Perjanjian Aqabah Kedua (622 Masihi)

Izuan
Perjanjian aqabah kedua

Perjanjian Aqabah kedua terjadi pada tahun ke-13 kerasulan, ketika itu musim haji bagi masyarakat Arab.

Maka telah datang rombongan dari Yathrib seramai 70 orang lebih untuk menunaikan haji. Dalam perjalanan mereka itu, mereka tertanya-tanya sampai bila agaknya mereka akan membiarkan Rasulullah di Makkah didera dan diancam oleh Musyrikin Makkah.

Sebaik sahaja sampai di Makkah, mereka telah membuat beberapa pertemuan sulit dengan Rasulullah SAW. Akhirnya mereka bersetuju untuk membuat perjumpaan beramai-ramai di pertengahan hari tasyriq, di persimpangan berhampiran al-Aqabah di tempat Jamrah pertama dilakukan. Perjumpaan itu dilakukan dalam suasana rahsia pada malam yang gelap gelita. Oleh sebab itu, perjumpaan ini dinamakan perjanjian Aqabah.

Mari kita menghayati perjumpaan yang bersejarah lagi barakah itu melalui cerita salah seorang pemimpin Ansar, iaitu

Kaab bin Malik al-Ansari telah menceritakan:

“Kami telah keluar ke tempat haji, sebelumnya telah pun kami membuat janji dengan Rasulullah untuk bertemu di al-‘Aqabah di pertengahan hari-hari tasyriq, malam yang kami janjikan itu turut disertai Abdullah bin Amru bin Haram salah seorang ketua pimpinan kami dan orang yang kami muliakan, perjumpaan kami itu sengaja kami rahsiakan dari kaum sebangsa kami yang masih musyrik lagi, yang turun bersama untuk mengerja haji.

Di malam itu kami telah berbicara dengan Abdullah bin Amru, kata kami “Wahai Abu Jabir tuan adalah salah seorang pemimpin kami dan tokoh yang kami muliakan, sebenarnya kami tidak rela engkau dicampakkan ke dalam api neraka sebagai bahannya di suatu hari esok, dengan itu kami menyeru kepada Islam, seterusnya kami ceritakan tentang pertemuan kami dengan Rasulullah di al-‘Aqabah”.

Kata Kaab “Tanpa berlengah, beliau mengucap dua kalimah syahadah, dan beliau turut serta dipertemuan al- ‘Aqabah, di mana beliau menjadi naqib dan ketua.

Kata Kaab “Di malam itu kami segera tidur bersama-sama kaum kami di samping peralatan perjalanan, hatta apabila berlalu sepertiga malam, kami pun keluar dari perkarangan khemah untuk menemui Rasulullah, kami keluar bersembunyi bak burung puyuh melalui denainya, hinggalah kami semua bertemu dan berkumpul di persimpangan al- ‘Aqabah, kami semua tujuh puluh tiga lelaki dan dua wanita iaitu Nusaibah binti Kaab dan Asma’ binti Amru.

Kami semua berkumpul di persimpangan yang dijanjikan, menunggu ketibaan Rasulullah, tepat pada masanya, Rasulullah pun datang, turut serta mengiringi Rasulullah ialah al-Abbas bin Abd al-Muttalib, beliau masih lagi dengan agama kaumnya, namun beliau rela menyertai dan menyokong urusan anak saudaranya itu dan beliau pula orang pertama bercakap di dalam majlis itu.

Penjelasan Tentang Perjanjian Aqabah Kedua

Setelah bilangan mereka untuk menghadiri perjumpaan itu cukup, maka perbincangan pun dimulakan.

Orang pertama yang bersuara ialah al-Abbas bin Abd al-Muttalib bapa saudara Rasulullah, dalam ucapan itu beliau menjelaskan tentang beratnya bebanan tanggungjawab yang harus mereka pikul nanti, sebaik sahaja perjanjian itu dipersetujui.

Katanya: “Wahai kalian al-Khazraj, sebenarnya sepertimana yang kamu ketahui, Muhammad ini adalah darah daging kami, hingga kini kami masih mempertahankannya dari kemarahan kaum kami, hingga kini beliau masih tetap kesayangan kami dan terpelihara di dalam tanah airnya, tetapi beliau ini tetap berkeras untuk menyertai kamu dan bersama kamu, kiranya kamu yakin dapat mengotakan janji kamu itu dan sanggup pula memberi keamanan kepadanya maka itu adalah hak kamu untuk mengambil Muhammad bersama-sama kamu, tetapi sekiranya kamu merasakan tidak berkesanggupan atau akan membiarkan beliau keseorangan maka lebih baik dari sekarang lagi kamu tinggalkannya, kerana di sini beliau masih mulia dan dijaga oleh kalangan kaumnya.”

Kaab berkata “Kami faham satu persatu apa yang tuan bicarakan itu, sekarang kami hendak dengar dari Rasulullah, ayuh Rasulullah sebutkan apa sahaja kewajipan kami untuk dirinya (s.a.w) dan untuk Tuhannya sekehendak hati Rasulullah (s.a.w).”

Jawapan Kaab yang penuh semangat, itu menggambarkan keazaman, kesediaan, keimanan dan keyakinan terhadap Rasulullah SAW. Maka Rasulullah pun membentangkan agenda Perjanjian itu.

Perjanjian Aqabah Kedua
  1. Mendengar dan mematuhi dalam keadaan segar dan malas.
  2. Berinfaq semasa susah dan senang.
  3. Menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah kemungkaran.
  4. Berjuang kerana Allah tanpa mempedulikan kecaman orang.
  5. Menyokong daku setibanya daku di kalangan kamu nanti, mempertahankan daku seperti mana kamu pertahankan diri dan anak isteri kamu, sebagai balasan adalah syurga Allah di akhirat nanti.

Risiko Yang Bakal Dihadapi

Kata Ibnu Ishak: Setelah mereka berkumpul untuk baiah maka berkata al-Abbas bin Ubadah bin Nadhlah: “Adakah kamu mengetahui untuk apa kamu berbaiah dengan lelaki ini?”

Jawab mereka: “Ya”

Katanya lagi: “Sesungguhnya kamu berbaiah dengan beliau untuk memerangi manusia samada yang berkulit merah atau yang berkulit hitam, sekiranya dalam perjuangan ini harta kamu kehabisan, pembesar-pembesar mati, jika di masa itu kamu akan serahkan lelaki ini, maka dari sekarang ini tak usah kamu berbaiah, kerana demi Allah ini adalah sebesar-besar malu di dunia dan di akhirat, tetapi sekiranya kamu berupaya menunaikan janji kamu itu kepadanya tepat seperti mana kamu suarakan itu, hingga walaupun kamu kehabisan harta dan kehilangan pembesar-pembesar kamu, maka terimalah beliau ini, kerana itu adalah kemuliaan di dunia dan di akhirat”.

Jawab mereka semua: “Sesungguhnya kami akan menerima beliau dengan kerelaan hati menerima risiko kehilangan harta benda dan kematian tokoh pemimpin kami, dan sekiranya demikian maka apakah balasannya wahai Rasulullah?”

Jawab baginda: “Syurgalah balasannya”.

Kata mereka: “Ayuh hulurkan tangan mu”, maka baginda pun menghulurkan tangannya dan mereka semua berbaiah melalui berjabat tangan.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini