Ustādh Kamilin Jamilin atau nama sebenarnya, Ahmad Kamil bin Jamilin merupakan salah seorang asātidhah baharu dan ulung di Malaysia, kerana kekuatan hafazannya ke atas Kitābullah, hadis-hadis Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam, kalām ulamā’ dan syi’r-syi’r ‘Arab. Begitu juga dengan laras katanya yang begitu harmoni dan mendamaikan.
Beliau merupakan anak kedua dari empat adik beradik dan dilahirkan di Kuala Lumpur.
Pendidikan
- Sekolah Rendah Islam Al-Amin Taman Keramat
- Pusat Tahfiz Al-Imam International Institute, Kubang Kerian Kelantan.
- Pusat Tahfiz Janda Baik, Pahang
- Sekolah Ad-Din Malim Nawar Perak
- Sekolah Menengah Islam Al-Amin Gombak, Selangor
– dipetik dari ucapan beliau selaku wakil graduan dalam Majlis Konvokesyen ke-16 USIM
Mungkin ramai yang tertanya, mengapa saya berpindah-randah sekolah banyak kali?
Jawapannya kerana prestasi pelajaran saya yang teruk berikutan jiwa saya yang memberontak ketika itu melawan guru dan sistem sekolah. Mungkin ketika itu saya dilayan dengan teruk oleh para guru dan rakan-rakan sehingga membuatkan saya ‘moody’ lalu bertindak melawan persekitaran saya.
Selama 6 tahun boleh dikatakan saya seakan tidak belajar apa-apa baik di tahfiz mahupun pengajian biasa. Saya tiada UPSR jua PMR. Saya juga sering tidak hadir peperiksaan sekolah dan pernah mendapat markah 0 kerana sikap saya ketika itu.
Namun ketika saya di tingkatan 5, berkat doa ibu dan ayah, kesedaran tiba-tiba datang membuatkan saya fokus menumpukan perhatian untuk kembali belajar apa yang saya tertinggal sejak tingkatan 1. Alhamdulillah dalam masa 2 bulan saya berjaya menjadi pelajar terbaik percubaan SPM dan seterusnya SPM.
Beliau merupakan pelajar cemerlang SPM peringkat negeri Selangor tahun 2001. Beliau juga memperoleh Diploma Tahfiz al-Qur’ān dari Darul Qur’ān, JAKIM (kini bakal dinaiktaraf Kolej Universiti Islam Malaysia) kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda, di Kuliyyah Hadis al-Nabawiy di Universiti Islam di al-Madinah al-Munawwarah, ‘Arab Saudi, dengan kepujian kelas pertama pada tahun 2008. Mendapat anugerah cemerlang, tidak terkira ketika disana.
Kemudian beliau melanjutkan pendidikan ke peringkat Ijazah Sarjana, di Kuliyah Thaqāfah al-Islamiyyah, qism al-Tarbiyyah; khusus dalam bidang Hadis dan ‘ilmu yang berkaitan dengannya, khususnya ‘Ilmu Rijāl al-Hadis di Universiti Raja Sa’ud di Riyādh, ‘Arab Saudi, dengan tajuk “Mawārid al-Hāfidh al-Mughlatây fī kitābihī Ikmāl Tahzīb al-Kamāl”, berjaya mendapat mumtaz syaraf ulā pada tahun 2013.
Beliau kemudiannya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang hadis ( Al-Jarh wa Al-Ta’dil) di Universiti Sains Islam Malaysia dengan keputusan cemerlang kelas pertama. Tesisnya yang setebal 1500 halaman bertajuk “Madlul Mustalah Laysa Bilqawiy wa Laysa Biqawiy ‘Inda Abi Hatim Al-Raziy Muaqaranah ma’a Al-Aimmah Al-Mutaqaddimin : Dirasah Tatbiqiyyah ”.
Guru
Beliau berguru dengan berbagai-bagai guru hadīs di ‘Arab Saudi khususnya guru yang menyelia thesis master beliau iaitu: Syaikh Dr. ‘Ali ibn ‘Abdillah al-Sayyah حفظه الله, yang mengajar hadis di Universiti Raja Sa’ud, dan saya hanya mampu mengikuti program pengajaran hadis interaktif beliau berkenaan Sinā’ah al-Hadith dan ‘Amali Takhrīj melalui Youtube.
Kerjaya
Kini, beliau berkhidmat sebagai Pensyarah di Fakulti Pengajian al-Qur’an dan al-Sunnah, USIM, dan aktif mengajar ‘ilmu hadis dan menyampaikan ceramah berkenaan isu-isu keagamaan di sekitar Malaysia. Beliau juga aktif di page Facebook beliau, “Kamilin Jamilin – Seni Hadith”, yang mempunyai begitu banyak fawā’id hadīthiyyah buat para tālib al-‘ilm.
Beliau sentiasa memberi semangat kepada kami, orang muda dalam menuntut ‘ilmu dan mementingkan aspek hafazan dalam menuntut ‘ilmu sebelum melakukan proses analisis & konklusi. Hafazan ialah modal.
Semoga Allah menjaga beliau dan keluarganya daripada segala keburukan dan kejahatan. Semoga Allah sentiasa memanfaatkan beliau buat umat Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam.