Hujah Nabi Muhammad Adalah Nabi Terakhir

Izuan
Nabi terakhir

Nabi Muhammad ‘Alaihi Wasallam ialah Nabi yang terakhir dan tidak ada Nabi selepasnya. Ini adalah kata sebulat suara umat Islam (ijma’). Di dalam agama pula dikenal dengan suatu perkara yang mesti dipercayai (‘Aqidah).

Dalam Shahih Bukhari (Hadis Nomor 3271) diriwayatkan Nabi bersabda:

“Perumpamaanku dan para Nabi sebelumku seperti seseorang yang membangun suatu rumah lalu dia membaguskannya dan memperindahnya kecuali ada satu labinah (tempat lubang batu bata yang tertinggal belum diselesaikan) yang berada di dinding samping rumah tersebut, lalu manusia mengelilinginya dan mereka terkagum-kagum sambil berkata; ‘Duh seandainya ada orang yang meletakkan labinah (batu bata) di tempatnya ini”. Beliau bersabda: “Maka akulah labinah itu dan aku adalah penutup para Nabi”.

Sebagian ulama menjadikan Hadis ini sebagai dalil bahwa Nabi Muhammad adalah Nabi terakhir, Khatamun Nabiyyin penutup segala Nabi.

Kesinambungan Dakwah Nabi Muhammad dan Nabi Terdahulu

Pertautan dan hubung-kait da’wah Nabi Muhammad ‘Alaihi Wasallam dengan da’wah para Anbiya’ terdahulu adalah bertujuan memperkuat dan memperkemas atau sebagai kesimpulan dan penutupan, sepertimana yang dapat difahamkan dari Hadith yang tersebut di atas. Ini tegas sekali bila melihat di mana da’wah para Anbiya’ seluruhnya bersendarkan dua asas yang penting:

1. Akidah

Dari segi ‘aqidah kepercayaan langsung tidak berubah sejak Nabi Adam ‘Alaihi Sallam hinggalah ke zaman Nabi Muhammad SallaLlahu ‘Alaihi Wasallam, Nabi yang terakhir, iaitu kepercayaan kepada Allah Yang Esa. Mensucikan Allah dari sifat- sifat kekurangan dan percayakan hari akhirat, hisab amalan manusia, syurga dan neraka. Tiap Nabi menyeru kaumnya kepada kepercayaan tersebut dan tiap Nabi juga menyokong dan menegaskan apa yang dibawa oleh Nabi yang terdahulu darinya.

Rangkaian pengutusan para Anbiya’ sekeliannya menunjukkan kepada kita yang nabi-nabi semuanya di utus supaya menyeru manusia ke arah keimanan dengan Allah ‘Azza wa jalla Yang Esa, seperti yang dinyatakan dalam kitabNya:

شَرَعَ لَكُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا وَصَّىٰ بِهِۦ نُوحًۭا وَٱلَّذِىٓ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ وَمَا وَصَّيْنَا بِهِۦٓ إِبْرَٰهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَىٰٓ ۖ أَنْ أَقِيمُوا۟ ٱلدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا۟ فِيهِ ۚ


Allah telah menerangkan kepada kamu – di antara perkara-perkara ugama yang Ia tetapkan hukumnya – apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: “Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya”.

( Ash-Shuura : 13)

2. Perundangan dan Akhlak

Perundangan (ahkam) ini pula bertujuan mengatur penghidupan sesebuah masyarakat. Peribadi manusia adalah berbeda kualiti dan kuantitinya sesuai dengan pengutusan seseorang nabi itu, sebab tasyri’ itu bukanlah untuk menyampaikan perkhabaran dan berita semata-mata tetapi bertujuan untuk mengadakan dan mewujudkan masyarakat yang sempurna. Sudah barang pasti di mana masa dan keadaan sesuatu kaum itu memberi kesan dan pengaruh-pengaruh terhadap perkembangan perundangan sebab timbulnya undang-undang itu adalah demi maslahat dan kepentingan serta faedah manusia untuk dunia dan akhirat.

Pengutusan nabi-nabi yang terdahulu adalah semata-mata untuk kaum itu sahaja tidak merupakan pengutusan yang menyeluruh. Justeru itu maka implikasinya terhadap perundangan tasyri’ adalah nyata sekali. Umpamanya pengutusan Musa ‘Alaihi Sallam kepada Bani Israel adalah untuk bangsa dan zaman itu sahaja. Dikatakan undang-undang yang diturunkan untuk Bani Israel itu sesuai untuknya kerana undang-undang itu nyata keras dan memang sesuai dengan bangsa yang bersifat keras kepala.

Apa yang dibawa oleh Nabi ‘Isa pula adalah sederhana sedikit dari apa yang dibawa oleh Nabi Musa tadi. Perkara ini nyata sekali kalau diperhatikan apa yang ditegaskan oleh Allah dalam kitab Al-Qur’an Yang bermaksud:

وَمُصَدِّقًۭا لِّمَا بَيْنَ يَدَىَّ مِنَ ٱلتَّوْرَىٰةِ وَلِأُحِلَّ لَكُم بَعْضَ ٱلَّذِى حُرِّمَ عَلَيْكُمْ ۚ

“Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu;

(Al-Imran : 50)

Apa yang dibawa oleh Nabi ‘Isa adalah membenarkan dan menegaskan apa yang dibawa oleh Al-Taurah mengenai soal ‘aqidah dan kepercayaan, dan yang bersangkut dengan hukum tasyri’ ada sedikit perubahan iaitu kelonggaran dari yang dahulu.

Kesimpulan

Kesimpulan yang dapat kita ambil dari sini ialah, tiap pengutusan itu mengandungi ‘aqidah dan tasyri’.

Kepercayaan dan ‘aqidah yang dibawa oleh seseorang Nabi itu fungsinya menguat dan menyokong ‘aqidah Anbiya’ yang terdahulu.

Sedangkan syari’at pula fungsinya membatal dan memansuhkan syari’at para Anbiya’ dahulu dan kadangka lanya menyokong yang lama. Justeru itu maka tidak ada agama dan ‘aqidah Ilahi berbilang-bilang dan beranika corak tetapi sebaliknya terdapat berbagai syari’at Ilahi yang kemudian memansuhkan yang dahulu dan yang baharu membatalkan yang lama, hinggalah sampai kepada syari’at yang terakhir disudahi dengan Nabi yang terakhir.

‘Aqidah dan agama yang benar itu satu. Tiap Nabi dan Rasul yang diutuskan mulai dari Adam ‘Alaihi sallam hingga ke Nabi Muhammad semuanya menyeru manusia kepada agama yang satu iaitu agama Islam.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini