Adab berdoa merupakan perkara yang penting dalam Islam kerana kita sebagai hambaNya sentiasa memerlukan Allah sebagai tempat berharap dan meminta pertolongan.
Ketika meminta sesuatu kepada manusia pun memerlukan adab, apatah lagi meminta kepada Tuhan Sekalian Alam.
Allah SWT juga menyeru kita agar sentiasa berdoa kepada-Nya melalui firman-Nya:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”
al-Ghafir : 60
Daripada Abi Said al-Khudri RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandung dosa dan tidak bertujuan memutus silaturahmi, melainkan Allah SWT akan mengabulkannya dengan tiga cara: Allah akan mengabulkan doanya sesegera mungkin, Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak, dan Allah akan menjauhkan darinya kejelekan.”
[Riwayat Ahmad (11133)][Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan sanad hadith ini adalah baik]
Isi Kandungan
Adab Berdoa Kepada Allah
1. Berdoa dengan penuh Harapan dan Yakin
Ini berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا
Maksudnya: Sesungguhnya mereka itu (para Nabi) sentiasa bersegera dalam melakukan perkara kebaikan. Dan mereka berdoa kepada Kami dalam keadaan penuh harap dan rasa takut.
(Surah al-Anbiya’: 90)
Ayat di atas ini sebelumnya menceritakan berkenaan beberapa orang para Nabi dan juga permintaan yang mereka lakukan:
- Nabi Ayyub AS berdoa kepada Allah SWT untuk memberikan kesembuhan kepada penyakit yang menimpanya, lalu Allah mustajabkan.
- Nabi Yunus AS berdoa supaya diselamatkan dari musibah yang menimpa dirinya saat berada di dalam perut ikan Nun, kemudian Allah mustajabkan doanya.
- Nabi Zakaria AS juga berdoa supaya dikurniakan zuriat, lalu Allah SWT memustajabkannya dengan mengurniakan Nabi Yahya sebagai anak.
Ketiga-tiga para Nabi ini dimustajabkan doa mereka kerana adab berdoa dalam keadaan penuh harap dan takut kepada Allah SWT.
2. Memulakan dengan Pujian kepada Allah
Di dalam surah al-Fatihah, terdapat 5 pujian daripada ayat pertama hinggalah ke ayat yang ke lima kepada Allah SWT. Kemudian pada ayat yang keenam, ia diikuti dengan permintaan atau doa yang pertama iaitu:
Maksudnya : Berilah kami jalan yang lurus
(Al-Fatihah: 6)
Sertakan juga selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kerana ini akan menambah keberkatan pada doa tersebut.
3. Berdoa ketika waktu Senang dan Susah
Antara adab berdoa sunnah ialah berdoa pada setiap waktu samada senang atau susah kerana, jika kita berdoa semasa susah sahaja, itu bermakna kita sombong dan lupa akan Allah yang memberi nikmat kesenangan.
Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Siapa yang suka Allah terima doanya ketika kesukaran dan kepayahan, maka hendaklah dia membanyakkan doa pada masa kemewahan dan kesenangan.”
Riwayat al-Tirmizi (3382) dan Abu Ya’la dalam Musnadnya (6396)
4. Bersungguh-sungguh dan Menghadirkan hati
Daripada Abi Hurairah R.A katanya, Rasulullah SAW bersabda:
ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ ، وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ
Maksudnya: Berdoalah kamu kepada Allah dalam hal keadaan kamu yakin dengan penerimaan Tuhan. Ketahuilah bahawa Allah SWT tidak menerima doa daripada hati orang yang lalai.
Riwayat al-Tirmizi (3479), al-Hakim (1817) dan Ibn Hibban (1/372)
5. Bersangka Baik pada Allah
Dari Abu Hurairah RA, ia berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, Allah سبحانه وتعالى berfirman,
أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِى بِى
“Aku sesuai dengan persangkaan hamba pada-Ku.” (Muttafaqun ‘alaih).
Sentiasa bersangka baik kepada Allah, yakin bahawa Allah Maha Mendengar, dan berkuasa atas setiap sesuatu. Adab berdoa yang ini agak mencabar, dan perlu dilatih hati agar yakin pada setiap ketentuanNya.
Adab berdoa ketika haid
Pertamanya, perlu diketahui yang wanita dibolehkan berdoa ketika haid.
Dalam Fatwa Islam disebutkan beberapa daftar ibadah yang dilarang untuk dikerjakan ketika haid,
الحائض تفعل جميع العبادات إلا الصلاة والصيام والطواف بالكعبة والاعتكاف في المسجد
“Wanita haid boleh melakukan semua bentuk ibadah, kecuali shalat, puasa, tawaf di ka’bah, dan i’tikaf di masjid.” (Fatwa Islam no. 26753)
Bagaimana jika sudah berdoa banyak, tapi masih belum dikabulkan?
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui atas tiap sesuatu, Dia tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Antara adab berdoa ialah serahkan segalanya pada Allah, ridha dengan ketentuanNya.
Daripada Abi Said al-Khudri RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ، وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ: إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا
Maksudnya: “Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandung dosa dan tidak bertujuan memutus silaturahmi, melainkan Allah SWT akan mengabulkannya dengan tiga cara: Allah akan mengabulkan doanya sesegera mungkin, Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak, dan Allah akan menjauhkan darinya kejelekan.”
[Riwayat Ahmad (11133)][Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan sanad hadith ini adalah baik]
Semoga kita sama-sama dapat ambil manfaat daripada perkongsian adab berdoa ini, In Shaa Allah.
Wallahua’lam
Artikel berkaitan:
sumber – adab berdoa mufti wilayah, therohani