Qunut Nazilah Doa Ketika Ditimpa Musibah

Izuan
qunut nazilah

Jika kita lihat terhadap penindasan, musibah yang berlaku kepada Umat Islam di seluruh dunia, kita dianjurkan membaca Qunut Nazilah sebagai doa kepada Allah.

Maksud Qunut Nazilah

Qunut Nazilah berasal dari kata Qunut (قنوت) membawa maksud berdoa ketika berdiri dalam solat. Nazilah (نازلة) ertinya: Musibah yang sangat berat.

Asal Usul Qunut Nazilah

 bahawa Baginda SAW pernah membaca doa qunut nazilah ketika mana berlakunya suatu pengkhianatan dan pembunuhan ke atas beberapa sahabat Nabi SAW.

Terdapat beberapa hadis yang menceritakan kejadian tersebut, antaranya yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa:

Maksudnya: Bahawasanya Ri’lan, Zakwan, Usaiyah dan puak Lahyan meminta bantuan daripada Nabi SAW untuk menyediakan kepada mereka beberapa orang lelaki untuk memerangi musuh mereka. Maka Baginda SAW menghantarkan kepada mereka tujuh puluh orang lelaki dari golongan Ansar yang dikenali sebagai Al-Qura’ (penghafaz al-Quran). Maka mereka ini membantu untuk mengumpul kayu api pada siang, dan bermunajat kepada Allah pada waktu malam. Ketika mana mereka (golongan Ansar) sedang berada di lembah Ma’una, mereka dibunuh dan dikhianati. Apabila berita ini sampai kepada Rasulullah, baginda membaca qunut (nazilah) selama sebulan dalam solat subuh mendoakan (kecelakaan) ke atas puak arab, Ri’lan, Zakwan, Usaiyah dan puak Lahyan.

Riwayat al-Bukhari (4090)

Peristiwa Bi`rul Ma`unah

Seorang yang bernama Abu Barra` bin Malik yang tidak menerima pelawaan masuk Islam namun tidak menunjukkan pertentangan meminta kepada Nabi S.A.W untuk menghantar wakil ke Najad untuk mengajarkan mereka Islam. Pada awalnya Baginda S.A.W menyatakan kebimbangannya jika para Sahabat yang dihantar akan diapa-apakan oleh mereka namun Abu Barra memberi jaminan akan melindungi mereka.

Menurut riwayat al-Bukhari, Baginda S.A.W menghantar 70 orang Sahabat untuk mengajar Qabilah Najad al-Quran dan hukum Islam yang diketuai oleh al-Munzir bin Amru.

Sampai di Bi`r Ma`unah, Hiram bin Mulhan diutuskan untuk membawa surat Rasulullah S.A.W kepada `Amir bin Tufail. Malangnya Amir bin Tufail telah membunuh Hiram bin Mulhan dan mengarahkan pengikutnya membunuh baki para Sahabat R.A. Ajakan tersebut diterima oleh Qabilah Ra`al dan Zakwan lalu mereka menyerang dan membunuh kesemua para Sahabat R.A.

Kejadian ini hanya disedari apabila dua orang Sahabat iaitu Amru bin Umayyah dan Munzir bin Uqbah yang melalui kawasan tersebut terlihat burung yang banyak berterbangan di kawasan tersebut. Nyata apabila mereka sampai terlihat mayat bergelimpangan dengan kuda-kuda yang berdiri menunggu. Munzir bin Uqbah juga syahid apabila cuba menuntut bela atas kejadian tersebut manakala Amru ditawan dan dibebaskan.

Amru bin Umayyah pulang untuk memaklumkan kepada Baginda S.A.W akan kejadian ini. Dalam perjalanan terserempak dengan dua penduduk Qabilah Bani Amir yang sedang nyenyak tidur lalu dibunuh kerana menyangka mereka juga terlibat dalam pembunuhan kejam tersebut. Perbuatan Amru ini diselesaikan oleh Baginda S.A.W dengan membayar diat kepada Bani Amir.

Peristiwa Bi`r Ma`unah ini menimbulkan perasaan kekesalan dan kesedihan yang amat mendalam dalam hati Baginda S.A.W walaupun baru sahaja kehilangan Sahabatnya dalam Perang Uhud. Sempena kejadian ini Baginda S.A.W berdoa (Qunut Nazilah) selama 30 hari berturut-turut mendoakan kebinasaan qabilah yang terlibat membunuh para Sahabat R.A. Antaranya Qabilah Ra`al, Zakwan dan Lihyan.

Waktu Membaca Qunut Nazilah

Berdasarkan nas dan hujah(di website muftiwp), mereka berpendapat bahawa membaca qunut nazilah ketika umat Islam ditimpa musibah besar yang boleh memudaratkan Islam dan Umat Islam secara keseluruhan seperti diperangi secara nyata atau dikhianati musuh, adalah diharuskan.

  • Qunut ini boleh dibacakan pada tiap-tiap sembahyang fardhu jika kedatangan bala atau sebarang cubaan dari Allah SWT.
  • Doa Qunut ini dibacakan pada waktu iktidal selepas ruku’ pada rakaat terakhir
  • Disunatkan kepada Imam untuk membacanya secara kuat dan diaminkan oleh makmum dalam solat yang berjemaah

Sebagai contoh dalam konteks hari ini, dapat dilihat ketika mana Gaza dan Syria dilanda peperangan, imam Masjid al-Haram membaca qunut nazilah mendoakan kemenangan ke atas orang Islam di sana sekaligus mendoakan kehancuran serta memohon kepada Allah diturunkan bala bencana ke atas orang kafir yang memerangi orang Islam.

Wallahua’lam

sumber – muftiwp, harakahdaily