Dakwah Rasulullah SAW Di Bukit Safa

Bukit safa

Setelah berdakwah kepada Bani Hasyim, dan mendapat jaminan Abu Talib untuk melaksanakan dakwah, Rasulullah telah pergi ke Bukit Safa untuk berdakwah.

Persitiwa ini terjadi semasa perintah dakwah secara terang-terangan di Makkah, setelah turunnya ayat:

وَاَنْذِرْ عَشِيْرَتَكَ الْاَقْرَبِيْنَ

Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu (Muhammad) yang terdekat,

Surah asy-Syuara’ : 214

Lalu baginda pun keluar daripada rumah dan menuju keluar menuju Batha’ iaitu sebuah perhimpunan besar di Makkah bertempat di Bukit Safa.

Rasulullah s.a.w lantas menyeru “Ya Shabahah!” (Berkumpullah pagi-pagi!) Penduduk-penduduk di situ mulai tanya bertanya siapakah gerangan yang menyeru itu dan ada yang menjawab “Muhammad.” Mereka semua pun berkumpul di tempat itu.

Setelah mereka berkumpul, Nabi Muhammad s.a.w. pun berkata, “Apa pendapat kamu semua jika aku memberitahu kamu bahawa terdapat tentera berkuda yang bersenjata di sebalik bukit ini, adakah kalian mempercayai aku?” 

Lalu semua daripada mereka menjawab, “Kami tidak pernah melihat kamu berdusta.” Maka baginda pun meneruskan ucapannya, “Sesungguhnya aku ini adalah pemberi ingatan kepada kalian bahawa kalian berada di ambang seksa yang amat pedih.” 

Tiba-tiba Abu Lahab bersuara lantang, “Apakah hanya untuk ini kamu mengumpulkan kami? Celakalah kamu!” Tidak berapa lama kemudian turunlah surah al-Masad yang mencela tindakan Abu Lahab.

Wallahua’lam

0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini