Pandangan Mata Ketika Solat

Izuan
pandangan mata ketika solat

Semasa solat mesti pernah terpikir kan, yang betulnya mana arah pandangan mata ketika solat?

Ke depan ke atau ke tempat sujud? Lepas tu, masa rukuk nak pandang kaki atau tempat sujud?

Jangan risau, dalam artikel ini saya akan kongsi tentang kedudukan mata ketika rukuk, dan arah pandangan mata ketika solat.

Prinsip Asas

Secara umumnya, seseorang itu disunatkan untuk melihat ke arah tempat sujud ketika solat dalam semua keadaan, kerana ia lebih membantu untuk memperoleh khusyuk dalam solat. Ini merupakan pandangan muktamad mazhab al-Syafi’e, seperti yang disebut oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami.[1]

Hal ini berdalilkan antara lain hadis berikut yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha:

دخل رسول الله صلى الله عليه وسلم الكعبة، وما خلّف بصره موضع سجوده حتى خرج منها

Maksudnya: Rasulullah SAW masuk ke dalam Kaabah dan solat di dalamnya; penglihatan Baginda tidak terlepas daripada melihat ke tempat sujudnya, sehinggalah Baginda keluar dari Kaabah.

Riwayat al-Hakim (1/652) dan Ibn Hibban (4/332) 

Menurut pandangan muktamad di sisi para ulama mazhab Syafie, seseorang itu disunatkan untuk melihat ke tempat sujud dalam semua keadaan ketika solat.

Persoalan Pandangan Mata Ketika Solat

Boleh ke mata bergerak-gerak ketika solat?

‘’Mereka dahulu (para sahabat) berpaling-paling dalam solat mereka sehinggalah turunnya firman Allah S.W.T:

قَد أفْلَحَ المُؤمِنُون الَّذِينَ هُم فِي صَلاتِهِم خَاشِعُون

Maksudnya: Telah berjayalah golongan yang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyu’ di dalam solat mereka. (Surah Al-Mu’minuun :1-2)

Maka mereka pun beralih semula ke arah solat mereka (iaitu solat dengan tekun) dan melihat ke arah hadapan mereka. Dan mereka menggalakkan untuk salah seorang mereka tidak melepasi pandangan mereka dari tempat sujud mereka’’. Rujuk Fath Al-Bari, Ibn Hajar (2/272).

Hukum pejam mata ketika solat

Perbuatan solat tutup mata dihukumkan sebagai makruh di sisi sebahagian fuqaha kerana bercanggahan dengan galakan memandang ke tempat sujud. Mereka berhujah dengan menggunakan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا قَامَ أَحَدُكُمْ فِي الصَّلَاةِ فَلَا يُغْمِضْ عَيْنَيْهِ

Maksudnya: Apabila salah seorang dari kamu berdiri di dalam solatnya maka janganlah dia memejamkan matanya. [Riwayat Al-Thabrani (1/37)]

Kedudukan mata ketika rukuk?

Pandangan ini ada disebut oleh Syeikh al-Syarwani dalam syarahnya terhadap Tuhfah al-Muhtaj: 

وَقِيلَ يَنْظُرُ فِي الْقِيَامِ إلَى مَوْضِعِ سُجُودِهِ وَفِي الرُّكُوعِ إلَى مَوْضِعِ قَدَمَيْهِ وَفِي السُّجُودِ إلَى أَنْفِهِ وَفِي الْقُعُودِ إلَى حِجْرِهِ لِأَنَّ امْتِدَادَ الْبَصَرِ يُلْهِي فَإِذَا قَصُرَ كَانَ أَوْلَى وَبِهَذَا جَزَمَ الْبَغَوِيّ وَالْمُتَوَلِّي…

Maksudnya: Menurut pandangan kedua dalam mazhab: Seseorang yang solat itu hendaklah melihat ke arah tempat sujud ketika dalam keadaan berdiri (qiyam), ke arah kedua tapak kaki ketika rukuk, ke arah hidung ketika sujud dan ke arah paha ketika sedang duduk. Hal ini kerana memanjangkan pandangan boleh mengganggu fokus ketika solat, dan jika dia memendekkan pandangan (yakni sekadar memandang tapak kaki ketika rukuk, bukannya ke tempat sujud), itu adalah lebih utama. Pandangan demikian juga diputuskan oleh al-Baghawi dan al-Mutawalli.

Kesimpulannya, menurut sebahagian ulama mazhab Syafie, seseorang itu disunatkan untuk melihat ke arah kedua bahagian atas kaki ketika rukuk untuk membantunya supaya lebih khusyuk dalam solat. Namun pendapat yang lebih muktamad adalah melihat ke tempat sujud ketika rukuk. Wallahu a’lam.

Pandang ke langit ketika solat

Dalam isu ini kita hendaklah mengetahui bahawa terdapat larangan ke atas perbuatan memandang ke langit semasa solat. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَا بَالُ أَقْوَامٍ يَرْفَعُونَ أَبْصَارَهُمْ إِلَى السَّمَاءِ فِي صَلاَتِهِمْ

Maksudnya: Apalah masalahnya dengan kelompok manusia yang mengangkat pandangan mereka ke langit di dalam solat mereka.
Baginda menegaskan kenyataan ini dengan katanya:

لَيَنْتَهُنَّ عَنْ ذَلِكَ أَوْ لَتُخْطَفَنَّ أَبْصَارُهُمْ

Maksudnya: Hendaklah mereka berhenti dari melakukan hal tersebut atau akan dihilangkan penglihatan mereka (menjadi buta). [Riwayat Al-Bukhari (750)]

Apa hukum solat tak pandang tempat sujud?

Dipetik dari artikel Dr. Zulkifli al-Bakri,

“Kami menyatakan bahawa makruh hukumnya seseorang itu tidak memandang ke tempat sujudnya semasa solatDalam erti kata dia memandang ke kiri dan ke kanan, atau dia mengangkat pandangannya ke atas. Kerana hal sebegini adalah amat berjauhan dengan konsep solat yang memerlukan seseorang itu untuk khusyuk, khudu’ (tunduk), serta tekun. Manakala disunatkan untuk mereka yang solat menundukkan pandangan mereka menghadap ke tempat sujud.”

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini