6 Orang Pemuda Yathrib Bertemu Rasulullah

Izuan
Pemuda yathrib

Pada Tahun ke-11 kerasulan sebelum Perjanjian Aqabah Pertama, Rasulullah telah bertemu 6 orang pemuda Yathrib(Madinah) yang mulia hatinya. Pertemuan ini tidak dirancang sama sekali, tetapi memberi impak yang besar dalam sejarah Islam.

Di antara hikmah Rasulullah (s.a.w) semasa penindasan dan penganiaan penduduk Makkah terhadap usahanya, ialah tindakan Rasulullah keluar di tengah-tengah malam buta untuk bertemu dengan qabilah-qabilah yang datang dari luar dengan tujuan supaya tidak diganggu oleh musyrikin Makkah.

Pada suatu malam, Rasulullah keluar bersama Abu Bakar dan Ali, baginda melawat kemah Zahl dan Syaiban bin Tha’labah. Rasulullah sempat memperkenalkan Islam kepada mereka, dan mendapat sambutan yang baik, tetapi mereka masih belum bersedia menerima Islam.

Kemudian, ketika Rasulullah melalui al-Aqabah di Mina, Baginda terdengar suara sekumpulan lelaki sedang berbual-bual. Rasulullah segera menemui mereka, yang merupakan dari Yathrib daripada qabilah Khazraj. Mereka terdiri daripada :

  • As’ad bin Zurarah – Banu Najar
  • Awf bin al-Harith – Banu Najar
  • Rafi bin Malik – Banu Zuraiq
  • Qatbah bin Amir – Banu Salamah
  • Aqabah bin Amir – Banu Hiram
  • Jabir bin Abdillah – Banu Abidin Ghanam

Penduduk Yathrib pernah mendengar dari kaum Yahudi bahawa seorang Nabi akan muncul pada zaman itu. Mereka berazam untuk menjadi pengikut setianya kerana keadaan Madinah pada waktu itu dikuasai oleh kaum Yahudi, dan juga perang saudara yang tidak pernah berakhir antara Aus dan Khazraj.

Dakwah pertama kepada pemuda Yathrib

Ketika Rasulullah bersama mereka, Baginda bertanya, siapa kamu?

Jawab mereka kami adalah di antara orang al-Khazraj

Kata Rasulullah: Jadi kamu adalah sekutu Yahudi?

Jawab mereka: Ya!

Kata Rasulullah: Boleh tak kamu beri sedikit masa untuk ku, hingga dapat ku bercakap dengan kamu?

Kata mereka: Ya boleh

Mereka pun duduk bersama Rasulullah di mana Baginda menerangkan kepada mereka hakikat Islam dan seruannya, seterusnya Baginda menyeru mereka kepada Allah Azawajalla dan membaca ayat-ayat al-Quran.

Sehinggakan sesetengah dari mereka berkata: Tahu tak, demi Allah inilah nabi yang pernah diceritakan kepada kamu oleh Yahudi Madinah, ayuh jangan biarkan mereka mendahului kamu, maka mereka pun terus memeluk Islam.

Enam orang al-Khazraj ini merupakan di antara penduduk Yathrib yang berfikiran matang, mereka terasa keletihan dek perang saudara yang berlarutan hingga ke saat terakhir ini, di mana api perseteruan masih terasa bahangnya, justeru itu semua mengharapkan suatu takdir yang boleh menamatkan peperangan itu,

Mereka melepaskan keluhan mereka kepada Rasulullah “Wahai Rasulullah kami tinggalkan kaum kami di sana dalam persengketaan yang amat teruk, kami harapkan semoga Allah merapatkan hubungan kami semua dengan perantaraan engkau wahai Rasulullah, tidak lama lagi kami akan sampai di kalangan mereka, kami akan menyeru mereka kepada seruanmu ini, kami akan bentangkan kepada mereka agama yang telah kamu anuti ini, sekiranya mereka menyahut dan menerima maka tidak ada orang yang mulia selain dari engkau.

Setelah sampai ke Madinah dengan risalah Islam yang mereka bawa itu terus disebarnya di sana hingga tidak ada satu keluarga pun yang tidak memeluk Islam dan kesemua mereka’ menyebut-nyebut nama Rasulullah (s.a.w).

Wallahua’lam

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest
Inline Feedbacks
Lihat Komen Sebelum Ini