Hukum Bagi Duit Raya Aidilfitri

Izuan
hukum bagi duit raya

Kebiasaan adat Melayu pada Hari Raya adalah bersalam-salaman dan memberi duit raya kepada sesama keluarga. Apa hukum bagi duit raya?

Jika mengikut kaedah fiqh:

‎الأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَة

Maksudnya: Hukum asal bagi setiap sesuatu (yang bukan ibadah) adalah harus

Jadi tergantung niat dan tujuan, hukum memberi duit raya boleh jadi wajib, sunat, harus, makruh dan haram.

Hukum Duit Raya

Sunat

Konsep memberi duit raya kepada ibubapa, kaum kerabat, serta kanak-kanak pada 1 Syawal adalah menepati perbuatan sedekah di dalam Islam. Bahkan perbuatan sedekah kepada ibubapa termasuk di antara ibadah yang sangat menguntungkan kerana ia menghasilkan tiga bentuk pahala amalan soleh iaitu birrul walidain (berbuat baik kepada dua ibubapa), mengeratkan silaturahim, serta pahala bersedekah itu sendiri.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W pula:

تهادُوْا تحابُّوا

Maksudnya: “Hendaknya kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai”.

Riwayat al-Bukhari (594), [Lihat: al-Adab al-Mufrad; m/s 306], Hadith Shohih, [Lihat juga Irwa’ al-Ghalil; 6/44]

Wajib

Wajib memberikan duit raya sekiranya seseorang itu bernazar untuk memberikan duit raya, atau mereka yang telah berjanji pada orang lain.

Makruh

 Makruh bagi seseorang memberi duit raya kemudian mengungkit-ungkit pemberiannya itu.

Haram

Haram. Dan ada berberapa hal yang haram berkaitan dengan duit raya ini iaitu;

  • Memberikan duit raya dengan tujuan riya’ (menunjuk-nunjuk) dan mendapat sanjungan orang, maka hukumnya haram.
  • Memberikan duit raya dari sumber yang haram semisal rasuah, judi, jual badan dan sebagainya maka ini juga haram.
  • Meminta-minta duit raya tanpa ada keperluan, juga haram berdasarkan berberapa dalil.

Harus

Harus bagi seorang suami memberi duit raya kepada isteri sebagai tambahan atas nafqah yang telah diberikan. Demikian juga harus bagi isteri sekiranya ia mampu untuk memberi duit raya kepada suaminya.

Adab Berkaitan Duit Raya

  • Pemberian duit raya yang diberikan tidaklah dilakukan secara takalluf (memaksa diri) untuk memberi dengan jumlah yang besar.
  • Golongan yang menerimanya perlulah bersyukur dengan kadar yang diterima dan tidak diungkit-ungkit. Sebaliknya bersyukur dan mendoakan kebaikan untuk pemberi.
  • Hendaklah diutamakan pemberian kepada golongan fakir, miskin, dan mereka yang memerlukan. Ini kerana, asnaf untuk sedekah yang wajib iaitu zakat, adalah merupakan asnaf yang sama untuk kita beri keutamaan semasa memberikan sedekah sunat.

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini