Menjaga pandangan daripada maksiat atau perkara yang haram merupakan antara sifat orang beriman.
Ayuh belajar tentang adab menjaga pandangan antara lawan sejenis.
1. Menjaga pandangan antara lelaki dan wanita
Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat”. (30)
Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya, dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak- budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita, dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. dan bertaubatlah kamu sekelian kepada Allah hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. (31)
(Surah An-Nur : 30-31)
Pandangan pertama (secara tiba-tiba) adalah tidak dapat dihindari sehingga dapat dihukumi sebagai darurat. Adapun pandangan berikutnya (kedua) diperselisihkan hukumnya oleh para ulama.
Yang dilarang dengan tidak ada keraguan lagi ialah melihat dengan menikmati (taladzdzudz) dan bersyahwat, karena ini merupakan pintu bahaya dan penyulut api. Oleh sebab itu, ada ungkapan, “memandang merupakan pengantar perzinaan”.
Nabi SAW telah bersabda:
المرأةُ عورةٌ وإنَّها إذا خرَجتْ استشرَفها الشَّيطانُ
Maksudnya: “Wanita itu adalah aurat, jika ia keluar rumah, maka syaitan akan menghiasinya”
Riwayat ibn Hibban (5598), Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan perawi-perawi hadith ini thiqah (dipercayai).
Rasulullah SAW bersabda, dalam sebuah Hadith Qudsi:
Pandangan itu adalah salah satu di antara panah-panah iblis. Barangsiapa meninggalkannya kerana takut kepada-Ku, nescaya Aku akan memberikan ganti kepadanya dengan suatu keimanan yang akan dia rasakan kemanisannya di dalam hatinya.
Sesunnguhnya sebaik-baik pakaian ialah taqwa. Menjaga pandangan dapat meningkatkan ketaqwaan kepada tuhan.
2. Antara lelaki bersama lelaki
Aurat bagi lelaki ialah bahagian badan di antara pusat hingga lutut.
Jika dia disuruh oleh seseorang untuk membuka auratnya contohnya ketika bersukan, janganlah dia mentaatinya, berdasarkan hadith:
Tidak ada ketaatan terhadap makhluk di dalam bermaksiat kepada Al-Khaliq.
3. Antara wanita bersama wanita
Jika antara wanita Muslim, aurat mereka adalah antara pusat dan lutut.
Tetapi bagi wanita Muslim dan bukan Muslim, para ulama’ ada 2 pendapat:
- Majoriti ulama’ fiqh mengatakan sama seperti ketika wanita itu bersama lelaki ajnabi, iaitu muka dan dua tapak tangan
- Sebahagian ulama’ Mazhab Syafie dan ulama kontemporari berpendapat, seluruh tubuh kecuali kepala, tangan dan kaki.
Dalam isu ini, usahakanlah untuk berpegang pada pendapat yang pertama, tetapi jika keadaan agak sulit, contohnya di zaman sekarang ada hostel yang menempatkan Muslim dan bukan Muslim sekali, maka pendapat yang kedua boleh dipertimbangkan.
Wallahua’lam
sumber – muftiwp, dakwahdantarbiah