1. Menghidupkan malam
Menghidupkan malam raya dengan beribadat kepada Allah s.w.t, seperti melakukan solat, berzikir, membaca al Quran, bertasbih, bertahmid, beristighfar dan sebagainya.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Sesiapa yang menghidupkan dua malam raya ikhlas kerana Allah nescaya hatinya tidak mati pada hari yang mati segala hati”H.R Ibnu Majah
2. Mandi Sunat Hari Raya Aidilfitri
Tempoh mandi sunat ini bermula dari pertengahan malam dan sunat dilewatkan sehingga hampir solat Hari Raya.
3. Mengemaskan diri
Mencukur bulu-bulu, mengetip/memotong kuku dan merapikan janggut.
4. Memperbanyakkan Takbir
Takbir Aidilfitri boleh dibacakan bermula dari terbenam matahari akhir Ramadan hingga sebelum menunaikan solat Hari Raya.
Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Aidilfitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.
5. Memakai pakaian yang terbaik
Walaupun kita digalakkan memakai pakaian terbaik, kita tidak semestinya memakai pakaian yang baharu.
Sebaliknya, pilihlah pakaian yang paling indah mengikut kemampuan dan tidak membazir.
6. Berwangi-wangian dan berhias
Imam Syafie pernah berkata:
“Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.”
7. Bersarapan
Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat Aidilfitri, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a berkata :
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak keluar pada pagi hari Raya Aidilfitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” HR Bukhari
8. Menunaikan Solat Hari Raya
Solat hari raya ialah sunat muakkad.
Ini kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya sejak mula disyariatkan sehinggalah Baginda wafat.
Begitu juga para sahabat Baginda terus melakukannya selepas itu.
Selamat Beramal
Jangan lupa menzahirkan keceriaan dan kegembiraan ketika bertemu dengan orang mukmin, serta ziarah menziarahi bagi mengeratkan silaturrahim, serta mengucapkan sebarang ucapan yang baik.
Para sahabat Rasulullah s.a.w ketika bertemu sesama mereka pada hari Raya mereka menyebut :تقبل الله منا ومنك (semoga Allah menerima amal kami dan juga amalmu).
Semoga bermanfaat dan sama-sama kita amalkan sunnah ini.