Nabi Zulkifli a.s

Izuan
zulkifli

Zulkifli a.s ialah salah seorang utusan Allah, mempunyai kesabaran yang tinggi dan rajin beramal soleh

Terdapat perbahasan samada adakah Zulkifli a.s ini ialah nabi atau hanya sekadar hamba Allah yang soleh. Tetapi di sini kami tidak akan membahas tentang khilaf tersebut, jika ingin membaca perbahasan itu boleh layari page mufti wilayah.

Jika melihat tulisan Arab, وَذا الْكِفْلِ, kita boleh membacanya dengan bunyi Dzu al-Kifli(yang memilki kemampuan)

Dzu al-Kifli dikatakan hidup sekitar tahun 1500-1425 SM dan meninggal pada usia 75 tahun di Damsyiq, Syria

Firman Allah SWT:

وَإِسْمَاعِيلَ وَإِدْرِيسَ وَذَا الْكِفْلِ ۖ كُلٌّ مِّنَ الصَّابِرِينَ

MaksudnyaDan (demikianlah pula) Nabi-nabi Ismail dan Idris serta Dzu al-Kifl; semuanya adalah dari orang-orang yang sabar.

(Surah al-Anbiya’: 85)

Ibnu Kathir Rahimahullah berkata: Adapun Dzu al-Kifl, yang zahir daripada nas bahawa beliau tidaklah digandingkan bersama para nabi melainkan beliau sememangnya seorang Nabi. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/476)

Tidak banyak sumber atau nas berkenaan Nabi Zulkifli ini, tetapi ada satu kisah yang kita boleh ambil pelajaran.

Ibnu Kathir Rahimahullah juga telah menceritakan dengan panjang lebar berkaitan Dzu al-Kifli ini dalam kitabnya Qasas al-Anbiya’ (1/370-380). Kami nukilkannya seperti berikut: “Secara zahir, al-Quran menyebutkan sanjungan Allah SWT kepada Dzu al-Kifl bersamaan dengan para nabi. Ini menunjukkan bahawa dia adalah seorang nabi. Semoga Allah melimpahkan selawat dan salam kepadanya. Inilah pendapat yang masyhur.

Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dari jalur Daud bin Abi Hind, dari Mujahid, bahawa dia berkata: “Setelah al-Yasa’ berusia lanjut, maka beliau berkata, “Adakah orang yang akan menggantikanku, mengurus dan bekerja untuk orang ramai pada baki usiaku ini, hingga aku dapat melihat dia bekerja?” Maka beliau lalu mengumpulkan orang ramai dan berkata, “Barangsiapa menerima tiga permintaanku, maka akan aku jadikan penggantiku; iaitu puasa di siang hari, solat di malam hari, dan menahan marahnya.”

Mujahid melanjutkan, “Maka bangkitlah seorang lelaki yang dipandang hina oleh masyarakat, dia berkata, “Aku.” Al-Yasa’ berkata, “Apakah kamu sanggup puasa di siang hari, solat di malam hari, dan menahan marah?” Dia menjawab, “Ya.”

Mujahid melanjutkan, “Maka al-Yasa’ mengulanginya pada hari itu dan pada hari lain dengan pertanyaan yang sama. Orang ramai terdiam. Orang tadi bangkit dan berkata, “Aku.” Maka al-Yasa’ melantiknya untuk menjadi penggantinya.

Mujahid berkata, “Maka Iblis berkata kepada para syaitan, “Goda lah si fulan.” Mereka pun angkat tangan dan tidak sanggup melakukannya. Iblis berkata, “Biar aku sendiri yang tanganinya.” Maka Iblis mendatanginya dalam rupa seorang yang sangat tua yang faqir. Iblis mendatanginya di kala Dzu al-Kifli hendak berbaring berehat pada siang hari. Sebelumnya dia masih belum tidur sama ada siang atau malam kecuali waktu tersebut.

Iblis mengetuk pintu. Maka Dzu al-Kifli bertanya, “Siapa?” Iblis menjawab, “Seorang tua yang dizalimi.” Maka Dzu al-Kifli bangkit dan membuka pintu. Kemudian Iblis bercerita panjang lebar seraya berkata, “Ada satu konflik yang terjadi antara diriku dan kaumku. Mereka menzalimiku dan memperlakukanku dengan sewenang-wenangnya.” Iblis terus berbicara sehingga waktu istirehat pun habis. Lalu Dzul Kifli berkata, “Apabila malam telah tiba maka datanglah ke mari, aku akan kembalikan hakmu.”

Ketika malam tiba, Dzu al-Kifli berada di tempatnya dan mengamati sekiranya ada si tua tadi. Dia tidak melihatnya dan dia pun bangkit meninggalkan tempat itu.

Keesokan harinya Dzu al-Kifli disibukkan dengan pekerjaannya, mengadili urusan-urusan orang ramai. Dia menunggu orang tua faqir yang dizalimi tersebut, namun tidak menemuinya. Tatkala dia kembali ke rumah untuk istirehat siang, maka pintu rumahnya diketuk oleh seseorang. Dia berkata, “Siapa?” Maka Iblis berkata, “Si tua yang dizalimi.”

Dia pun membuka pintu seraya berkata, “Bukankah aku telah katakan kepadamu bila aku dalam pekerjaanku maka datanglah?” Iblis menjawab, “Mereka adalah sejahat-jahat kaum. Apabila mereka mengetahui bahawa engkau sedang dalam pekerjaanmu, maka mereka mengatakan, “kami akan memenuhi hakmu”. Namun apabila engkau bangkit (pulang), maka mereka menentangmu.” Dzu al-Kifli berkata, “Pergilah, nanti malam datang padaku.”

Dengan demikian, maka hilanglah waktu tidur siangnya. Kemudian pada malam harinya dia menunggu-nunggu orang tua tadi, tetapi tidak kunjung tiba, hingga akhirnya dia dihinggap rasa mengantuk, lalu dia berkata kepada anggota keluarganya, “Jangan biarkan seorang pun dekati pintu ini sehingga aku dapat tidur, kerana aku merasa mengantuk.”

Pada saat itulah muncul orang tua tadi seraya berkata, “Aku sudah menemuinya kelmarin dan sudah aku ceritakan masalahku kepadanya.” Lalu keluarganya berkata, “Tidak, demi Allah, dia telah menyuruh kami agar tidak membiarkan seorang pun mendekati pintu ini.”

Setelah tidak berhasil memujuk keluarganya itu, dia melihat ada lubang angin pada rumahnya, lalu dia masuk melalui lubang angin itu, hingga tiba-tiba dia sudah berada dalam rumah dan mengetuk pintu dari dalam rumah. Dzu al-Kifli kemudian berkata, “Hai fulan, bukankah aku telah menyuruhmu agar tidak ada yang mendekati pintu ini?”

Iblis menjawab, “Memang aku tidak dibenarkan masuk, tetapi lihatlah dari mana aku boleh masuk.”

Kemudian Dzu al-Kifli bangkit dan menuju ke pintu dan ternyata pintu masih tertutup seperti asal dia menutupnya. Dia tertanya-tanya dari mana orang ini masuk, hingga akhirnya dia tahu lalu bertanya, “Adakah kamu musuh Allah?”

“Ya, engkau telah menjadikan aku tidak mampu untuk menakluki dirimu. Aku telah berusaha sedaya upaya seperti yang engkau lihat untuk membuat-mu marah.” Jawabnya.

Oleh kerana itulah, Allah menamakan-nya Dzu al-Kifli (yang memilki kemampuan), kerana dia telah memikul satu perintah dan mampu menunaikannya. (Lihat Qasas al-Anbiya’, 1/370-380)

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini