Terdapat satu kisah yang kita boleh ambil pengajaran tentang 3 sahabat yang dipulaukan akibat tidak menyertai Perang Tabuk. Terdapat ayat Quran berkaitan peristiwa ini iaitu di Surah at-Taubah ayat 118.
Perang Tabuk adalah perang yang penting antara tentera Islam pimpinan Rasulullah dan tentera Rom.
Oleh itu, Rasulullah telah menyeru semua umat Islam untuk turut serta dalam peperangan yang besar ini.
Yang mengejutkan ialah terdapat 3 orang mukmin yang diperakui keimanannya tetapi tidak turut serta. Mereka bertiga ialah Ka’ab bin Malik, Mararah bin al-Rabi’ dan Hilal bin Umaiyah.
Sekembali Rasulullah ke Madinah, Baginda terus memasuki masjid, Baginda bersembahyang dua rakaat, setelah itu Baginda duduk menghadapi orang ramai.
Orang-orang yang tidak ikut dalam perang Tabuk mulai datang menemui Baginda sambil menjelaskan alasan mereka tidak ikut dalam perang Tabuk. Orang-orang munafik yang tidak ikut dalam peperangan tersebut menyebutkan berbagai alasan dusta, namun Nabi tetap menerima alasan-alasan yang mereka ucapkan, membai’at mereka kembali dan memohonkan ampunan buat mereka, sedangkan urusan hati mereka diserahkan kepada Allah Azza wa Jalla.
Kepada mereka bertiga, Rasulullah telah memerintah sekalian para sahabat supaya tidak bertegur sapa dengan mereka, maka berlakulah satu pemboikotan yang hebat terhadap tiga orang sahabat ini. Sekalian kaum muslimin menunjuk perubahan sikap yang mendadak, terasa bagi mereka bagaikan bumi ini menolak kehadiran mereka, bumi yang luas ini terasa sempit, nafas mereka pun terasa sesak.
Setelah berlalunya empat puluh hari, ditambah lagi ujian, mereka diperintah supaya mengasing diri dari isteri-isteri mereka, hingga apabila Allah pun menurunkan firmanNya:
وَعَلَى ٱلثَّلَـٰثَةِ ٱلَّذِينَ خُلِّفُوا۟ حَتَّىٰٓ إِذَا ضَاقَتْ عَلَيْهِمُ ٱلْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ وَضَاقَتْ عَلَيْهِمْ أَنفُسُهُمْ وَظَنُّوٓا۟ أَن لَّا مَلْجَأَ مِنَ ٱللَّهِ إِلَّآ إِلَيْهِ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ لِيَتُوبُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ
“Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan penerimaan taubat. Hingga apabila bumi menjadi sempit bagi mereka, pada hal bumi itu luas dan jiwa mereka pun telah sempit pula terasa oleh mereka. Dan mereka telah mengetahui bahawa tidak ada tempat lari dari siksaan Allah, melainkan kepadaNya sahaja, kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya, sesungguhnya Allahlah yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang”.
(at-Taubah : 118)
Dengan itu maka seluruh kaum muslimin bergembira dan yang paling bergembira ialah tiga orang yang dihukumkan oleh Allah dan RasulNya itu, kegembiraan yang tidak terperi, masing-masing mengucap tahniah dan mengucap selamat berbahagia, masing-masing memberi hadiah dan bersedekah, hari itu adalah saat yang paling berbahagia di dalam hayat mereka.
Wallahua’lam