Sirah Nabi – Hijrah Ke Habsyah(615 Masihi)

Izuan
hijrah ke habsyah

Hijrah (هِجْرَة), bermaksud perpindahan, hijrah ke Habsyah(Ethiopia) merupakan salah satu peristiwa penting dalam sejarah Islam.

Dari segi istilah merujuk kepada perpindahan Rasulullah s.a.w dan orang-orang Islam dari Makkah ke Madinah atau Habsyah. Dalam sirah perjuangan dakwah Rasulullah s.a.w telah berlaku dua penghijrahan iaitu :

  1. Orang Islam dari Makkah ke Habsyah (615 Masihi)
  2. Orang Islam dari Makkah ke Madinah (622 Masihi)

Di dalam artikel ini, kita akan belajar tentang Hijrah ke Habsyah, berkenaan hijrah ke Madinah boleh tekan link di atas.

Mengapa Hijrah Ke Habsyah

Setiap hari kafir Quraisy sentiasa mengganggu dengan pelbagai cara terutama kepada golongan bawahan. Ini kerana, mereka risau melihat perkembangan dakwah Rasulullah SAW. Hal ehwal Muslimin di Mekah semakin terancam, ada di antara mereka terbunuh akibat daripada seksaan yang di terima, contohnya keluarga Amru bin Yasir.

Apabila hal ini berterusan, akhirnya Rasulullah SAW membenarkan kaum Muslimin berhijrah ke Habsyah. Raja Habsyah ketika itu adalah seorang Kristian. Namun dia tidak memusuhi kaum Muslimin. Dia dikenali dengan sifat penyayangnya.

Pasti ada yang tertanya-tanya bilakah hijrah pertama ke Habsyah?

Peristiwa hijrah ke Habsyah yang pertama berlaku pada bulan Rejab tahun 615 masihi iaitu tahu ke-5 kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.

Hijrah Ke Habsyah Kali Pertama(615M)

Golongan yang berhijrah ini terdiri daripada 10 lelaki dan lima perempuan. Mereka telah dikejar oleh pihak Quraisy namun berjaya melepaskan diri dan tiba di Habsyah dengan selamat.

Tidak lama kemudian kaum Muslimin mendengar berita bahawa pihak Quraisy telah menerima mereka kembali dan juga ajaran Islam. Oleh itu, mereka memutuskan untuk pulang semula ke Mekah kerana kota itu telah kembali aman. Namun sebelum mereka memasuki kota Mekah, mereka mendapat tahu bahawa berita yang didengari ketika di Habsyah dahulu adalah tidak benar.

Jadi sebahagian daripada kaum Muslimin terpaksa pulang semula ke Habsyah dan sebahagian lagi terpaksa masuk ke kota Mekah dengan mendapat perlindungan dari orang-orang yang berpengaruh.

Hijrah Ke Habsyah Kali Kedua(617M)

Selepas kejadian itu, satu rombongan lagi berhijrah ke Habsyah. Hijrah kedua ini disertai lebih ramai kaum Muslimin iaitu 83 lelaki dan 18 perempuan.

Puak kafir Quraisy sangat marah apabila mengetahuinya. Mereka telah menghantar satu rombongan ke Habsyah dengan membawa pelbagai jenis hadiah untuk diberikan kepada raja, pembesar dan paderi-paderi Kristian Habsyah. 

Setelah tiba di sana dan sujud di hadapan raja, mereka menyerahkan hadiah-hadiah itu dan berkata:

“Tuanku, segolongan orang-orang kami telah meninggalkan agama nenek moyang mereka. Mereka telah menganut agama baru. Kaum keluarga mereka telah mewakilkan kami untuk membawa mereka pulang semula ke Mekah. Oleh itu kami meminta kebenaran tuanku supaya kami dapat membawa mereka semua pulang.”

Raja Habsyah menjawab,

“Kami tidak dapat menyerahkah orang-orang yang diminta itu begitu sahaja tanpa usul periksa. Biarlah kami memeriksa mereka terlebih dahulu dengan mendengar hujah-hujah mereka. Sekiranya tuduhan kamu benar, barulah kami akan serahkan mereka kepada kamu.”

Raja Habsyah pun memerintahkan supaya kaum Muslimin menghadapnya. Kaum Muslimin mula merasa resah. Sebaik sahaja mereka tiba di hadapan raja, mereka mengucapkan salam.

Mereka dimarahi oleh seorang pengawal kerana tidak sujud sebagaimana adat orang-orang Habsyi. Namun mereka menjelaskan,

“Rasulullah SAW melarang sujud kepada sesiapa pun kecuali Allah SWT.”

Setelah itu Raja Habsyah memerintahkan mereka supaya memberikan hujah-hujah bagi membela diri.

Saidina Jaafar r.a bangun dan berkata :

“Tuanku, sebelum ini kami adalah manusia jahil. Kami tidak mengenal Allah dan RasulNya. Kami menyembah batu, memakan bangkai dan melakukan pelbagai kejahatan dengan sesuka hati. Siapa yang kuat akan menindas yang lemah.

Kemudian lahirlah seorang nabi yang membawa pembaharuan dalam kehidupan kami. Akhlaknya yang mulia, lurus dan kehidupannya yang bersih memang telah diketahui umum. Baginda menyeru kami supaya menyembah Allah dan meninggalkan segala perbuatan syirik. Baginda mengajar kami perbuatan makruf dan melarang kami melakukan perkara mungkar. Baginda mengajar kami supaya bercakap benar, menunaikan amanah, menghormati kaum kerabat dan jiran.

Daripada Baginda, kami belajar bersolat, berpuasa, berzakat dan berakhlak mulia. Kami diajar supaya menjauhi pergaduhan dan pertumpahan darah. Baginda melarang berzina, berbohong, memakan harta anak yatim secara haram, memfitnah dan lain-lain keburukan. Baginda mengajar kami Al Quran yang merupakan kitab yang agung.

Oleh itu, kami percaya kepadanya dan menerima ajaran yang dibawanya. Dengan sebab inilah kami diganggu dan diseksa supaya kami kembali kepada keadaan kami dahulu. Apabila kezaliman semakin berleluasa, kami memohon izin nabi kami untuk berlindung di bawah tuanku di sini.”

Orang-orang kafir Quraisy pulang ke Mekah dengan perasaan yang amat malu. Kejadian ini telah menyebabkan kemarahan yang semakin membara terhadap orang-orang Islam. Lebih-lebih lagi apabila tidak lama kemudiannya, Umar Al-Khattab pula telah memeluk Islam.

Sambungan dari kisah ini, terjadilah Pemulauan terhadap Rasulullah SAW dan Bani Hasyim.

Wallahua’lam

sumber – lantaipentas

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini