Maksud sujud tilawah ( سجود تلاوة) adalah sujud yang dilakukan dengan sebab membaca ayat-ayat Sajadah di dalam al-Quran atau mendengarnya.
Mengikut jumhur ulama’, hukum sujud tilawah ialah sunat dan bukannya wajib.
Isi Kandungan
Hadis Sujud Tilawah
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.A bahawa beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأ عَلَيْنَا السُورَةَ فِيهَا السَجْدَةُ فَيَسْجُدَ وَنَسْجُد
Maksudnya: Pada satu ketika, Rasulullah S.A.W membacakan kepada kami satu surah yang mempunyai ayat Sajadah, maka Baginda S.A.W pun sujud lalu kami pun ikut sujud juga.
(Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 2:556)
Tanda Sujud Tilawah
Terdapat tanda dalam al-Quran yang menunjukkan tempat untuk sujud tilawah. Ayat yang mempunyai tanda(bentuk kubah) ini dinamakan ayat sajadah. Contohnya:
Jika diteliti betul-betul, di dalam al-Quran ada 15 ayat sujud tilawah.
Syarat Sujud Tilawah
- Suci dan berwuduk
- Tutup aurat
- Mengadap kiblat
- Sujud sebaik saja membaca ayat sajdah
- Dalam jemaah. Jika imam melakukan sujud tilawah, makmum kena ikut sama. Terputus jemaah jika tak ikut imam sujud tilawah. Kalau imam tak lakukan sujud tilawah, jangan pula pergi sujud. Asasnya, ikut imam.
Cara Sujud Tilawah
Sujud Tilawah Dalam Solat
- Kita baca surah lain selepas Surah Al-Fatihah
- Kemudian terjumpa dengan ayat sajdah.
- Kita terus saja sujud, sunat takbir ketika hendak turun
- Ketika sujud baca:
سَجَدَ وَجْهِى لِلَّذِى خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ بِحَوْلِهِ وَقُوَّتِهِ تَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ
Akhirnya, bangun dari sujud kepada posisi berdiri, kemudian sambung solat macam biasa.
Sujud Tilawah Di Luar Solat
Niat, takbir (seperti takbiratul ihram) serta mengangkat kedua tangan kemudian takbir lalu sujud kemudian takbir lalu duduk untuk memberi salam.
Bacaan Sujud Tilawah Rumi dan Maksud
سَجَدَ وَجْهِى لِلَّذِى خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ بِحَوْلِهِ وَقُوَّتِهِ تَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ
Sajada wajhiya lilladzi kholaqohu, wa showwarohu, wa syaqqo sam’ahu, wa bashorohu bi khaulihi wa kuwwatihi fatabarakallahu ahsanul kholiqiin
Aku sujudkan wajahku ini kepada Allah yang menciptanya dan membentuk rupanya, yang membuka pendengarannya dan penglihatannya dengan kekuasaannya dan penglihatannya dengan kekuasaanNya dan kudratNya. Maha Suci Allah, Dialah sebaik-baik pencipta kejadian.
Kelebihan Sujud Tilawah
Abu Hurairah berkata, Rasulullah bersabda, “Apabila anak Adam membaca ayat Sajdah, lalu ia sujud, maka syaitan akan melarikan diri serta menangis dan berkata, “celaka, ia diperintahkan untuk sujud lalu ia sujud dan baginya syurga. Dan aku pernah diperintahkan untuk sujud, aku enggan dan bagiku neraka.” (Hadis riwayat Muslim dan Ibnu Majah)
Soal Jawab Berkaitan Sujud Tilawah
Boleh ke sujud tilawah tanpa wuduk?
Ringkasnya, harus tanpa wudhu. Inilah pandangan beberapa ulama. Namun yg lebih utama adalah dgn wudhu.
Penjelasan penuh di -> https://binsahak.com/index.php/fiqh-ibadat/511-sdi-1083-hukum-sujud-tilawah-tanpa-wudhu
Bagaimana jika tidak hafal bacaan sujud tilawah?
Jika tak dapat menghafal bacaan ketika sujud tilawah di atas, cukuplah sekadar kita baca: “Sajjada wajhialillah.” Jika tak dapat membacanya juga oleh kerana terlupa, maka cukuplah sekadar membaca tasbih seperti biasa ketika sujud.
Kalau tidak sujud tilawah ketika jumpa ayat sajadah, berdosa ke?
Jawapannya tidak berdosa, kerana hukum melakukannya ialah sunat.
Namun, janganlah kita mengambil mudah, kerana ciri orang yang beriman itu sentiasa berusaha melakukan amal soleh demi meraih redha Allah.
Jika terdengar ayat sajadah di radio atau televisyen, perlu sujud tilawah ke?
Disunatkan untuk sujud tilawah bagi sesiapa yang mendengar bacaan ayat-ayat sajadah melalui corong radio, televisyen dan lain-lain berdasarkan pendapat jumhur ulama’. Ini kerana mendengar bacaan ayat-ayat sajadah dalam keadaan tersebut sama seperti mendengar terus daripada orang yang membacanya di belakang dinding atau seumpamanya.
Penjelasan lengkap di -> https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3496-al-kafi-1293-perlukah-sujud-tilawah-apabila-mendengar-ayat-sajdah-dibacakan-di-dalam-radio-atau-televisyen
Wallahua’lam