Isu Palestin dan Israel bukanlah sekadar konflik antara negara, isu ini merupakan isu ummah dan setiap umat Islam terlibat sama.
Walaupun dua pihak ini telah mempunyai konflik sejak dulu lagi, namun ia tetap tidak dapat diselesaikan kerana sebab daripada pihak-pihak tertentu.
Anda juga pasti ada dengar dalam seminggu dua ini berita mengenai Gaza sekali lagi diserang oleh Zionis. Malah apa yang lebih teruk, mereka bahkan menceroboh dan menyasarkan tempat suci umat islam iaitu Masjid Al-Aqsa.
Sudah tentu perkara ini telah menaikkan marah bukan saja umat Islam di Palestin, tetapi umat Islam di seluruh dunia. Jadi, kita sebagai umat Islam sebenarnya bukan saja perlu mempertahankan tempat suci tersebut tetapi juga bumi Palestin.
Mengapa bumi Palestin istimewa di sisi Islam?
Isi Kandungan
1. Masjid pertama sebagai kiblat umat Islam
Masjid Al-Aqsa merupakan masjid yang menjadi kiblat utama bagi umat Islam untuk melaksanakan solat.
Sabda Rasululllah SAW:
“Masjid apakah yang pertama dibangunkan di atas muka bumi ini?” Baginda menjawab “Masjid al-Haram”. Selepas itu masjid apa pula? Baginda menjawab “Masjid Al-Aqsa”. [HR Bukhari dan Muslim].
Di bumi Palestin inilah terletaknya Masjid al-Aqsa sebagai kiblat pertama bagi umat Islam untuk mendirikan solat. Selama hampir 17 bulan Rasulullah S.A.W dan para Sahabat melakukan ibadat solat berkiblatkan Masjid al-Aqsa maka turunlah ayat memerintahkan supaya dialihkan kiblat ke arah Masjidil Haram di Makkah. Allah S.W.T berfirman:
قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ
“Sungguh Kami (sering) melihat mukamu mendongak ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram.”
2. Tanah para Anbia
Antara para Anbia yang pernah dilahirkan, dibesarkan dan disemadikan di bumi Palestin ialah Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishak, Nabi Yaakub, Nabi Syuib, Nabi Musa, Nabi Zakaria, Nabi Yahya, Nabi Isa dan lain-lain lagi.
3. Pusat keamanan sejagat
Difahamkan, ia merupakan padang Mahsyar selepas kiamat dan merupakan pusat keamanan sejagat.
Sabda Rasulullah SAW:
“Ia adalah bumi Mahsyar dan kebangkitan.” [HR Imam Ahmad dan Ibn Majah].
4. Orang yang tinggal di sana dikira sebagai orang yang berjihad
Sesiapa yang tinggal di sana, Allah ibaratkan mereka sedang berjihad. Selain itu, tempat tersebut juga dikenali sebagai bumi pertahanan jihad.
Rasulullah SAW bersabda:
“Ahli Syam akan berterusan dalam jihad dan ribath di jalan Allah.” [HR at-Tabrani dan Al-Haitami].
5. Hak orang Islam sehingga hari kiamat
Bumi Palestin merupakan pusat untuk kumpulan orang yang sentiasa teguh menegakkan kebenaran dan hak orang Islam sehingga hari kiamat.
Sabda Rasulullah SAW:
“Sekelompok dari umatku akan tetap berada dalam kebenaran yang nyata dan akan mengalahkan musuh-musuh mereka dan mereka tidak akan disakiti oleh musuh-musuh mereka kecuali apabila ditimpa kesusahan dan sehingga datang pertolongan dari Allah dan keadaan mereka akan kembali seperti sedia kala.” Para sahabat bertanya, “Di manakah tempat mereka itu ya Rasulullah?” Baginda menjawab “Di Baitul Maqdis dan di aknaf (bawah lindungan) Baitul Maqdis.” [HR At Tabrani].
6. Tanah yang diberkati Allah
Bumi Palestin ternyata adalah tanah yang diberkati dan menjadi saksi terhadap usaha Nabi dan Rasul utusan Allah menyampaikan akidah tauhid kepada manusia sejak zaman berzaman.
Firman Allah SWT:
“Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. [Al-Israk: 1].
7. Masjid Yang Utama
Selain daripada ganjaran yang besar sekiranya bersolat di Masjid al-Aqsa (500 gandaan solat dari tempat lain), Rasulullah S.A.W juga menggalakkan umat Islam bermusafir ke sana seperti yang dinyatakan dalam sebuah Hadis:
لا تُشَدُّ الرحال إلاّ إلى ثلاثة مساجد، مسجدي هذا، والمسجد الحرام، والمسجد الأقصى
“Tidak sepatutnya (bersusah payah) keluar bermusafir (untuk menziarahi mana-mana masjid) kecuali (pergi) ketiga-tiga buah masjid (yang berikut): Masjidil Haram, Masjid Aku ini (Masjid Nabawi) dan Masjidil Aqsa.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Demikianlah istimewanya Palestin di hati kita semua. Sokongan kita tidak bermusim kerana kita semua pencinta bumi Palestin yang penuh keberkatan.