4 Amalan Antara Maghrib Dan Isyak Supaya Hidup Tenang

Izuan
amalan antara maghrib dan isyak

Ada banyak amalan antara Maghrib dan Isyak yang boleh kita lakukan. Waktu ini walaupun singkat, merupakan waktu yang diberkati dan perlu dimanfaatkan dengan melakukan amal soleh.

Solat Sunat

Solat Awwabin ialah solat sunat muakkad (sangat dituntut) yang dilakukan selepas solat fardhu Maghrib dan solat sunat Ba’adiah Maghrib. Solat sunat Awwabin ini dikerjakan sebanyak 2, 4 atau 6 rakaat bahkan boleh juga dilakukan sehingga 20 rakaat sepuluh salam.

Dianjurkan mulakan dengan 2 rakaat solat taubat, kemudian 2 rakaat solat Hifzul Iman dan 2 rakaat solat hajat.

Baca Al-Quran

Sambil-sambil duduk di masjid, elakkan berbual kosong dan gunakan masa untuk membaca Al-Quran.

Antara surah yang boleh dibaca ialah:

1. Surah al-Mulk.

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata, beberapa orang sahabat Nabi menggali tanah tanpa menyangka itu adalah kubur. Maka didapati padanya seorang lelaki yang membaca Surah al-Mulk hingga tamat. Lantas beliau menemui Nabi SAW lalu berkata:

Maksudnya : Ya Rasulullah, sesungguhnya aku menggali tanah tanpa aku menyangka itu adalah kubur, dan aku dapati seorang lelaki membaca surah al-Mulk sehingga khatam. Maka jawab Baginda SAW, surah tersebut adalah penegah, penyelamat yang menyelamatkan tuannya daripada azab kubur.

Riwayat al-Tirmizi (2890)

2. Surah Al-Waqiah

Di antara kelebihan membaca surah al-Waqiah seperti yang diceritakan oleh Ibnu Mas’ud RA:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْوَاقِعَةِ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ لَمْ تُصِبْهُ فَاقَةٌ أَبَداً

Maksudnya: Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya

Lihat al-Jamie’ al-Soghir, al-Suyuti (12546)

Berzikir

Setelah seharian bekerja, marilah banyakkan berzikir dengan istighfar, tasbih, tahmid dan takbir supaya hati menjadi lebih tenang dan tenteram.

Dia Maha Tahu apa yang hamba-Nya perlukan dalam kehidupan.

Firman-Nya yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Surah al-Rad, ayat 28)

Iktikaf

Dengan waktu yang singkat ini, duduk sebentar menunggu waktu solat Isyak dengan beriktikaf di masjid, lebih baik dari tengok televisyen dan lepak di kedai kopi.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sentiasalah seseorang kamu dianggap dalam sembahyangnya, selama menahan sembahyang tidak ada yang menghalangnya untuk kembali menemui ahli keluarganya melainkan kerana ia menunggu waktu sembahyang yang berikut”.

Semoga kita dapat istiqamah menghidupkan amalan antara Maghrib dan Isyak, InsyaAllah.

Wallahua’lam

sumber – kashoorga, bincangsyariah

Subscribe
Notify of
1 Comment
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini
izureen
2 years ago

thankyou for this ! pray fr me to be strong on my istiqomah journey hehe <3