Hukum Mengucapkan Merry Christmas

Izuan

Apa hukum ucap Merry Christmas atau Selamat Hari Natal kepada orang Kristian?

Persoalan ini sentiasa timbul ketika kita menghampiri tarikh 25 Disember setiap tahun.

Ulama’ berbeza pendapat mengenai perkara ini, ada yang mengatakan boleh, ada yang menegahnya.

Definisi Merry Christmas

Merry menurut English Oxford Living Dictionaries adalah “cheerful and lively” (ceria dan meriah). Ia berasal daripada Bahasa Inggeris klasik – myrige – iaitu “pleasing, delightful” (menyenangkan, menggembirakan).[1]

Christmas pula bermaksud “The annual Christian festival celebrating Christ’s birth, held on 25 December in the Western Church” (Festival tahunan penganut Kristian bagi menyambut kelahiran Christ, diadakan pada 25 Disember di Gereja Roman Katolik).[2] Ia berasal daripada Bahasa Inggeris klasik – Crīstes yang merujuk kepada Jesus Chris[3] dan mæsse iaitu sambutan jamuan suci (eucharist) bagi penganut Kristian khususnya gereja Roman Katolik.[4] Mass juga merujuk kepada upacara mingguan pada hari Ahad di gereja-gerja Katolik, begitu juga upacara pada Holy Days of Obligation. Ia berasal daripada Bahasa Latin; missa. Ia digunapakai pada penghujung liturgy apabila paderi berkata: Ite missa est ataupun boleh difahami dengan maksud “Upacara ini telah tamat. Bersurailah dalam keamanan (The Mass is ended. Go in peace).”

Hukum Mengucapkan Tahniah Atas Sambutan Krismas

Para ulama’ berbeza pandangan dalam menyatakan hukum mengucapkan tahniah bagi perayaan bukan Muslim atau dalam konteks soalan, Hari Krismas. Ini kerana, sebahagian ulama’ yang mengharamkannya melihat ucapan “tahniah” ini membawa konotasi mengiktiraf agama lain, dan menyebarkan syiar mereka. Manakala, bagi ulama’ yang membenarkannya pula melihat ia adalah harapan bagi keselamatan dan keamanan, atau simbol hubungan sosial dengan bukan Islam untuk tujuan perpaduantanpa berniat untuk mengiktiraf kebenaran agama lain. Kami nyatakan di bawah, pandangan kedua-dua golongan tersebut.

Pertama: Diharamkan Mengucap Tahniah

Secara umumnya, jumhur ulama’ keempat-empat mazhab mengharamkan ucapan tahniah kepada orang bukan Islam sempena perayaan mereka.

Mazhab Syafie: Menurut Imam al-Damiri ketika mensyarahkan perkataan Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj, dihukum ta’zir bagi sesiapa yang mengikuti orang-orang kafir dalam perayaan-perayaan mereka, siapa yang memegang ular, sesiapa yang memasuki api, sesiapa yang berkata keada seorang kafir zimmi: “Wahai Haji”, sesiapa yang mengucap tahniah kepadanya dalam satu perayaan, dan sesiapa yang menamakan penziarah kubur orang-orang soleh (atas tujuan yang syirik) sebagai ” Haji “. ” (Lihat al-Najm al-Wahhaj9/244)

Kedua: Diharuskan Mengucap Tahniah

Antara mereka yang mengharuskannya ialah:

Ulama Silam

  • Syeikh Muhammad Ahmad ‘Ulaisy al-Maliki ketika ditanya: “Sekiranya seorang Muslim pergi ke rumah zimmi pada hari perayaannya dan mengucapkan ‘Moga Allah memelihara umurmu sepanjang tahun’. Adakah ia dikira sebagai terkeluar daripada Islam atau tidak? Jawab beliau: “Tidak terkeluar daripada Islam seseorang Muslim yang berkata kepada seorang Kristian ‘Moga Allah memelihara umurmu sepanjang tahun’ di mana beliau tidak bermaksud untuk membesarkan kekufuran dan tidak meredhai kekufuran. (Rujuk Fath al-‘Ali al-Malik fi al-Fatwa ‘ala Mazhab al-Imam Malik2/350)
  • Disebutkan oleh al-Hattab al-Rauyani bahawa Sultan al-Ulama’ al-Imam al-‘Izz Abd al-Salam al-Syafie telah ditanya telah hukum mengucapkan “Semoga hari sambutan ini diberkati untuk kamu.” kepada dhimmi semasa perayaan mereka. Jawabnya: “Sekiranya Muslim tersebut mengucapkan sedemikian kepada dhimmi dengan niat mengagungkan agama mereka dan perayaan mereka, sesungguhnya dia telah terkeluar daripada Islam. Adapun sekiranya beliau tidak bermaksud sedemikian dan ucapan itu sekadar terlontar di mulutnya, beliau tidak terkeluar daripada Islam kerana ucapannya adalah tanpa niat.” (Rujuk Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar al-Khalil6/289)
  • Menurut Imam al-Mardawi, salah satu qaul mazhab Imam Ahmad mengharuskan ucapan tahniah kepada non-Muslim sempena perayaan mereka jika ada maslahah yang rajih, seperti untuk mengharapkan mereka menerima hidayah Islam. Manakala menurut Imam Abu Daud, harus sekiranya kita ingin mengajak mereka kepada Islam (Rujuk Al-Insaf fi Ma’rifati al-Rajih min al-Khilaf, 4/234-235).

Keputusan Institusi Fatwa

Bagi menyokong keharusan yang kami tarjihkan, kami kemukakan di sini sebahagian pendapat Institusi Fatwa:

  • Dar al-Ifta’ al-Misriyyah. Harus mengucapkan tahniah kepada orang bukan Muslim merayakan perayaan mereka itu dengan lafaz yang tidak bertentangan dengan akidah Islamiyyah dan perbuatan ini termasuk di bawah bab Ihsan.

Dar al-Ifta’ juga menjelaskan bahawa ucapan Merry Christmas ini tidak termasuk di bawah penyerupaan dengan bukan Islam yang dilarang, kerana larangan tasyabbuh itu meliputi perbuatan dan iktiqad yang bercanggah dengan perkara-perkara thawabit (prinsip-prinsip tetap yang qath’ie) dalam Islam. [15]

  • Majlis Fatwa Eropah. Mereka juga mengharuskannya sesuai dengan Fiqh al-Aqaliyyat, dan ia boleh diucapkan oleh individu Muslim atau organisasi Islam kepada saudara mereka yang bukan Islam, dan ini bertujuan memelihara masyarakat minoriti Muslim itu sendiri (Minoriti Muslim di negara bukan Muslim).[16]

Kesimpulan

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, ia adalah berdasarkan beberapa hujah, antaranya ucapan yang diberikan merupakan simbol perpaduan untuk masyarakat yang hidup secara majmuk.

Bagaimanapun, katanya umat Islam tetap perlu mematuhi beberapa ‘syarat’ seperti melafazkan ucapan tanpa niat mengagungkan, dan tidak membabitkan diri dalam ritual keagamaan yang dilakukan.

Menurut kenyataan itu lagi, hal ini juga selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 tahun 2007 yang berbunyi:

“Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Muslim sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Muslim serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.”

Wallahua’lam

Penjelasan penuh di – https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/tahqiq-al-masail/2919-tahqiq-masail-7-hukum-mengucapkan-merry-christmas-kepada-mereka-yang-beragama-kristian

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini