Perjanjian Hudaibiyah berlaku pada bulan Zulakedah tahun keenam hijrah. Ini merupakan perjanjian antara Rasulullah dan pihak Musyrikin Mekah. Dinamakan perjanjian Hudaibiyah sempena nama tempat perjanjian ini ditandatangani.
Isi Kandungan
Sebab Berlaku Perjanjian Hudaibiyah
Perjanjian Hudaibiyah terjadi karena pada tahun keenam Hijrah, berikut ialah kronologi Perjanjian Hudaibiyah.
Semasa di Madinah, Rasulullah s.a.w telah diperlihat di dalam mimpinya bahawa Baginda bersama-sama sahabatnya telah memasuki al-Masjid al-Haram, memegang anak kunci, bertawaf dan melaksanakan ibadat umrah.
Di antara mereka ada yang mencukurkan rambut manakala yang lain memendek rambutnya, Baginda menceritakan semua ini kepada sahabat-sahabatnya. Mereka semua amat gembira hingga menyangka yang mereka akan memasuki kota Makkah pada tahun itu juga. Serentak dengan itu Rasulullah pun memberitahu para sahabat bahawa Baginda akan keluar untuk berumrah, dan mereka semua pun bersiap untuk bersama-sama ke sana.
Dalam perjalanan suci ini, Baginda membawa bersama isterinya Ummu Salamah berserta seribu empat ratus (1,400) orang. Ada pendapat mengatakan seribu lima ratus (1,500) orang tanpa membawa peralatan perang, selain senjata untuk bermusafir, iaitu pedang-pedang bersarung.
Jamaah Umrah ini bergerak ke arah Makkah, sehingga apabila sampai di Zu al-Halifah, Baginda menuntun sembelihan korban serta memulakan upacara umrah di tempatnya. Zu al-Halifah sebagai miqat makani (tempat permulaan ibadat) di sertai dengan pakaian ihram, sebagai memaklumkan kepada orang ramai ketibaannya bukan untuk berperang.
Perjalanan diteruskan, sampai sahaja di Hudaibiyah, jamaah ini berkhemah sebentar di sana. Kaum Quraisy telah menghantar Urwah bin Mas’ud untuk datang menemui Rasulullah untuk mengetahui tujuan kedatangan orang Islam ke Mekah,setelah Urwah pulang ke Mekah dan memberitahu niat dan tujuan Nabi Muhammad dan pengikutnya datang untuk mengerjakan haji maka pihak Quraish tidak membenarkan mereka masuk ke Kota Mekah.
“Wahai kalian, demi Allah, aku ini pernah menemui raja-raja, Qaisar Roman dan Kisra Parsi dan Maharaja al-Najasyi dan tidak pernah pula ku melihat mereka disanjung sepertimana sahabat-sahabat Muhammad menyanjung diri Muhammad.
Kata Urwah ibn Mas’ud kepada Quraisy
Uthman Bin Affan Wakil Rasulullah Bertemu Quraisy
Kini Rasulullah hendak mengirim seorang duta kepada Quraisy untuk meyakinkan mereka mengenai pendirian dan tujuan kedatangan mereka, Baginda memanggil Umar bin al-Khattab untuk dihantar tetapi Umar meminta pengecualian dengan katanya: “Wahai Rasululllah, kecualikanlah daku, tiada siapa dari kalangan Banu Kaab yang bersimpati dengan ku sekiranya ku disakiti. Hantarlah Uthman bin Affan, keluarganya ada di sana, dan beliau berupaya menyampaikan apa yang Rasulullah kehendaki”.
Maka Rasulullah menjemput Uthman dan dihantarnya beliau untuk berbicara dengan Quraisy. Kata Rasulullah: “Beritahu mereka bahawa kita datang ke mari bukan untuk berperang tapi datang untuk mengerjakan umrah serta serukan mereka kepada Islam”.
Baginda juga menyuruh beliau bertemu dengan kaum lelaki mukmin dan wanita mukmin, memberitahu mereka perkhabaran yang mengembirakan bahawa Allah akan tampilkan agamanya di Makkah hingga tiada siapa pun yang akan merahsiakan imannya.
Khabar Angin Uthman Affan Telah Dibunuh
Quraisy telah menahan Uthman agak lama juga, kerana mereka hendak bermesyuarat sesama mereka untuk membuat keputusan yang muktamad, untuk mereka berikan kepada Uthman sebagai jawapan kepada perutusan yang akan dibawa oleh Uthman kepada Rasulullah
Maka, tersebar luas berita yang mengatakan Uthman telah dibunuh oleh pihak Quraisy, sehingga Rasulullah sendiri telah menegaskan dengan katanya: “Kita tidak akan beredar dari sini hinggalah kita memerangi mereka”.
Untuk itu Baginda meminta para sahabatnya berikrar dengan satu bai’ah (sumpah setia), berduyun-duyun mereka ke hadapan Rasulullah memberi bai’ah untuk tidak akan bergerak dan berundur, berbai’ah secara jamaie untuk mati bersama. Ini dinamakan Bai’ah Riduan(Perjanjian Ridwan) atau Bai’ah Syajarah kerana dibuat di bawah pokok(Syajarah).
Orang Quraisy yang berasa bimbang dengan kekuatan umat Islam lalu membebaskan Uthman dan menghantar Suhail bin Amru untuk berunding dengan Muhammad dengan itu, termenterailah Perjanjian Hudaibiyah di antara Muhammad (pihak Islam) dengan Suhail bin Amru (orang Quraisy).
Isi Perjanjian Hudaibiyah
- Gencatan senjata selama 10 tahun.
- Orang Islam dibenarkan memasuki Makkah pada tahun berikutnya, tinggal di Makkah selama tiga hari sahaja dengan hanya membawa senjata bersarung.
- Bekerjasama kepada perkara yang membawa kebaikan.
- Orang Quraisy yang lari ke pihak Islam tanpa kebenaran keluarga dikembalikan semula.
- Orang Islam yang lari ke pihak Quraisy tidak perlu dikembalikan.
- Kedua-dua pihak dibenarkan membuat perundingan dengan mana-mana pihak.
Hikmah Perjanjian Hudaibiyah
- Kehidupan masyarakat aman dan damai.
- Berkembangnya syiar Islam.
- Pengiktirafan Rasulullah dan negara Islam di Madinah.
- Membuka jalan kepada pembebasan Mekah daripada Musyrikin Quraisy.
- Orang Islam dapat membuat perhubungan dengan kabilah Arab yang lain.
Kesan Perjanjian Hudaibiyah
- Orang Islam berpeluang bagi menunaikan ibadat Haji
- Dakwah Islam semakin tersebar
- Perjanjian ini menunjukkan orang-orang Arab Quraisy mengiktiraf kerajaan Islam di Madinah.
- Panglima Quraisy memeluk Islam, selepas perjanjian al-Hudaibiah, Amru bin al-A’as, Khalid bin al-Walid dan Uthman bin Talhah mendapat hidayah memeluk Islam.
Links: