Terdapat banyak hadis Israk Mikraj yang tersebar di kalangan masyarakat, tetapi yang mana satu sahih, palsu atau daif.
Jom belajar sama-sama.
Sebelum tu, jom kita kenal dulu apa itu hadis sahih, daif dan palsu secara ringkasnya:
- Hadis sahih – Hadis yang sanadnya (rangkaian periwayatan) bersambung, disampaikan oleh pelapor (rawi) yang adil, sempurna kekuatan ingatan dari awal hingga akhir sanad tanpa ada sebarang percanggahan dan juga kecacatan.
- Hadis daif – Hadis lemah yang ada ciri-ciri seperti sanadnya tak bersambung, susur galur pelapornya atau sebahagiannya tak adil dan tak ada hadis lain yang boleh menguatkannya.
- Hadis palsu – Satu jenis dari hadis-hadis daif yang direka-reka dan dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW.
Ada sarjana hadis yang membolehkan hadis daif disampaikan kepada orang ramai, tapi tidak untuk hadis palsu. Tapi hadis daif tu kenalah dengan syarat tak berkaitan dengan akidah, hukum halal dan haram atau hukum-hakam syariat yang lain.
Hadis Israk Mikraj Yang Sahih
Satu kaum yang cakar muka mereka dalam neraka
“Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibril: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
Menurut Dr Rozaimi Ramlee, hadis tentang israk mikraj ini sahih dan diriwayatkan oleh Abu Daud.
Nabi Muhammad bertemu dengan beberapa orang nabi
“Apabila berlakunya Mikraj iaitu Nabi naik ke langit. Nabi naik dari langit pertama hinggalah ke tujuh. Di langit pertama Nabi bertemu dengan Nabi Adam, langit 2 (Nabi Isa & Yahya), langit ke 3 (Nabi Yusuf), langit ke 4 (Nabi Idris), langit ke 5 (Nabi Harun), langit ke 6 (Nabi Musa), langit ke 7 (Nabi Ibrahim) dan seterusnya Nabi sampai ke Sidratul Muntaha.”
Hadis ini sahih diriwayatkan oleh Imam Muslim. (Klik sini untuk baca hadis penuh)
Rasulullah memilih antara 2 jenis minuman
“…Sejurus kemudian aku (Rasulullah) masuk ke dalam masjid dan mendirikan solat sebanyak dua rakaat. Setelah selesai aku terus keluar, tiba-tiba aku didatangi oleh Jibril dengan membawa semangkuk arak dan semangkuk susu. Dan aku pun memilih susu. Lalu Jibril berkata, ‘Kamu telah memilih fitrah’.”
Ini adalah hadith Israk Mikraj yang sahih dan diriwatkan oleh Imam Muslim.
Hadis Palsu Israk Mikraj Atau Daif
Nabi nampak dunia seperti wanita tua
“Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.”
Hadis ni dikatakan lemah dan takde penguat. Malah penyampai cerita ini, Abdul Rahman bin Hashim adalah orang yang tak dikenali dalam dunia hadis. Manakala Imam Ibnu Kathir dan Imam at-Tabari berkata: ‘Dalam sebahagian lafaznya terdapat sesuatu yang tidak dapat diterima dan pelik’.
Kaum yang tuai hasil tanaman mereka berulang-ulang
“Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang.
Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.”
Menurut Dr Rozaimi Ramlee, sanad untuk hadis ni tak sahih. Imam Ibnu Kathir jugak ada ulas pasal hadis nidalam kitab tafsirnya dan kata: ‘Hadis ini sebahagian lafaznya sangat ganjil dan pelik… seolah-olah ia adalah kumpulan hadis yang berbeza-beza atau berlaku ketika mimpi dan tidak berlaku ketika peristiwa Israk Mikraj’.
Kaum yang bibir mereka seperti unta
“Pada malam aku (Rasulullah) di-Israkkan oleh Allah, aku melihat kaum yang bibirnya laksana bibir unta. Dan sesungguhnya ada malaikat yang diserahi tugas menarik bibir mereka.
Kemudian mulut mereka itu diisi dengan batu yang besar dan nanti akan keluar dari punggung mereka. Lalu aku (Muhammad) bertanya: “Wahai Jibril, siapakah itu?”
Jibril menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang memakan harta anak yatim dengan zalim.”
Kalau dilihat dalam al-Quran surah an-Nisa’ ayat 10 memang dikatakan yang hukuman untuk orang yang makan harta anak yatim secara zalim adalah telan api. Tetapi menurut Dr Rozaimi Ramlee, hadis tentang perkara ni dalam peristiwa Israk dan Mikraj adalah terlalu daif dan tak sahih.
Kaum yang gunting lidah dan bibir mereka berulang-ulang
“Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka, (ia) kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.”
Imam Ibnu Kathir menilai hadis ini sebagai ganjil dan pelik. Manakala Imam az-Zahabi berkata: ‘Hadis ini munkar (palsu) yang menyerupai cerita-cerita dari panglipulara. Ia diberitahu untuk disampaikan cerita (yang menarik), bukan untuk dijadikan hujah’.
Kaum yang pecahkan kepala mereka berulang-ulang
“Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).”
Cerita ni sebenarnya tak jadi masa peristiwa Israk dan Mikraj, tapi berlaku dalam mimpi Rasulullah SAW. Seperti mana dalam Sahih Bukhari, no: 7074. Hadis sebenarnya adalah:
“…semalam aku bermimpi bahawa telah datang kepadaku dua tetamu, mereka mengajakku keluar dan berkata kepadaku: “mari jalan”, lalu akupun pergi bersama keduanya, lalu kami mendatangi seorang yang lagi berbaring terlentang dan seorang lagi berdiri sambil memegang sebongkah batu,
ia melemparkan batu tersebut ke kepalanya (orang yang berbaring terlentang tadi), batu tadi akhirnya memecahkan kepalanya… Adapun orang yang memecahkan kepalanya dengan batu ialah orang yang mengambil al-Quran kemudian membuangnya lalu tidur dari mengerjakan solat yang wajib.”
Kita sebagai masyarakat perlulah menapis hadis-hadis palsu yang berkaitan Israk Mikraj dan membezakan yang mana kisah israk mikraj yang sahih. Semoga bermanfaat.
Wallahua’lam