke pengetahuan kami, di mana kamu datang menemui saudara kami itu, dengan hasrat kamu untuk membawanya keluar dari pangkuan kami, malah kami sudah berjanji setia untuk memerangi kamu, demi Allah sesungguhnya tidak satu qabilah Arab pun yang senang untuk menyaksi peperangan timbul di antara kami dan mereka, di mana kamu sebahagian darinya”.
Oleh kerana pihak musyirikin Yathrib tidak tahu langsung dengan segala apa yang berlaku di antara Rasulullah dan kaum Muslimin Yathrib, yang bersama mereka dalam jamaah haji itu, lantaran itulah maka mereka berani bersumpah, untuk menegaskan kapada Quraisy, bahawa apa yang mereka tuduh itu sama sekali tidak berlaku.
Oleh itu mereka berjumpa dengan Abdullah bin Ubai bin Salul, di mana beliau menegaskan: “Ini semua adalah palsu belaka, tidak munasabah perkara ini berlaku dan tidak munasabah kaumku boleh bertindak dengan berbuat demikian, kalau aku di Yathrib mereka tidak akan bertindak sesuatu, kecuali setelah mengambil pendapatku”.
Pemimpin Quraisy pulang ke Makkah dengan kepercayaan hampir yakin mengenai perkhabaran yang didustakan itu, namun mereka masih menggali dan mencari kesahihan berita berkenaan, akhirnya mereka memastikan kebenaran berita itu, memang baiah berlaku sebenarnya, itupun setelah jamaah haji pulang ke tanah air masing-masing, dengan itu cepat-cepat wira-wira penunggang kuda Quraisy memburu golongan Yathrib, malangnya masanya sudah terlewat.
Mereka hanya sempat melihat Sa’ad bin Ubadah dan al-Munzir bin Amru. Al-Munzir bin Amru berjaya meloloskan diri, malangnya Sa’ad tertangkap. Pihak Quraisy menangkap serta memberkas tangannya dengan tali ke ke belakang tunggangannya, apa lagi mereka mengerjakan Sa’ad dengan menyeretnya, menarik rambutnya, hinggalah mereka membawa masuk semula ke Makkah.
Namun bila al-Mut’am bin ‘Adi dan al-Harith bin Harb bin Umaiyah mendapati Sa’ad dalam keadaan begini mereka berdua berusaha membebaskan serta merongkai ikatan di tangannya, ini adalah kerana Sa’d memberi perlindungan kepada Qafilah mereka yang melalui Yathrib. Bila hal ini diketahui oleh pihak Ansar maka mereka bersetuju untuk mengembalikannya dengan selamatnya.
Wallahua’lam