Pertukaran Arah Kiblat 15 Sya’ban

pertukaran arah kiblat

Pertukaran arah kiblat dari Masjidil Aqsa ke Kaabah terjadi pada 15 Sya’ban tahun ke-2 hijrah ketika Rasulullah SAW di Madinah.

Pada mulanya, setelah perintah solat diturunkan, kiblat asal umat Islam ialah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis. Memandangkan ketika di Madinah terdapat ramai kaum Yahudi, mereka mengambil kesempatan menabur fitnah memperlekehkan dakwah Rasulullah ﷺ. Kaum Yahudi telah mendakwa bahawa agama mereka adalah benar dan diredhai oleh Allah kerana umat Islam telah meniru kiblat mereka iaitu menghadap ke Baitul Muqaddis.

Lalu Allah سبحانه وتعالى turunkan ayat:

سَيَقُولُ ٱلسُّفَهَآءُ مِنَ ٱلنَّاسِ مَا وَلَّىٰهُمْ عَن قِبْلَتِهِمُ ٱلَّتِى كَانُوا۟ عَلَيْهَا ۚ قُل لِّلَّهِ ٱلْمَشْرِقُ وَٱلْمَغْرِبُ ۚ يَهْدِى مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٍۢ مُّسْتَقِيمٍۢ

“Akan berkata orang-orang yang kurang akalnya: “Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat mereka (Baitulmaqdis) yang dahulunya mereka telah berkiblat kepadanya.”Katakanlah: “Kepunyaan Allah timur dan barat, Dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.”

Al-Baqarah : 142

Rasulullah Meminta Pertukaran Arah Kiblat

Dalam Tafsir ath-Thabariy dijelaskan bahawa ketika Rasulullah ﷺ berhijrah ke Madinah, kebanyakan penduduknya adalah Yahudi, maka Allah سبحانه وتعالى telah memerintah Baginda ﷺ menghadap Baitul Muqaddis (sebagai kiblat).

Orang-orang Yahudi merasa gembira kerana Baitul Muqaddis merupakan kiblat mereka. Selama berkiblat ke Baitul Muqaddis ini orang-orang Yahudi selalu mencaci maki Rasulullah ﷺ. Mereka berkata: “Muhammad menyanggah agama kita tetapi berkiblat kepada kiblat kita!” Dan masih banyak lagi kutukan dan pelekehan mereka yang lain.

Umat Islam telah diduga dengan berbagai-bagai tohmahan dan ujian. Para Sahabat telah mengadu kepada Rasulullah ﷺ dan Baginda ﷺ menyuruh mereka agar terus bersabar dengan ujian itu sehinggalah ada perintah baru dari Allah سبحانه وتعالى.

Sikap orang-orang Yahudi tersebut membuat Nabi Muhammad ﷺ tidak senang, dan setiap hari Baginda ﷺ berdoa menengadahkan wajah mulianya ke langit dalam keadaan rindu agar Allah سبحانه وتعالى menurunkan wahyu pertukaran arah kiblat.

Allah سبحانه وتعالى Maha Mengetahui dan Maha Mendengar tentang apa yang berlaku pada ketika itu dan Allah سبحانه وتعالى telah mewahyukan agar Baginda ﷺ mengadap ke Baitullah Kaabah.

Kebenaran daripada Allah سبحانه وتعالى untuk kembali berkiblatkan Kaabah adalah contoh doa Rasulullah ﷺ yang dikabulkan oleh Allah سبحانه وتعالى. Ini kerana Rasulullah ﷺ sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah.

Permintaan Rasulullah ﷺ tersebut telah diperkenankan oleh Allah سبحانه وتعالى pada bulan Syaaban dengan turunnya ayat 144 dari surah Al-Baqarah yang mengandungi perintah pertukaran arah kiblat daripada menghadap Masjidil al-Aqsa di Baitulmuqadis (Bait al-Maqdis) ke arah Masjidil Haram (Baitullah Kaabah) di Makkah al-Mukaramah.

Firman Allah سبحانه وتعالى:

قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِى ٱلسَّمَآءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةًۭ تَرْضَىٰهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا۟ وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُۥ ۗ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَٰبَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

“Sering Kami melihat kamu (wahai Muhammad) berulang kali menadah ke langit, maka Kami benarkan kamu berpaling mengadap kiblat yang kamu sukai, oleh itu halakan mukamu ke arah Masjidil Haram (tempat letaknya Kaabah); Dan di mana saja kamu berada, maka hadaplah mukamu ke arahnya. Sesungghunya orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Al-Kitab (Taurat dan Injil), mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar daripada Tuhan mereka dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.”


Abu Hatim al Busti berkata: “Kaum Muslimin solat menghadap Baitul Muqaddis selama 17 bulan 3 hari. Iaitu bermula sejak hari Isnin 12 Rabi’ul Awal tahun pertama Hijrah sehingga hari Selasa 15 Syaaban tahun ke-2 Hijrah.”

Solat yang pertama kali dilakukan pasca pertukaran arah kiblat tersebut adalah solat Asar di Masjid Quba’. Rasulullah ﷺ sebagai imam terus mengadap ke Baitullah dan diikuti oleh para sahabat sebagai makmum. Masjid tersebut kini dikenali juga sebagai Masjid Qiblatain (masjid dua kiblat).

Wallahua’lam

sumber – shafiqolbu

0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini