Doa Abu Darda (Maksud, Rumi, Status Hadis)

Izuan
doa-abu-darda

Doa Abu Darda ialah sebuah doa yang digalakkan dibaca setelah Subuh dan Maghrib.

Dalil Hadis Doa Abu Darda

Doa yang dikenali sebagai Doa Abu Darda’ adalah kerana bersempena riwayat yang datang dengan menyebut nama Sayyidina Abu Darda’ (ra) sebagai perawi utama di dalamnya.

Riwayat yang dimaksudkan adalah sebagai berikut:

Talqi bin Habib (ra) meriwayatkan: “Seorang lelaki telah datang kepada Sayyidina Abu Darda ra dan memberitahu bahawa rumah beliau terbakar. Sayyidina Abu Darda ra menjawab: “Tidak, rumah saya tidak terbakar”.

Kemudian seorang lagi datang dan memberitahu bahawa rumahnya terbakar. Kemudian, ada seorang lagi datang dan memberitahu perkara yang sama dan Sayyidina Abu Darda ra memberi jawapan yang sama.

Pada kali ke-empat, seorang datang dan memberitahu Sayyidina Abu Darda ra, “Wahai Abu Darda! Api telah naik tinggi tetapi apabila sampai ke rumah tuan, api telah padam”. Abu Darda (ra) menjawab: “Saya yakin bahawa Allah Ta’ala tidak akan membakar rumah saya. Rasulullah ﷺ telah mengajarkan saya suatu doa yang mana jika dibaca selepas Subuh, si pembaca akan terselamat dari semua bala dan musibah hingga ke petang. Saya telah membaca kalimah-kalimah ini selepas subuh. Oleh itu saya yakin rumah saya tidak akan terbakar”.

Kalimahnya ialah:

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، عَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ، وَأَنْتَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، مَا شَاءَ اللهُ كَانَ وَمَا لَمْ يَشَأْ لَمْ يَكُنْ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ، أَعْلَمُ أَنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، وَأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَاطَ بِكُلِّ شَيْءٍ عِلْمًا، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ نَفْسِي، وَمِنْ شَرِّ كُلِّ دَابَّةٍ أَنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهَا، إِنَّ رَبِّي عَلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Doa Abu Darda Rumi

“Allahumma Anta Robbi, Laa Ilaha illa Anta. ‘Alaihi Tawakkaltu, Wa Anta Robbul ‘Arsyil-‘Azim. MasyaAllahu KaaNa, Wa Maa Lam Yasha’ Lam Yakun. Laa Haula Wala Quwwata Illa Billahil-‘Azim. A’lamu Annallaha ‘Ala Kulli Syai’in Qodir, Wa Annallaha Kod AhaThoBikulli Syai’in ill-ma. Allahumma Inni ‘Auzubika Min Syarri Nafsi, Wa Man Syarri Kulli Dabbatin Anta Aakhizun Binasiyatiha Inna Robbi Sirotin Mustaqim”.

Maksud Doa Abu Darda

“Wahai Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan bagiku kecuali hanya Engkau. PadaMu aku bertawakkal, dan Engkau adalah Tuhan dari ‘arsy yang besar. Apa yang dikehendaki Allah pasti terjadi, dan apa yang tidak dikehendakiNya pasti pula tidak akan terjadi, tiadalah daya upaya dan tiada pula kekuatan kecuali hanya dengan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Besar. Aku yakin, bahawasanya Allah berkuasa atas segala sesuatu dan bahawasanya Allah meliputi segala sesuatu dengan ilmunya. Wahai Allah, aku berlindung dengan Engkau dari kejahatan diriku dari kejahatan tiap-tiap makhluk yang melata di bumi ini, Engkaulah yang mengendalikannya. Bahawasanya Tuhanku sentiasa berada di jalan yang lurus”.

Status Hadis Doa Abu Darda Rumah Terbakar

Secara ringkasnya, kebanyakan ulama’ mengatakan bahawa hadis di atas adalah da’if, bukan da’if berat atau palsu. Sungguhpun hadith Abu Darda’ ini statusnya adalah da’if, akan tetapi oleh kerana ianya adalah termasuk dalam fadilat amal, maka para Ulama Muhaddithin telah bersetuju menetapkan bahawa adalah mustahab atau sunat untuk mengamalkannya.

Jika ingin penjelasan yang kemas tentang status hadis ini, boleh rujuk fb post Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari di sini.

Kelebihan Doa Abu Darda

Doa Abu Darda’ ini boleh diamalkan tanpa ragu-ragu dengan pengharapan dan sangkaan baik kepada Allah akan fadilat yang terkandung di dalamnya.

Cara amalkan doa Abu Darda:

Kebiasaannya dibaca selepas Subuh dan selepas Maghrib sebagai ikhtiar meminta kepada Allah untuk memelihara diri dan harta dari bala bencana dan musibah, menghindari gangguan makhluk halus serta memagar rumah.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini