Pada asalnya wajib melakukan solat pada waktunya selagi mampu dan haram menjamakkan solat tanpa keperluan yang mendesak atau musafir.
Jika keadaan mendesak dan seseorang mampu untuk melewatkan Zohor atau Maghrib sehingga ke penghujung waktu dan solat Asar atau Isyak ditunaikan pada awal waktu, maka itu lebih utama. Ini yang dinamakan sebagai jamak suri (jamak pada gambaran sahaja) menurut Mazhab Syafie. Jamak cara ini ialah dengan melewatkan solat pertama ke hujung waktu dan menyegerakan solat yang kedua pada awal waktu. Kelihatan seperti jamak dalam satu waktu, padahal pada waktu yang berbeza.
Dalil Jamak Solat Tanpa Musafir
Terdapat sebuah hadith sahih yang telah diriwayatkan oleh al-Imam Muslim Rahimahullah. Hadithnya ialah:
صَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا بِالْمَدِينَةِ، فِي غَيْرِ خَوْفٍ، وَلَا سَفَرٍ. قَالَ أَبُو الزُّبَيْرِ: فَسَأَلْتُ سَعِيدًا، لِمَ فَعَلَ ذَلِكَ؟ فَقَالَ: سَأَلْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ كَمَا سَأَلْتَنِي، فَقَالَ: أَرَادَ أَنْ لَا يُحْرِجَ أَحَدًا مِنْ أُمَّتِهِ.
Maksudnya: Telah solat Rasulullah SAW zohor dan asar secara jama’ di Madinah dalam keadaan tiada ketakutan dan juga bermusafir. Telah berkata Abu Zubair: Aku telah bertanyakan Sa’id: Mengapa dilakukan sebegitu? Maka jawab Sa’id: Aku telah bertanyakan Ibn Abbas soalan seperti yang kamu tanyakan, maka jawab Ibn Abbas: Rasulullah SAW mengkehendaki untuk tidak menyusahkan umatnya.
Riwayat Muslim (705)
6 Keadaan Dibolehkan Jamak Solat
- Jamak diizinkan pada perlaksanaan haji di Arafah dan Muzdalifah, Ianya telah disepakati oleh para fuqaha’.
- Jamak dibenarkan juga disebabkan oleh musafir. Iaitu dijamakkan antara zohor dan asar, dan di antara maghrib dan isyak. Sama ada taqdim ataupun ta’khir.
- Jamak juga dibolehkan ketika seseorang itu sakit. Ia merupakan pendapat di sisi al-Malikiyyah, al-Hanabilah dan pendapat sebahagian pendapat ulama’ al-Syafi’ieyyah. Telah berkata al-Imam al-Nawawi: Ini merupakan pendapat yang kuat. Mereka berhujah dengan mengatakan jamak tidak dilakukan kecuali jika terdapat keuzuran dan sakit itu satu keuzuran dan diqiyaskan kepada musafir dengan segala kepayahan bahkan untuk setiap solat-solat ke atas mereka yang sakit itu lebih payah dari orang yang bermusafir kecuali al-Malikiyyah yang berpendapat bahawa jamak dibenarkan ke atas mereka yang sakit adalah jamak takdim sahaja.
- Jamak dibolehkan juga ketika hujan lebat dan cuaca sejuk. Ini merupakan pendapat jumhur fuqaha’ al-Syafi’ieyyah, al-Malikiyyah dan al-Hanabilah. Dan dibolehkan juga al-Hanabilah dan al-Malikiyyah untuk menjamakkan ketika berlakunya becak teruk namun sebahagian al-Syafi’eyyah menegahnya dan sebahagiannya membenarkan.
- Dibolehkan untuk menjamakkan solat ketika dalam keadaan ketakutan namun sebahagian besar al-Syafi’eyyah tidak membenarkannya kerana solat mempunyai itu waktu-waktu yang telah ditetapkan.
- Dibolehkan jamak sekiranya berlaku keuzuran. Al-Hanabilah di dalam hal ini memperluaskan lagi skop keuzuran itu dengan berpendapat apa sahaja keuzuran atau tugasan yang boleh menyebabkan ditinggalkannya solat Jumaat dan solat berjama’ah seperti takut akan keselamatan diri, maruah dan harta. Asyhab daripada kalangan al-Malikiyyah, Ibn al-Munzir daripada kalangan al-Syafi’eyyah, Ibn Sirin dan Ibn Syubrumah berpendapat bahawa dibolehkan jamak jika diperlukan selagi mana tidak dijadikan adat kebiasaan.
Kesimpulan
Solat jamak ini hanya boleh dilakukan kerana keadaan terdesak dan kesukaran yang sememangnya telah berlaku atau dijangka berlaku dengan kepercayaan yang kuat bukan kerana bermudah-mudah dalam agama atau sangkaan tanpa bukti.
Wallahua’lam