Apa Hukum Berbekam, Sunnah ke?

Izuan
hukum berbekam

Apa sebenarnya hukum berbekam?

Membekam menurut Kamus Dewan Edisi Empat merupakan perbuatan mengeluarkan darah kotor daripada badan seseorang dengan cara membedah sedikit pada kepala atau belakang badan dan menghisap darah kotor dengan tanduk atau cawan panas yang ditelungkupkan pada tempat yang telah dibedah itu.

Berbekam bukanlah sesuatu yang baru dalam agama Islam, kerana terdapat hadith berkenaan ini. Bahkan menjadi perbincangan ulama’ samada hukum berbekam ini sunnah atau tidak.

Daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW bersabda:

حجمَ أبو طيبَةَ رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلمَ ، فأمرَ له بصاعٍ من تمرٍ ، وأمَرَ أهلَهُ أن يخفِّفُوا من خراجِهِ

Maksudnya: “Abu Thaibah membekam Rasulullah SAW lalu Baginda SAW membayarnya dengan satu sha’ kurma dan Baginda SAW mengarahkan keluarganya untuk meringankan pajaknya”.

[Riwayat al-Bukhari, kitab jual beli, bab penjelasan tentang  pembekam, no.Hadith 1960]

Daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW bersabda:

إنَّ أفضلَ ما تداويتُم بِه الحجامةَ أو إنَّ من أمثلِ دوائِكمُ الحجامةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik perubatan yang kalian gunakan adalah berbekam” atau “Sebaik-baik ubat untuk kalian adalah berbekam”.

[Riwayat al-Tirmizi, kitab jual beli, bab rukhsah pembekam, no. Hadith 1199]

Daripada Abdullah bin Abbas, bahawa Nabi SAW bersabda:

احتجم النبيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ في الأخدعَيْنِ وبَينَ الكَتِفَيْنِ

Maksudnya: “Nabi SAW pernah berbekam di lehernya dan juga di antara dua bahunya”.

[Riwayat Ahmad, no. Hadith 1987]

Daripada Abdullah bin Abbas, Bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أن النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم احتجَم وهو مُحرِمٌ، واحتجَم وهو صائمٌ

Maksudnya: “ Nabi SAW berbekam dalam keadaan Baginda SAW berihram dan juga Baginda SAW berbekam ketika Baginda SAW berpuasa”.

[Riwayat al-Bukhari, kitab puasa, bab berbekam dan muntah bagi orang yang berpuasa, no. 1802] 

Kesimpulan hukum berbekam berdasarkan hadith-hadith di atas

  1. Jumhur ulama’ mengatakan dibolehkan mengambil upah untuk berbekam  kerana larangan yang terdapat di dalam hadith adalah berbentuk makruh bukannya haram.
  2. Berbekam tidak membatalkan puasa jika ia dilakukan ketika berpuasa berdasarkan hadith Ibn Abbas RA.
  3. Berbekam juga merupakan sebaik-baik perubatan sepertimana yang diberitakan oleh Nabi SAW kepada kita tetapi perlu melihat pada penyakit yang sesuai untuk diubati dengan cara ini.

Hukum berbekam

Terdapat sebahagian para ulama’ mengatakan bahawa ia adalah sunnah secara mutlak. Iaitu sesiapa sahaja yang melakukan akan mendapat ganjaran samada ia berhajat padanya ataupun tidak.

Namun begitu, Dr. ijaj al-Khatib dari bukunya yang bertajuk “al-Sunnah al-Nabawiyyah berpendapat bahawa berbekam adalah satu tuntutan terhadap sesiapa yang memerlukannya dan Nabi SAW juga telah mengatakan sedemikian

Maka, boleh disimpulkan bahawa berbekam adalah salah satu daripada teknik atau cara perubatan yang diamalkan sejak dari zaman Rasulullah SAW lagi.

Selain itu, kepada sesiapa yang berhajat padanya maka tidak menjadi masalah dan akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.

Manakala kepada sesiapa yang tidak berhajat kepadanya maka tidak akan diberi ganjaran oleh Allah SWT.

Wallahua’lam

sumber – muftiwp

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini