Kewafatan Rasulullah SAW

Izuan

Rasulullah SAW wafat pada hari Isnin 12 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah pada usia Baginda 63 tahun. Kewafatan Rasulullah bukanlah suatu peristiwa yang tiba-tiba, terdapat pelbagai isyarat yang Nabi Muhammad telah cuba sampaikan kepada para sahabat ketika ajal semakin hampir.

Tanda Isyarat Ajal Rasulullah

Setelah Dakwah al-Islamiah sempurna dan Islam menguasai suasana maka tanda-tanda dan bahasa-bahasa pengucapan selamat tinggal kepada dunia dan manusia mula tertera di dalam ungkapan-ungkapan dan ucapan-ucapan Rasulullah (s.a.w) melalui perbualan dan perbuatan
Baginda.

Di dalam bulan Ramadhan tahun ke sepuluh Hijrah Baginda beriktikaf di masjid selama dua puluh hari, sedang sebelum ini hanya sepuluh hari sahaja, di dalam tempoh ini Jibrail (a.s) mendatangi Baginda untuk membuat ulangan dan tadarus al-Quran sebanyak dua kali.

Di dalam Hajjah al-Wada’ Baginda telah menyebut: “Sebenarnya berkemungkinan aku tidak akan menemui kamu lagi selepas pertemuan kita di tahun ini”.

Semasa di Jamrah al-Aqabah Baginda berkata : “Ambillah peribadatan haji ini dariku, boleh jadi aku tidak akan mengerjakan haji lagi selepas tahun ini”.

Surah al-Nasr turun di pertengahan hari-hari tasyrik, darinya Baginda mengetahui bahawa itu adalah ucapan selamat tinggal dan pemberitahuan tentang kematiannya.

Dipermulaan Safar tahun sebelas (11) Hijrah Rasulullah telah keluar ke Uhud, Baginda bersembahyang untuk para syuhada’ sebagai mengucap selamat tinggal kepada sekalian yang hidup dan yang mati,

Di suatu malam Rasulullah keluar ke kawasan perkuburan al-Baqi’, di sana Rasulullah memohon keampunan untuk penghuni di kubur berkenaan dengan doanya yang bermaksud: “Assalamulaikum wahai penghuni kubur, bermudahlah kamu ke atas apa yang berlaku pada kamu, dengan apa yang berlaku ke atas orang lain, kini fitnah telah mula tiba, bak sebidang malam yang gelap pekat, hujungnnya terus menyusul selepas permulaannya, hujungnya lebih buruk dari permulaannya”. Di sini Rasulullah menyampaikan berita gembira kepada mereka, dengan sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya kami menyusul datang selepas kamu”

Rasulullah Jatuh Sakit

Di hari kedua puluh sembilan (29) bulan Safar tahun kesebelas (11) hijrah, pada hari Isnin, Rasulullah berkesempatan menghadiri pengkebumian jenazah di al-Baqi’. Dipertengahan jalan sekembalinya Baginda dari al-Baqi’, Baginda terasa sakit kepala, panasnya terlalu menjadi-jadi, orang yang disekeliling Baginda turut merasai kepanasannya terutama di atas kain balutan di kepala Baginda yang mulia itu.

Namun demikian Rasulullah terus bersolat dengan sekalian kaum muslimin dalam keadaan Baginda mengalami kesakitan untuk selama sebelas hari, sedang keseluruhan hari sakit Baginda tiga belas atau empat belas (13 atau 14) hari.

Ibnu Mas’ud RA, bahwasanya dia berkata: “Ketika ajal Rasulullah SAW sudah dekat, Rasulullah mengumpulkan kami di rumah Aisyah RA, kemudian Rasulullah memandang kami sambil berlinangan air matanya, lalu bersabda: “Marhaban bikum, semoga Allah memanjangkan umur kamu semua, semoga Allah menyayangi, menolong dan memberikan petunjuk kepada kamu.”

Aku berwasiat kepada kamu, agar bertakwa kepada Allah. Sesungguhnya aku adalah sebagai pemberi peringatan untuk kamu. Janganlah kamu berlaku sombong terhadap Allah.” Allah berfirman: “Kebahagiaan dan kenikmatan di akhirat kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan dirinya dan membuat kerosakan di muka bumi. Dan kesudahan surga itu bagi orang orang yang bertakwa.

Menghampiri Saat Wafat

Walau pun nabi dalam keadaan sakit namun Baginda terus bersembahyang mengimami sidang jemaah sekalian, hingga ke hari Khamis empat hari sebelum Baginda wafat. Di hari itu Baginda bersembahyang maghrib dengan membaca surah “al-Mursalat “.

Semasa sembahyang Isya’ sakit Baginda bertambah berat, menyebabkan Baginda tidak terdaya untuk keluar ke masjid, kata Aisyah: Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apakah orang ramai sudah sembahyang?”. Kata kami: “Tidak wahai Rasulullah, mereka semua sedang menunggu tuan hamba”. Kata Baginda lagi: Sediakan air di dalam talam itu”. Kami pun berbuat mengikut seperti suruhan Baginda, dengan itu Baginda pun bersuci, dan bangun namun Baginda telah pitam di situ kemudian sedar bertanya pula: “Apakah orang ramai sudah bersembahyang.

Kejadian pitam ini berulang kali berlaku seperti yang pertama iaitu selepas Baginda bersuci, akhirnya Baginda suruh Abu Bakar bersembahyang mengimami orang ramai.

Sehari dua sebelum wafat, Baginda keluar dengan dibantu oleh dua orang untuk bersembahyang Zohor, sedang Abu Bakr mengimami orang ramai. Sebaik sahaja Abu Bakr terlihat Baginda beliau pun berundur ke belakang, tetapi Rasulullah (s.a.w) memberi isyarat supaya jangan beliau berundur, Rasulullah menyuruh dua orang yang membantu Baginda supaya mendudukkan Baginda sebelah Abu Bakr, mereka berdua pun mendudukkan Rasulullah (s.a.w) di sebelah kiri Abu Bakr, dan Abu Bakr mengikuti (beriqtida’) dengan Rasulullah di dalam sembahyangnya, di samping memperdengarkan takbir-takbir kepada sekalian jemaah.

Pada hari Ahad iaitu sehari sebelum wafat, Rasulullah (s.a.w) memerdekakan kesemua hamba sahaya, bersedekah dengan tujuh dinar yang Baginda miliki pada ketika itu, semua senjata-senjatanya diberikan kepada kaum muslimin. Di malam berkenaan Aisyah meminjam minyak untuk menghidupkan lampu dari jirannya, baju besi Rasulullah tergadai pada seorang Yahudi dengan tiga puluh (30) cupak beras bali.

Hari Terakhir Rasulullah

Anas bin Malik meriwayatkan katanya: Sekalian kaum muslimin yang sedang bersolat Subuh di belakang Abu Bakr di hari Isnin itu dikejut oleh kemunculan Rasulullah dari sebelah tabir bilik Aisyah sedang jemaah bersembahyang. Baginda melihat dan memberi senyumannya, Abu Bakr pun berundur ke belakang untuk menyertai saf di belakang, kerana beliau menyangka Rasulullah hendak keluar bersembahyang.

Kata Anas lagi: Hampir-hampir sidang jemaah terpesona dengan solat mereka kerana gembira melihat Rasulullah (s.a.w) namun Baginda memberi isyarat kepada mereka supaya meneruskan sembahyang. Lepas itu Baginda melepaskan tabir dan masuk ke dalam. Selepas itu Rasulullah (s.a.w) tidak berkesempatan lagi untuk bersembahyang lima waktu yang lain.

Semasa siang semakin cerah Rasulullah (s.a.w) menjemput Fatimah dan membisik kepadanya sesuatu, menyebabkan beliau menangis, lepas itu Baginda memanggil Fatimah dan membisik kepadanya sesuatu menyebabkan Fatimah tersenyum, kemudian Aisyah berkata: Kami pun bertanya apa ceritanya?. Jawab Fatimah: “Baginda membisik bahawa Allah akan menjemputnya melalui sakit yang Baginda alami ini, itulah yang membawa aku menangis, pada kali kedua Rasulullah (s.a.w) membisikkan bahawa daku ahli keluarganya yang diwafatkan Allah selepas Baginda, itulah yang menyebabkan daku tersenyum”.

Rasulullah Menghadap Sakaratul Maut

Saat nazak mendatangi Rasulullah (s.a.w), dan Aisyah bertindak membiarkan Rasulullah (s.a.w) bersandar kepadanya. Hal ini beliau ceritakan dengan katanya: “Sebenarnya di antara nikmat anugerah Allah ke atas ku di mana Rasulullah meninggal di rumahku, di hari giliran ku di antara dada dan leherku, dan mencantumkan di antara liur ku dan liur Baginda semasa kewafatan Baginda.

Sebelum itu Abdul al-Rahman bin Abu Bakr telah masuk ke bilik beliau dengan memegang kayu suginya, dan aku membiarkan Rasulullah (s.a.w) bersandar, kulihat Rasulullah (s.a.w) memerhati ke arahnya, ku sedar bahawa Rasulullah (s.a.w) suka dan hendakkan siwak (sugi) tersebut. Justeru aku bertanya: Mahukah ku ambil untukmu Rasulullah? Rasulullah (s.a.w) pun mengangguk kepalanya, kemudian ku berikan siwak kepada Baginda, tetapi ianya keras sedikit dan ku berkata: Biarkan ku lembutkannya? Baginda menganguk kepalanya, dengan itu ku pun melembutkannya, maka Rasulullah (s.a.w) pun bersugi dengannya”.

Tidak berapa lama selepas Baginda selesai menyugi giginya, Rasulullah pun mengangkat tangannya ke langit atau jarinya diikuti dengan renungan matanya ke atas, disusuli dengan gerakan bibirnya. Aisyah telah mendengar ungkapan terakhir yang dilafazkan oleh Rasulullah (s.a.w) seperti berikut :

Bersama-sama dengan mereka yang telah Engkau kurniakan dan golongan para nabi, siddiqin, syuhada’ dan salihin, Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah daku dan kasihanilah daku, letakkanlah daku dengan Kekasih yang Tertinggi, Ya Allah Ya Tuhanku Kekasih yang Tertinggi.

Baginda mengulangi lafaz yang terakhir sebanyak tiga kali dan tangan Baginda pun layu turun ke bawah, maka Baginda pun terus bersama Kekasih Yang Tertinggi. “Sesungguhnya kita ini bagi Allah dan sesungguhnya kepadaNya kita semua kembali”.

Peristiwa kewafatan Rasulullah ini berlaku ketika pagi sudah meningkat di hari Isnin dua belas (12) Rabiulawwal tahun kesebelas (11) Hijrah di waktu usia Rasulullah genap enam puluh tiga (63) tahun dan empat (4) hari.

Kesedihan Menyelubungi Para Sahabat

Kini berita kewafatan Rasulullah yang memilukan itu tersebar luas, suasana muram menyelubungi persada Madinah dan cerok daerahnya, kata Anas: “Tidak pernah ku melihat satu hari lebih ceria dan bercahaya dari hari kedatangan Rasulullah (s.a.w) ke Madinah dan tidak pernah pula ku lihat satu hari yang lebih buruk dan muram dari hari kewafatan Rasulullah (s.a.w)”.

Kebijaksanaan Abu Bakar

‘Umar RA terus mengucapkan dengan tegas bahawa Rasulullah SAW tidak wafat dan akan bertindak terhadap sesiapa yang mengatakan bahawa Baginda telah wafat.

Maka, Abu Bakar RA berkata:

عَلَى رِسْلِكَ يَا عُمَرُ، أَنْصِتْ!

“Berhenti! Wahai ‘Umar, diamlah kamu!”

Umar RA enggan mematuhi perintah tersebut. Abu Bakar RA terus berpaling kepada orang ramai dan menyampaikan ucapannya yang masyhur:

أَيُّهَا النَّاسُ، إنَّهُ ‌مَنْ ‌كَانَ ‌يَعْبُدُ ‌مُحَمَّدًا ‌فَإِنَّ ‌مُحَمَّدًا ‌قَدْ ‌مَاتَ، وَمَنْ كَانَ يَعْبُدُ اللَّهَ فَإِنَّ اللَّهَ حَيٌّ لَا يَمُوتُ. قَالَ: ثُمَّ تَلَا هَذِهِ الْآيَةَ:

“Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya sesiapa yang menyembah Muhammad, sebenarnya Muhammad sudah mati; dan sesiapa yang menyembah Allah, sebenarnya Allah itu Maha Hidup tidak mati sekali-kali (seterusnya menyebutkan firman Allah SWT):

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَى أَعْقَابِكُمْ وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَى عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ

“Tiadalah Muhammad itu melainkannya seorang Rasul. Sesungguhnya telah berlalu rasul-rasul sebelumnya. Adakah sekiranya Muhammad mati atau dirinya dibunuh, (patutkah) kalian berpaling tadah dengan menyelewengkan agamanya? Dan sesiapa yang berpaling tadah dengan menyelewengkan agamanya, maka dia tidak mendatangkan apa-apa mudarat terhadap Allah sedikit pun. Dan (sebaliknya) Allah akan memberikan balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan ni‘mat Islam yang tiada bandingannya itu).” (Surah Ali ‘Imran: 144)

Kata Ibn Abas: Demi Allah, di masa itu manusia ramai bagaikan tidak mengetahui bahawa Allah telah pun menurunkan ayat ini kecuali setelah Abu Bakr membacanya, dengan itu orang ramai pun menerima dan membacanya.

Kata Ibn al-Musaiyab: Umar telah menyebut: “Demi Allah, sebaik sahaja aku terdengar apa yang diunggapkan oleh Abu Bakr itu aku terasa kakiku sudah tidak berdaya lagi untuk berdiri, memanglah aku terus terhumban ke tanah sebaik sahaja mendengar apa yang dibaca oleh Abu Bakr itu, kerana aku sudah dipastikan dengan kewafatan Rasulullah”.

Pengkafanan dan Pengebumian Jasad Rasulullah

Telah timbul perselisihan pendapat di antara para sahabat sebelum urusan perkafanan mengenai persoalan khalifah. Berlakulah perbahasan dan perdebatan di antara kaum Muhajirin dan al-Ansar di halaman rumah Banu Sa’adah yang mana akhirnya mereka semua bersetuju melantik Abu Bakr sebagai khalifah Rasulullah. Perbahasan ini memakan masa hingga ke akhir hari Isnin, malah hingga masuk ke malam berikut menyebabkan orang ramai turut sibuk. Pengkembumian jasad Baginda tertangguh hingga ke malam Selasa malah hingga menjelang subuh hari berikut, di mana jasad Rasulullah yang penuh berkat itu terletak di tempat tidurnya, tertutup dengan kain menyebabkan ahli keluarga Baginda menutup pintu rumah.

Di hari Selasa barulah diuruskan mandi jasad Rasulullah (s.a.w) tanpa membuka bajunya, mereka yang bertugas memandikan Baginda ialah al-Abbas, Ali, al-Fadhl dan Qatham(kedua-dua anak al-Abbas), Syaqran(hamba Rasulullah), Usamah bin Zaid dan Aws bin Khawli. Abbas, al-Fadhl dan Qatham membalikkan badan Rasulullah, Usamah dan Syaqran menjiruskan air, Ali menggosoknya sedang Aws pula menyandarkan Rasulullah ke dadanya. Kemudian mereka semua mengkafanki’n jasad Rasulullah (s.a.w) di dalam tiga lapis kain kafan berwarna putih tenunan dari al-Yaman, tidak berbaju atau berserban. Dikafannya jasad Rasulullah (s.a.w) ke dalam ketiga-tiga lapisan kain kafan tadi dengan cermat dan penuh hemat.

Di saat pekebumian sekali lagi kaum muslimin berikhtilaf tempat persemadiannya, namun kesudahannya Abu Bakr bangun dan berkata: “Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah (s.a.w) pernah berkata: Tidak dimatikan mana-mana nabi kecuali di tempat itulah ia disemadikan”. Justeru itu maka Abu Talhah pun mengangkat tempat tidur Rasulullah (s.a.w) dan digalinya lubang sebagai kubur berliang lahad.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini