Terdapat banyak kelebihan bulan Muharram, antaranya ialah:
Allah SWT telah menjadikan bulan Muharram sebagai salah satu dari bulan-bulan haram seperti mana dalam firmanNya:
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ
Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah S.W.T adalah sebanyak dua belas bulan sebagaimana yang terdapat di dalam kitabullah (Lauh al-Mahfuz) pada hari diciptakan langit-langit dan juga bumi. Di antaranya (bulan-bulan tersebut) adalah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus maka janganlah kalian menzalimi diri kalian di dalam bulan-bulan tersebut.
Surah al-Taubah (36)
Rasulullah S.A.W telahpun memberikan penjelasan berkenaan dengan empat bulan haram tersebut dengan sabda baginda:
Maksudnya: Dalam setahun itu ada dua belas bulan dan di antaranya adalah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram serta bulan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan juga Syaaban.
Riwayat al-Bukhari (184)
Saban tahun umat Islam menyambut 1 Muharram sebagai bulan memperingati hijrah Rasulullah SAW dan perjuangan Baginda yang diselusuri sepanjang kehidupannya sebagai utusan Allah SWT.
Baginda tidak pernah menyerah kalah atau berputus asa dalam usaha dakwah Baginda, walaupun banyak cabaran dan tentangan diberi oleh kaum Quraisy. Hijrah menunjukkan betapa tabah dan kuatnya Rasul kita bertahan demi menyebarkan kebaikan Islam.
Galakan Berpuasa Dalam Bulan Muharram
Di antara amalan soleh yang sangat digalakkan untuk umat Islam lakukan pada bulan Muharram adalah dengan memperbanyakkan berpuasa sunat. Ini dapat dilihat berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْمَفْرُوضَةِ صَلاَةٌ مِنَ اللَّيْلِ
Maksudnya: Seafdhal-afdhal puasa setelah bulan Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat malam (Qiyamullail).
Riwayat Abu Daud (2429)
Demikian juga terdapat sebuah hadis yang menceritakan berkenaan seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang bulan apakah yang Rasulullah perintahkan untuk dirinya berpuasa setelah bulan Ramadhan ? Maka jawab baginda S.A.W:
Maksudnya: Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadhan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah.
Riwayat al-Tirmizi (741)
Kesimpulan
Berdasarkan kepada dua hadis di atas, terdapat dua kelebihan bulan Muharram. Ianya seperti berikut:
- Bulan Muharram disebut sebagai bulan Allah yang tidak disebut pada bulan-bulan lain.
- Bulan Muharram adalah bulan paling afdhal untuk berpuasa sunat setelah bulan Ramadhan.
Wallahua’lam
sumber – muftiwp, mais, republika.co
[…] kelebihan Bulan Muharram […]