Cara Taubat Nasuha Agar Diterima

Izuan
cara taubat

Taubat ialah kembali taat kepada Allah swt, menyesal atas dosa yang dilakukan dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi.

Setiap orang tidak terlepas daripada melakukan dosa, maka wajib keatas kita untuk mengetahui cara taubat yang sebenar-benarnya. Jika kita taubat tanpa ilmu, kemungkinan besar taubat kita tidak diterima.

Para alim-ulama berkata, “Mengerjakan taubat itu hukumnya wajib dari segala macam dosa”

Terdapat sedikit perbezaan tentang cara bertaubat bergantung samada dosa itu antara seseorang hamba dan Allah swt sahaja atau antara sesama manusia.

Cara taubat jika dosa kepada tuhan

  1. Hendaklah menghentikan sama sekali-seketika itu juga dari kemaksiatan yang dilakukan,
  2. Berasa menyesal kerana telah melakukan kemaksiatan tadi.
  3. Berniat tidak akan kembali mengulangi perbuatan maksiat itu untuk selama-lamanya.

Cara taubat jika dosa sesama manusia

Sama seperti tiga yang di atas, cuma tambah lagi satu.

4. Melepaskan tanggungan itu dari hak kawannya. Contohnya:

  • Jika tanggungan itu berupa harta atau yang semisal dengan itu, maka wajiblah mengembalikannya kepada yang berhak tadi
  • Jika dakwaan zina atau yang semisal dengan itu, maka hendaklah mencabut dakwaan tadi dari orang yang didakwakan atau meminta saja pengampunan daripada kawannya.
  • Jika megumpat, maka hendaklah meminta maaf dari umpatannya itu kepada orang yang diumpat olehnya.

Jikalau salah satu dari syarat-syarat tersebut di atas itu ada yang ketinggalan maka tidak sah taubatnya. Taubat yang diterima dikenali juga sebagai taubat nasuha.

Dalil-dalil Al-Quran tentang bertaubat

Allah Ta’ala berfirman:

“Dan bertaubatlah engkau semua kepada Allah, hai sekalian orang Mu’min, supaya engkau
semua memperoleh kebahagiaan.” (an-Nur: 31)

“Mohon ampunlah kepada Tuhanmu semua dan bertaubatlah kepadaNya.” (Hud: 3)

“Hai sekalian orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang nashuha –
yakni yang sebenar-benarnya.” (at-Tahrim: 8)

Saya banyak dosa, masih adakah harapan taubat

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Abu Sa’id dari Sa’ad bin Malik bin Sinan al-Khudri, diceritakan kisah taubat seorang yang membunuh 100 orang.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Dulu sebelum kalian, ada seseorang lelaki membunuh 99 orang, kemudian ia mencari seorang yang paling alim di muka bumi ini, maka ia ditunjukkan kepada seorang pendeta (rahib). Maka ia pun datang kepadanya dan mengatakan bahawa ia sudah membunuh 99 orang, apakah ia masih boleh diterima taubatnya? Jawab pendeta: “Tidak.”

Maka dia membunuh pendeta itu sehingga sempurnalah ia membunuh 100 orang. Kemudian ia mencari lagi seorang paling alim di muka bumi ini, maka ia ditunjukkan kepada seorang alim dan berkata bahawa ia membunuh 100 orang, apakah masih bisa diterima taubatnya?

Jawab orang alim itu: “Ya, siapakah yang dapat menghalangi taubat seseorang. Berangkatlah ke sebuah desa di sana. Sesungguhnya di desa itu penduduknya menyembah kepada Allah. Sembahlah kepada Allah bersama mereka dan jangan kembali ke kampungmu. Sesungguhnya kampungmu itu tempat yang buruk.”

Maka berangkatlah orang itu. Ketika sampai di tengah perjalanan, dia mati. Maka berselisih Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab. Malaikat Rahmat berkata: “Ia datang bertaubat kepada Allah dengan hati ikhlas.” Kata Malaikat Azab: “Ia belum pernah berbuat kebajikan sedikitpun.”

Akhirnya datanglah malaikat lain dengan bentuk manusia, lalu mereka menjadikannya sebagai hakim. Kata hakim: “Ukurlah antara dua tempat, manakah yang lebih dekat bererti itu untuknya.” Maka mereka mengukurnya, ternyata lebih dekat kepada tempat yang ia tuju, maka dia diterima oleh Malaikat Rahmat.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitu besar ampunan Allah SWT, bahkan untuk seseorang yang membunuh 100 orang sekalipun.

Jangan putus asa, tugas kita ialah bertaubat, pengampunan itu daripada Allah. Dan sesungguhnya rahmat Allah itu luas.

sumber – Riyadhus Salihin

Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini