Sahur adalah perbuatan makan dan minum pada awal pagi sebelum waktu fajar dengan niat untuk berpuasa.
Tahukah anda apa kelebihan sahur?
Terdapat keberkatan padanya
Daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata, Nabi SAW telah bersabda:
تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السُّحُورِ بَرَكَةً
Maksudnya: “Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.”
Riwayat al-Bukhari (1923), dan Muslim (1095)
Membezakan puasa umat Islam dan ahli kitab
Diriwayatkan oleh “Amr bin al-‘As RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ، أَكْلَةُ السَّحَرِ
Maksudnya: Perbezaan antara bagi puasa kita dan puasa ahli kitab adalah dengan makan sahur.
Riwayat Muslim (1096)
Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam mensyarahkan hadith ini menyebut: “Berkat pada sahur terhasil daripada sudut yang pelbagai, iaitu mengikut sunnah, serta berlawanan dengan ahli kitab, dan ianya menguatkan tenaga untuk melakukan ibadah puasa, serta menambahkan semangat untuk berpuasa, menahan daripada perbuatan yang tidak baik disebabkan oleh lapar, penyebab memberi sedekah kepada yang meminta, dan sebab kepada berzikir dan berdoa, waktu mustajab untuk berdoa, dan waktu niat untuk berpuasa bagi yang lupa berniat sebelum tidur. (Lihat Fath al-Bari, 4/140)
Imam al-Nawawi dalam syarahnya pula menyebut: “Pada hadith ini menunjukkan galakan untuk bersahur. Ulama’ telah bersepakat bahawa bersahur itu sunat dan digalakkan, dan ianya bukanlah wajib, namun pada zahirnya, terdapat berkat dalam sahur itu kerana ianya menguatkan dan memberi semangat untuk berpuasa, menjadikannya sebab dan galakan untuk menambahkan puasa disebabkan keringanan beban bagi orang yang telah bersahur, dan ia adalah pandangan yang tepat yang muktamad pada maknanya. Dan dikatakan: ditambah pula dengan perbuatan bangun, berzikir, berdoa pada waktu yang mulia, iaitu waktu diturunkan rahmat, dimaqbulkan doa dan istighfar. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/206).
Makanan terbaik ketika bersahur
Seorang muslim tidak seharusnya meninggalkan perbuatan bersahur walaupun sahurnya itu dengan segelas air, atau sebutir tamar atau selain daripada keduanya, tetapi sahur yang paling afdhal adalah sahur dengan air dan tamar sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
نِعْمَ سَحُورُ المُؤمِنِ التَّمْرُ
Maksudnya: Sebaik-baik sahur orang mukmin adalah dengan buah tamar.
Riwayat Abu Dawud (2345)
Wallahua’lam
sumber – muftiwp