Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Isi Kandungan
Kelebihan Sugi
Kami mulakan dengan riwayat daripada Abu Hurairah RA anhu, Rasulullah SAW bersabda:
لَوْلَا أنْ أشُقَّ علَى أُمَّتي أوْ علَى النَّاسِ لَأَمَرْتُهُمْ بالسِّوَاكِ مع كُلِّ صَلَاةٍ
Maksudnya: Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap sembahyang.
Riwayat al-Bukhari (887)
Hukum Siwak
Hadis ini menunjukkan bahawa bersiwak bukan kewajipan seperti mengambil wuduk untuk solat (Lihat Fath al-Bari Ibn Rejab (8/122). Imam Ibn Hajar ‘Asqalani mendatangkan pendapat daripada Imam Syafie ketika mensyarahkan hadis diatas:
وَقَالَ الشَّافِعِيُّ فِيهِ دَلِيلٌ عَلَى أَنَّ السِّوَاكَ لَيْسَ بِوَاجِبٍ لِأَنَّهُ لَوْ كَانَ وَاجِبًا لَأَمَرَهُمْ شَقَّ عَلَيْهِمْ بِهِ أَوْ لَمْ يَشُقَّ اه وَإِلَى الْقَوْلِ بِعَدَمِ وُجُوبِهِ صَارَ أَكْثَرُ أَهْلِ الْعِلْمِ
“ Berkata Imam Syafie hadis tersebut menyatakan bahawa siwak sebelum solat tidak wajib kerana sekiranya hukumnya wajib nescaya Baginda SAW tetap menyuruh umatnya bersugi sama ada menyusahkan atau tidak menyusahkan mereka. Kebanyakan ulama berpegang pendapat tersebut ” (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (2/375).
Oleh itu, bersiwak hukumnya sunat yang disukai ( مُسْتَحَب ) setiap kali sebelum solat fardhu mahupun nawafil (sunat). (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (2/376).
Matan hadis ” kalaulah tidak menyusahkan umatku ” menunjukkan ianya perkara sunat yang disukai (مُسْتَحَب) kerana kelebihannya dapat menghilangkan bau mulut serta sentiasa bersih ketika hendak bermunajat kepada Allah SWT. Antara sunat-sunat hari jumaat ialah berwangi-wangian, memakai pakaian yang terbaik termasuklah amalan bersiwak (Lihat: Syarh Sahih al-Bukhari lbn Battal (2/486).
Seterusnya, hadis tersebut menunjukkan bersiwak disunatkan sebelum solat. Maka fuqaha mazhab membahaskan waktu disunatkan bersiwak berdasarkan kalimah dalam hadis بالسِّوَاكِ مع كُلِّ صَلَاةٍ seperti berikut:
- Mazhab Hanafi berpandangan bahawa sunat bersiwak setiap kali wuduk ketika berkumur-kumur
- Mazhab Maliki berpandangan bahawa bersiwak merupakan kelebihan wuduk yang dilakukan sebelum berkumur-kumur
- Mazhab Syafie dan Hanbali sependapat menyatakan siwak sunat yang disukai (مُسْتَحَب) iaitu sebelum kumur-kumur selepas basuh tangan (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (1/301).
Waktu Bersugi
Walaubagaimapun, bersiwak tidak terikat pada waktu tertentu mahupun keadaan bahkan pada bila-bila masa. Sementara waktu bersiwak yang sangat digalakan oleh muslim adalah ketika ingin mendirikan solat, ketika sedang berwuduk, ketika ingin membaca al-Quran, ketika gigi berubah kekuningan mahupun ketika berubah berbau busuk kerana makan sesuatu atau mulut berbau kerana meninggalkan makanan mahupun terlalu lama berdiam diri dan ketika bangun tidur. ( Lihat al–Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie (1/60)
Hadis yang diriwayatkan daripada Huzaifah RA anhu:
كانَ النبيُّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ إذَا قَامَ مِنَ اللَّيْلِ، يَشُوصُ فَاهُ بالسِّوَاكِ.
Maksudnya: Rasulullah SAW apabila bangun di malam hari Baginda SAW mengosok mulutnya dengan siwak”.
Riwayat al-Bukhari ( 245)
Fuqaha sepakat menyatakan Baginda SAW akan mengosok gigi selepas bangun tidur (Lihat Syarh Riyadh al-Solihin (5/525).
Namun, makruh bagi orang berpuasa bersiwak setelah zohor waktu gelincir matahari kebarat. (Lihat Faidh al-Ilahi al-Malik (1/22: Lihat Hasyiyah al-Baijuri (1/83); (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (1/300-301)
Bagi persoalan yang diajukan berkaitan tanggapan memberus gigi (bersugi) tidak sunnah kerana bersiwak khusus menggunakan kayu siwak ( أراك ) sahaja. Maka, perkara yang perlu diperhalusi ialah pengertian siwak serta jenis alat-alatnya
Siwak menurut bahasa ialah perbuatan mengosok dan alatnya, sementara definisi menurut syarak ialah penggunaan kayu atau seumpamanya dan ubat gigi untuk mengosok gigi agar menghilangkan perubahan (bau atau warna) dan seumpamanya disusuli niat kerana Allah (Lihat : al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab (1/270); (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (1/300). Pengarang kitab al-Mu’tamad menghuraikan maksud siwak menurut syarak dengan memberi contoh berus gigi yang digunakan pada zaman sekarang adalah seumpama alat siwak yang bertujuan membersihkan gigi dan sekitarnya seperti gusi dan lidah bagi menghilangkan kesan bau makanan. (Lihat al–Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie (1/59). Sementara, pengarang kitab al-Taqrirat al-Sadidah memperluaskan maksud siwak kerana tidak merujuk hanya pada kayu siwak bahkan menyatakan bersiwak dengan segala alat yang bersifat kesat. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah (84).
Alat untuk bersugi
Ciri-ciri alat yang sesuai bersugi adalah yang suci dan kesat seperti, kayu siwak atau dikenali kayu ( أراك ), dahan zaiton, kayu yang berbau menyegarkan, pelepah kelapa dan kain. Namun, akar pokok arak ( أراك ) merupakan alat sugi yang lebih afdhal kerana Baginda SAW bersugi mengunakan akar pokok arak. Ini berdasarkan riwayat daripada Abdullah bin Mas’ud RA anhu berkata:
كنتُ أجتَني لرسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم سِواكًا من أراكٍ
Maksudnya “ Aku telah memotongkan untuk Rasullullah SAW alat mengosok gigi daripada akar pokok arak.
Pengarang kitab Faidh al-Ilah al-Maliki menyebutkan bahawa :
ذكر المصنف محال التي يطلب لها سواك شرع يبين ما يحصل به سنية الاستياك بكل خشن طاهر يزيل القلح أى صفرة الاسنان وقد سبق الكلام عليه ولو بنحو خرقة خشنة
“seseorang dikatakan menunaikan tuntutan sunat bersiwak sekiranya menggunakan segala sesuatu yang bersifat kesat (خَشِنَة) dengan syarat suci dan dapat menyingkirkan warna kuning gigi sekalipun hanya secarik kain perca yang kesat”. (Lihat : Faidh al-Ilah al-Maliki (1/22).
Adapun jari sendiri tidak dikira sebagai alat bersugi bagi mazhab Syafie yang asah (paling kuat). Namun sekiranya tiada alat untuk bersugi, maka boleh menggunakan jari sendiri mengikut pandangan imam Nawawi (Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab (1/282). Justeru, bersugi mahupun mengosok gigi menunjukkan perbuatan membersihkan gigi dan keseluruhan rongga mulut sama seperti tujuan bersiwak. Oleh yang demikian, memberus gigi dianggap tuntutan sunnah kerana menepati maksud bersiwak. Walaubagaimanapun penggunaan akar pokok arak sangat digalakkan kerana Rasullullah SAW menggunakan akar pokok arak ( أراك ).
Tatacara bersugi
Kaedah mengosok gigi yang sempurna dan afdhal memulakan dengan niat lintasan hati sunat bersugi ” نَوَيْتُ سُنَّةُ الاِسْتِيَاكِ ” . Seterusnya menggunakan tangan kanan kerana bersiwak merupakan sesuatu kemuliaan (لِتَّكْرِمَة). Mula mengosok gigi daripada kanan kekiri dengan cara melintang dari gigi geraham hingga ke gigi kacip atas dan bawah. Kemudian gigi geraham kiri hingga ke gigi kacip atas dan bawah. Seterusnya bahagian sebelah dalam bahagian atas dan bawah bermula kanan dan diikuti sebelah kiri. Sementara lidah digosok dari pankgal lidah kehujung sama ada melintang atau membujur. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (1/30).
Sebahagian ulama menyatakan sebaiknya diserta pada awalnya doa berikut:
اللَّهُمَّ بَيِّضْ بِهِ أَسْنَانِي وَشُدَّ بِهِ لَثَاتِي وَثَبِّتْ بِهِ لَهَاتِي وَبَارِكْ لِي فِيهِ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ
Maksudnya: Ya Allah putihkanlah gigiku dengan sebab bersiwak ini, mantapkanlah gusiku, kukuhkan dengan sebab anak tekakku dan berkatilah aku padanya. Wahai Tuhan yang Maha Penyayang (Lihat : al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab (1/283)
Faedah dan Hikmah Bersugi
Ulama menyenaraikan antara faedah siwak ialah membersihkan mulut, memutihkan gigi, menghilangkan bau, mengukuhkan gusi, kesegaran mulut, menajamkan penglihatan, kecergsan fikiran, membersihkan hati dan kemuliaan untuk mengucap syahadah ketika menghadapi kematian. Bersiwak termasuk dalam sunat fitrah dalam agama kerana membersihkan mulut membawa keredhaanNya. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (1/300).Ini berdasarkan riwayat daripada ‘Aisyah RA‘anha Rasulullah bersabda:
السِّواكُ مَطهَرةٌ للفمِ مرضاةٌ للرَّب
Maksudnya , “Siwak itu menyucikan mulut dan mendatangkan keredhaan Rabb.”
Riwayat Nasa’ie (4)
Antara hikmah bersiwak yang dinukilkan oleh Imam Hajar ‘Asqalani dalam kitab Fath al-Bari:
قَالَ بن دَقِيقِ الْعِيدِ الْحِكْمَةُ فِي اسْتِحْبَابِ السِّوَاكِ عِنْدَ الْقيام إِلَى الصَّلَاة كَونهَا حَالا تَقَرُّبٍ إِلَى اللَّهِ فَاقْتَضَى أَنْ تَكُونَ حَالَ كَمَالٍ وَنَظَافَةٍ إِظْهَارًا لِشَرَفِ الْعِبَادَةِ
“Berkata Ibn Daqiq al-‘Eid: Hikmah disunatkan bersiwak mendirikan solat kerana waktu solat merupakan waktu mendekatkan diri kepada Allah SWT, maka seseorang perlu dalam keadaan sempurna dan bersih untuk mezahirkan kemuliaan ibadah. (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (2/376).
Penutup
Konklusinya, berdasarkan perbahasan fuqaha yang telah dibentangkan, membersihkan gigi menggunakan alat berus gigi adalah untuk menghilangkan bau mulut dan kekuningan yang sama fungsinya dengan penggunaan kayu siwak selain sifatnya kesat. Seseorang boleh dikatakan menunaikan tuntutan bersiwak sekiranya menggunakan sesuatu alat yang bersifat kesat (خَشِنَة) dan suci disertakan dengan niat, membaca doa dan dimulakan dengan sebelah kanan. Namun, penggunaan kayu siwak lebih afdhal dan perlu diberikan keutamaan kerana cara Rasulullah SAW bersiwak menggunakan kayu siwak atau dikenali akar pokok arak (أراك).
Akhir kalam, semoga mendapat pahala amalan sunat dan mendapatkan keredhaanNya. Ameen