Apa hukum doa di kubur?
Adakah dibolehkan berdoa dikubur kerana ada orang yang berkata tidak boleh berdoa dikubur?
Dan setengahnya mengatakan berdoa dikubur adalah dilarang oleh ulama dan bertentangan dengan Islam kerana Rasulullah saw tidak berdoa di kubur?
Jom belajar sama-sama.
Hukum berdoa dikubur adalah amalan sunat dan termasuk dalam amal soleh yang disukai oleh agama. Para ulama telah sepakat bahawa sunat bagi orang yang ziarah akan kubur ia berdoa. Ini adalah kerana berdoa di kubur ialah amalan Rasulullah saw. Maka mana mungkin seorang ulama akan melarang melakukan amalan Rasulullah saw. Amalan Rasulullah adalah untuk diikuti.
Isi Kandungan
Dalil Dibolehkan Doa Di Kubur
Aisyah r.a. meriwayatkan ketika Rasulullah saw telah ziarah perkuburan Baqi’ pada suatu malam dan baginda berdoa :
ﺍَﻟﻠّﻬُﻢَّ ﺍﻏْﻔِﺮْ ﻷَﻫْﻞِ ﺑَﻘِﻴْﻊِ ﺍﻟْﻐَﺮْﻗَﺪِ .
Artinya : “Ya Allah. Ampunilah bagi ahli kubur Baqi’ Al-Gharqad ini.” (Hadith Muslim)
Berkata Imam Nawawi :
ويستحب للزائر الإكثار من قراءة القرآن والذكر، والدعاء لأهل تلك المقبرة وسائر الموتى والمسلمين أجمعين.
Artinya : “Dan disunatkan bagi yang ziarah kubur itu memperbanyakkan dari membaca Quran dan zikir dan berdoa bagi penghuni kubur tersebut dan sekalian orang yang mati dari para muslimin.” (Kitab Al-Azkar)
Mengangkat Tangan Ketika Berdoa
Sunat bagi penziarah apabila mahu berdoa di kubur itu mengangkat kedua tangannya dan menghadap ke arah kiblat tetapi jika berdoa dengan mengadap kepada mayat maka tidaklah haram.
Diriwayatkan dari Aisyah r.a. katanya :
أنه صلى الله عليه وسلم زار القبور ورفع يديه ودعا لأهلها
Artinya : “Bahawasanya Nabi saw telah ziarah akan kubur dan mengangkat akan kedua tangannya dan berdoa bagi penghuni kubur itu.” (Hadith Muslim)
Ibnu Mas’ud r.a. meriwayatkan :
رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم في قبر عبد الله ذي النجادين الحديث وفيه فلما فرغ من دفنه استقبل القبلة رافعا يديه
Artinya “: “Aku telah melihat Rasulullah saw berada pada kubur Abdullah bin Nahmin An-Najadain ketika Nabi saw selesai dari menanamnya baginda mengadap ke arah kiblat mengangkat kedua tangannya.” (Hadith Abu ‘Awanah)
Dari Abdullah bin Abi Umamah dari bapanya :
رَأَيْتُ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ أَتَى قَبْرَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَوَقَفَ فَرَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ افْتَتَحَ الصَّلاةَ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ انْصَرَفَ
Artinya : “Aku telah melihat Anas bin malik r.a. datang ke kubur Nabi saw dan berhenti kemudian mengangkat kedua tangannya sehingga aku sangka beliau mahu memulai sembahyang. Lalu beliau memberi salam atas Nabi saw kemudian beredar.” (Hadith Baihaqi dalam Syu’abul Iman)
Sunat Memanjangkan Doa
Aisyah r.a. bercerita tentang Rasulullah saw keluar ke perkuburan Baqi’ dengan katanya :
حتى جاء البقيع فقام. فأطال القيام. ثم رفع يديه ثلاث مرات
Artinya : “Sehingga Nabi saw datang ke perkuburan Baqi’ maka baginda melamakan berdiri kemudian mengangkat dua tangannya tiga kali.” (Hadith Muslim)
Imam Nawawi berkata :
فيه: استحباب إطالة الدعاء وتكريره، ورفع اليدين فيه.اهـ
Artinya : “Pada hadith ini dalil disunatkan memanjangkan doa dan mengulang-ulangkan doa dan mengangkat kedua tangan.” (Kitab Syarah Muslim)
Berkata Syeikh Muhammad ‘Alish Al-Maliki :
وينبغي مزيد الاعتبار بحال الموتى حال زيارتهم، وكثرة الدّعاء والتّضرّع. اه
Artinya : “Dan seyugianya perbanyakkan ambil iktibar dengan hal kematian ketika ziarah kubur mereka dan memperbanyakkan berdoa dan merasa hina diri.” (Kitab Manhil Jalil)
Berkata Imam Nawawi :
قَالَ أَصْحَابُنَا – رَحِمَهُمْ اللهُ – و يُسْتَحَبُّ لِلزّائِرِ أَنْ يُسَلِّمَ عَلَى الْمَقَابِرِ و يَدْعُو لِمَنْ يَزُورُهُ و لِجَمِيعَ أهْلِ الْمَقْبَرَةِ
Artinya : “Berkata oleh ashab kami : Dan disunatkan bagi yang ziarah kubur bahawa memberi salam atas penghuni kubur dan berdoa bagi penghuni kubur yang ia ziarah itu dan juga bagi penghuni yang lain.” (Kitab Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab)
Kesimpulan
Kesimpulannya berdoa ketika ziarah akan kuburan itu adalah Sunnah Nabi saw dan termasuk amalan baik yang disunatkan. Begitu juga sunat mengangkat dua tangan ketika berdoa dan mengadap kearah kiblat.
Dan afdhal melamakan berdoa untuk penghuni kubur dengan apa sahaja doa yang memberi manfaat kepada penghuni kubur yang diziarahi.
Wallahua’lam