Hari Tarwiyah jatuh pada tanggal 8 Zulhijjah, adakah terdapat ganjaran khusus pada hari ini? Jom belajar sama-sama.
Pada bulan Zulhijjah, 10 hari terawal merupakan waktu yang sesuai untuk menggandakan amal soleh.
Daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ؟ قَالَ : وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ.
Maksudnya : “Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini baginda memasukkan: 10 hari terawal Zulhijjah”Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?”Baginda bersabda,”Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.”
Riwayat al-Bukhari (969),Abu Daud (2438),Ibn Majah (1727),al-Tirmizi (757)
Apa Maksud Hari Tarwiyah?
Makna Tarwiyah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya mempunyai dua sebab penamaan hari tersebut dengan hari Tarwiyah.
- Para jemaah haji setelah berihram akan menuju ke Mina untuk bermalam. Ini kerana, pada keesokan harinya, mereka akan menuju ke Arafah. Ketika di Mina, para jemaah ini mempersiapkan air sebagai bekalan untuk dibawa ketika berwukuf di Arafah. Mempersiapkan air ini diistilahkan dengan Yatarowwaun (يتروون).
- Selain itu, dinamakan juga dengan “Tarwiyah” adalah disebabkan pada malam tersebut, Nabi Ibrahim AS telah bermimpi buat kali yang pertama daripada Allah SWT agar menyembelih anaknya Nabi Ismail AS. Seharian Baginda AS berfikir dan tertanya-tanya kepada dirinya, apakah perintah itu datangnya daripada Allah SWT atau daripada syaitan. Tertanya-tanya itu juga diistilahkan dengan Yurowwi (يروي) dan itu adalah di antara sebab 8 Zul al-Hijjah dinamakan dengan hari Tarwiyyah. [Lihat: al-Mughni, 3/249]
Kesimpulan
Hari Tarwiyah jatuh pada tanggal 8 Zulhijjah. Tiada amalan khusus dan ganjaran khusus pada hari tersebut. Adapun kelebihan melakukan amal soleh termasuk dalam hadis di atas berkenaan 10 hari terawal Zulhijjah. Sebahagian masyarakat berpuasa dgn istilah puasa Tarwiyah. Yang pasti terdapat ganjaran khusus bagi mereka yang berpuasa pada hari Arafah pada 9 Dzulhijjah.
Sumber –mufti wilayah
Wallahua’lam